Saturday, February 11, 2012

Menyelamatkan nyawa dengan bank susu ibu


Bayi pra-matang memerlukan susu ibu untuk membesar dengan sihat.


SEJARAH bank susu ibu bermula pada tahun 1910 di Washington, Amerika, hasil idea Profesor Talbot. Kaedahnya ialah dengan mengambil susu dari ibu dan diletakkan di suatu tempat yang kemudiannya diberikan kepada bayi yang memerlukan.

Idea ini kemudiannya diteruskan di Eropah pula oleh Dr. Marie, yang telah membuka sebuah bank susu ibu di Jerman. Kemudian disusuli oleh Profesor Nulong pada tahun 1947 di Paris, yang mana susu ibu diagihkan dan konsep tersebut dibawa sehinggalah ke hari ini.

Di Malaysia sendiri, kes-kes seperti kelahiran bayi pra-matang, kelahiran bayi oleh ibu penghidap penyakit berjangkit seperti HIV positif dan kelahiran kembar melebihi dua dan tiga jumlahnya, makin meningkat tahun demi tahun.

Kajian menunjukkan setiap bayi boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit kronik jika diberikan susu ibu pada hari-hari awal kelahiran, apatah lagi di dalam kes kronik seperti kelahiran pra-matang.

Ini membuatkan wujudnya keperluan untuk menubuhkan bank susu ibu di negara ini.

Bagi perunding laktasi, Nor Kamariah Mohamad Alwi, keperluan bank susu perlu dilihat secara lebih objektif iaitu untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko penyakit kronik di kalangan bayi-bayi yang memerlukan.

Persepsi bahawa kewujudannya boleh menyebabkan percampuran nasab sepatutnya boleh ditangani dengan kaedah perlaksanaan yang lebih telus dan cekap.

"Kenapa tidak melihat keperluan bank susu seperti tabung darah? Konsepnya tetap ingin menyelamatkan nyawa manusia yang memerlukan.

"Mungkin pada pandangan sesetengah pihak, keperluan bank susu ibu di Malaysia masih belum mendesak. Tapi mengikut pengetahuan saya, keadaan keperluan di Malaysia tiada bezanya berbanding dengan negara lain yang telah melaksanakannya.

"Ini kerana jumlah kelahiran anak pra-matang di negara ini semakin bertambah.

"Bukan bermakna ibu kepada bayi ini tidak boleh menyusukan bayi pra-matang mereka sendiri tetapi kebiasaannya bayi-bayi ini perlu tinggal lebih lama di hospital dan kadangkala mengambil masa berbulan-bulan.

"Bagi ibu pula mereka mungkin tidak dapat tinggal lebih lama di hospital kerana masalah penginapan dan kemudahan di hospital yang tidak cukup.

"Sementara menunggu bekalan susu dari ibu mereka sendiri, alangkah baiknya jika bayi-bayi ini diberi bekalan susu ibu (jika ada) walaupun dari ibu lain. Ia jauh lebih bermanfaat berbanding jika terpaksa diberi susu tepung," jelas Nor Kamariah yang ditemui di pejabatnya, SusuIbu.com di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Beliau berkata, implementasi bank susu ibu ini memang telah berjaya di beberapa negara.

Antara yang paling berjaya pengurusannya ialah Australia, malah tidak wujud isu nasab kerana kecanggihan sistem pengurusan itu sendiri.

"Dalam perlaksanaan bank susu di Australia itu, kebanyakan susu yang dikumpulkan adalah dari ibu-ibu yang melahirkan bayi pra-matang juga.

"Kebiasaannya, ibu yang telah melalui fasa pemulihan setelah melahirkan bayi pra-matang dan berasa lebih stabil, merasakan susu yang mereka perah untuk bayi sendiri melebihi daripada keperluan bayi mereka.

"Susu ini didapati boleh dimanfaatkan untuk pasangan ibu dan bayi pra-matang lain yang baru melalui proses ini.

"Oleh itu, susu tersebut akan dikumpulkan dan didermakan kepada bayi lain yang juga memerlukan susu ibu sementara menunggu ibu kandungnya berupaya mengumpul susunya sendiri.

"Konsep tolong satu sama lain di hospital tersebut memang satu usaha yang sangat murni," ujarnya.

Menurut Nor Kamariah, satu lagi keperluan mendesak di Malaysia ialah bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap HIV positif.

"Bilangan ibu yang menghidap HIV positif memang semakin meningkat. Selepas kelahiran, polisi di Malaysia masih belum membenarkan ibu HIV positif menyusukan anak mereka.

"Memandangkan polisi kita menetapkan sedemikian adakah bermakna bayi itu tidak layak untuk mendapat susu ibu.

"Sekiranya ada bank susu ibu, maka anak itu boleh mendapat peluang untuk menikmati susu ibu daripada meminum susu tepung yang jauh kurang khasiatnya berbanding susu ibu," ujarnya.

Perlaksanaan PREM Bank

Dalam pada itu Nor Kamariah berkata, Perron Rotary Express Milk Bank (PREM Bank) di Australia adalah antara bank susu ibu paling berjaya dan kaedah mereka mungkin boleh dilaksanakan di negara ini.

Di PREM Bank rekod penderma dan penerima disimpan dengan baik dan saling dimaklumkan, justeru tidak timbul isu nasab.

Kaedah yang digunakan oleh PREM Bank memang terbukti bersistematik di mana prosesnya bermula dengan mendapatkan persetujuan ibu untuk mendermakan susunya.

Kemudian ibu itu disaring untuk memastikan tidak mempunyai penyakit bahaya dan seterusnya proses temu bual untuk mengetahui amalan pemakanan dan kehidupannya.

Ibu tersebut akan dibekalkan dengan bekas khas untuk mengumpul susunya, malah mereka juga dibekalkan pam susu untuk memudahkan proses pengumpulan susu sepanjang tempoh menderma.

Ibu penderma juga diajar kaedah bersih dan selamat untuk mengumpul susu dan semua maklumat tentang status susu dicatatkan secara sistematik.

"Setiap bekas susu itu ada tanda pengenalan dan susu itu akan disaring di bank susu dengan proses yang teliti, sama seperti proses saringan di tabung darah sebab tidak mahu membahayakan nyawa orang lain.

"Selalunya seorang ibu akan menghantar beberapa bekas susu. Kumpulan susu dari setiap ibu ini, kemudiannya dipastur secara berasingan.

"Kemudiannya ia akan dipecahkan kepada bekas-bekas yang lebih kecil bersesuaian dengan keperluan bayi untuk setiap suapan bersesuaian dengan pengambilan anak yang mengambil nanti mengikut, umur dan berat bayi itu sendiri.

"Data penerima dan penderma dicatat dengan lengkap dan bersistematik sebelum disimpan dalam pangkalan data yang diwujudkan.

"Ia adalah tanggung jawab badan tersebut untuk memaklumkan, sama seperti proses pengambilan anak angkat.

" Konsep bank susu ibu ini adalah untuk menolong anak tersebut membesar dan bukan dilihat dari perspektif pemilikan atau sebagainya," ujarnya.

Tambah Nor Kamariah, di Malaysia memang ada hospital yang sudah membuat tabung susu ibu ini.

"Bagi saya tidak ada salahnya anak itu mendapat ibu susuan. Kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku percampuran nasab (misalnya, perkahwinan adik-beradik susuan) ia lebih kepada isu memaklumkan. Menjadi tanggung jawab yang pihak terbabit (ibu bapa) untuk memaklumkan siapa ibu atau anak susuannya.

"Kita seharusnya mencari kesesuaian perlaksanaan agar hukum hakam tidak dilanggar tapi dalam masa yang sama ia harus diperhalusi. Objektif asal harus dikekalkan iaitu untuk menyelamatkan nyawa bayi.

"Selagi kita dapat penemuan baru, bukti terbaru, kaedah perlaksaan terbaru, mengapa tidak dibuka ruang perbincangan sebelum menentukan halal haram sesuatu tindakan murni seperti ini," ujarnya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: