Saturday, February 11, 2012

Kenapa anak berbohong?

MELIHAT anak-anak sedang membesar pasti berhadapan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku yang menyebabkan kadangkala ibu bapa hilang sabar.

Antaranya ialah tabiat suka berbohong.

Mungkin ada yang menganggap ia hanya sebahagian daripada proses pembesaran anak-anak tetapi sikap ini sebenarnya harus dikikis sejak usia muda lagi.

Dalam masa sama menurut Kaunselor Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara(LPPKN) Melaka, Latifah Md. Yusoh, ibu bapa juga perlu mengkaji kenapa anak bersikap sedemikian.

"Bagi anak-anak yang berusia dua tahun mereka tidak dapat membezakan realiti dan fantasi, justeru mereka akan berbohong akibat kekeliruan.

"Pada tahap ini ibu bapa tidak perlu risau kerana itu adalah proses perkembangan mereka,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas beliau, ada juga yang sanggup berbohong semata-mata mahukan perhatian daripada seseorang.

"Dalam keadaan ini, anak-anak akan bertindak untuk mereka-reka cerita demi mendapatkan perhatian daripada seseorang. Menghadapi situasi ini ibu bapa perlu bertindak dengan meneliti kesahihan cerita dan jika mendapati anak berbohong pastikan mereka mengubah sikap.

"Sebagai ibu bapa kita boleh menghukum mereka dengan tujuan mendidik, namun hukuman itu biarlah munasabah,'' ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, ada juga anak-anak bertindak untuk berbohong semata-mata kerana takutkan hukuman atas perbuatan yang kemungkinan mencetuskan kemarahan ibu bapa mereka.

Apabila kali pertama mereka mengaku perbuatan tersebut dan menerima hukuman, anak akan cuba berbohong bagi mengelak hukuman jika mengulangi kesalahan tersebut.

"Sikap ini akan membingungkan ibu bapa yang mungkin tidak dapat membezakan anak bercakap benar atau sebaliknya , jika dibiarkan anak akan terus berbohong sampai besar,'' ujarnya.

Menurut kajian, ibu bapa yang mendidik anak dengan konsep menerangkan mengapa berbohong itu tidak baik dan membimbing anak agar mengubah sikap, mendapati kekerapan berbohong berkurangan.

Latifah juga menyarankan agar ibu bapa jadikan anak-anak seperti kawan yang boleh berkongsi apa sahaja cerita dan tempat meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam.

Dengan cara ini katanya, ia mungkin dapat mengurangkan faktor untuk anak berbohong.

"Jika terlalu kerap menghukum pun lama-kelamaan mereka tidak akan takut dan paling teruk akan terus mengulangi kesilapan tabiat tersebut,"jelasnya.

Seeloknya kata Latifah, ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dan jangan kerap berbuat janji yang tidak dapat ditunaikan.

Tekankan juga sikap jujur serta berterus terang terhadap anak, malah dalam masa yang sama tanamkan dalam fikiran anak-anak secara perlahan-lahan betapa buruk dan bahayanya berbohong.

"Kita sebagai ibu bapa harus bersikap terbuka terhadap anak-anak, jangan sampai mereka takut untuk bersuara, oleh itu jadilah pendengar yang setia untuk mendengar apa sahaja luahan mereka.

"Andai tahu anak masih berbohong jangan terus memarahi mereka sebalik gunakanlah psikologi supaya mereka tidak mengulangi perbuatan itu,'' tambah beliau lagi.

Apa pun kata Latifah, pendekatan agama adalah paling penting kerana anak-anak yang diterapkan dengan didikan agama tidak akan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah, kerana berbohong adalah perbuatan berdosa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: