Saturday, February 11, 2012

Kasih sayang ibu untuk bayi


Bayi yang diberi susu ibu secara terus mempunyai pertalian istimewa dengan si ibu.


SETIAP bayi yang dilahirkan di muka bumi ini berhak untuk mendapat susu dari ibu. Namun, barangkali tidak semua dari kita benar-benar memahami keperluan susu manusia untuk manusia ini.

Susu ibu yang Allah ciptakan ini adalah makanan terbaik untuk bayi berusia dua tahun ke bawah.

Konsultan pediatrik dari Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. M Kumari menyifatkan penyusuan susu ibu sebagai simbol kasih sayang utuh seorang ibu kepada bayi.

Berkhidmat di hospital yang juga dikenali sebagai hospital rakan bayi, Dr. Kumari, mengambil inisiatif memberitahu kepada ibu-ibu yang melahirkan bayi di situ akan kebaikan yang diterima hasil daripada penyusuan susu ini.

"Memang tidak syak lagi bahawa tiada susu lain yang boleh menggantikan khasiat yang terdapat dalam susu ibu itu sendiri.

"Walaupun kini terdapat pelbagai khasiat yang terkandung dalam susu formula seperti yang didakwa, ia masih tidak boleh menandingi kebaikan susu ibu dalam memenuhi keperluan bayi," ujar Dr. Kumari.

Tambahnya, tiga hari pertama selepas seorang ibu melahirkan bayi, susu yang dikeluarkan mengandungi kolestrum yang mana di dalamnya kaya dengan antibodi untuk meningkatkan sistem pertahanan tubuh bayi.

"Bukan itu sahaja, susu terawal ini juga kaya dengan protein yang membekalkan tenaga untuk bayi, malah kolestrum juga memberikan kesan yang baik buat sistem penghadaman si kecil.

"Mungkin ramai yang belum tahu bahawa kolestrum membantu mengeluarkan najis bayi yang pertama di mana proses tersebut amat penting bagi 'membersihkan' bilirubin yang berlebihan.

" Sudah tentu ia sekali gus akan melindungi bayi daripada terkena penyakit kuning," jelasnya.

Menurut Dr. Kumari, selepas tiga hari, konsistensi pengeluaran susu ibu akan berkurangan di mana susu akan berubah sifat menjadi sedikit cair dan ada unsur manis serta semakin hari rasanya semakin pekat.

Selain itu, penyusuan terus dari payu dara kepada bayi mewujudkan satu pertalian istimewa yang kukuh antara ibu dan anak, malah ikatan ini akan terus kukuh walaupun anak tidak lagi menyusu dari si ibu terbabit.

"Kajian telah dilakukan sejak dahulu lagi bahawa bayi yang disusukan ibu menjadi rapat dengan ibu sendiri walaupun mereka telah dewasa berbanding dengan bayi yang tidak menyusu badan," ujarnya.

Disebabkan terlalu banyak kebaikan yang diperoleh daripada penyusuan susu ibu ini, Kumpulan Penjagaan Kesihatan KPJ telah mengambil langkah pro-aktif untuk menggalakkan penyusuan susu ibu dengan melaksanakan polisi 'penyusuan susu ibu' di hospitalnya yang terpilih.

Ini bermakna, hospital terbabit mempunyai pegawai yang telah dilatih dengan ilmu laktasi dan berpengalaman dalam penjagaan selepas bersalin.

Hospital tersebut juga menganjurkan 'Minggu Penyusuan Susu Ibu' pada minggu pertama bulan Ogos setiap tahun untuk menambah kesedaran dan kepentingan susu ibu pada wanita bersalin.

Malah kepada bakal ibu, mereka turut diberikan kelas pra-natal yang mengajar teknik terkini penyusuan bayi mengikut gaya hidup dan tuntutan kerjaya masing-masing.

Bagi ibu yang baru pertama kali menyusukan anak mungkin pengalaman memberi susu ini adalah satu pengalaman yang boleh melemahkan semangat mereka.

Bagaimanapun, Dr. Kumari menasihatkan, ibu-ibu ini agar menggunakan pendekatan demand feeding, iaitu si ibu hanya memberikan susu kepada bayinya apabila bayi lapar dan hanya berehat bila bayi tidur.

Dalam kesibukan tuntutan kerja hari ini, beliau mengakui ramai ibu yang tidak dapat memberikan sepenuhnya susu ibu kerana kekangan masa.

Sedangkan seorang bayi ibu sebaiknya mendapat penyusuan eksklusif dari ibunya sekurang-kurang selama enam bulan.

"Sebab itu saya menggalakkan ibu yang bekerja supaya mengepam susu mereka dan berikan kepada bayi," nasihatnya.

Memberi susu ibu adalah tanggung jawab si ibu, namun suami atau bapa juga harus memainkan peranan penting sepanjang proses ini.

Bantuan yang boleh diberikan oleh para bapa ialah dengan melancarkan lagi proses tersebut.

Dengan 30 tahun pengalaman, Dr Kumari melihat sendiri betapa penyusuan susu ibu memberikan terlalu banyak kesan positif kepada ibu dan bayi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: