SEBAHAGIAN artis, wakil syarikat produksi dan mereka yang terbabit dalam program sepanjang 2012 di Istana Budaya.
PERSENGKETAAN isu ciplak idea dan konsep membabitkan dua program di Istana Budaya (IB) iaitu Lawak Ker, Der? yang dipersembahkan awal bulan ini dan Panggung Pecah Perut (PPP) yang bakal dipentaskan pada September terus diperkatakan dengan persoalan lebih bertumpu kepada produksi mana terlebih dulu mengemukakan kertas kerja dan diluluskan untuk pementasan, kemudian diumumkan dalam kalendar tahunan Istana Budaya (IB).
Sebenarnya ketika majlis itu saya sendiri tidak tahu akan ada dua slot Bila Hati Di Geletek yang akan diperkenalkan IB. - Sharifah Shahirah, Pelakon/pengacara
Jika isu ciplak idea dan konsep persembahan pementasan itu tidak diselesaikan segera pihak IB, ia akan mengundang imej tidak baik terhadap industri teater di negara ini, khususnya agensi kerajaan itu. Dakwaan Den Wahab mengenai apa yang berlaku terhadap produksinya harus diselesaikan dengan cara perbincangan atau mencari penyelesaian segera supaya kebenaran dapat dibuktikan.PPP yang akan dipentaskan menerusi slot Bila Hati Digeletek dikatakan dilabel sebagai yang pertama dengan konsep persembahan membabitkan semua pelawak seperti dibentangkan dalam kalendar pementasan sepanjang tahun ini. Pelancaran Program IB 2012 itu diadakan Disember lalu oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Isu ini turut mencetuskan tanda tanya di kalangan artis yang bakal membuat persembahan untuk PPP seperti Nabil, Sharifah Shahirah dan Ebby Yus.
Bagaimanapun, beberapa artis yang akan terbabit dalam pementasan PPP di bawah slot Bila Hati Di Geletek yang akan dipentaskan pada September ini tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana menyedari ia memberi impak kurang sihat kepada industri hiburan, khususnya kepada IB sendiri.
Nabil tidak menafikan dia menerima tawaran lebih awal daripada GNE milik Den Wahab, namun mengakui kedua-duanya membabitkan konsep dan idea berbeza.
“Memang betul saya ada menerima tawaran untuk pementasan PPP dulu, yang akan dipentaskan pada September ini dan disusuli tawaran untuk Lawak Ke, Der? Sebagai artis, saya terima apa saja tawaran untuk menjayakan sesuatu program bagi memenuhi kehendak produser. Ini adalah kerjaya saya sebagai seorang pelawak. Jika ikutkan, memanglah saya akan menyokong apa saja program komedi untuk memeriahkan lagi industri kita.
“Pada masa sama saya tidak mahu mencampuri urusan ini dan ia membabitkan pihak pengurusan dua syarikat produksi terbabit kerana saya menganggap kedua-duanya membabitkan konsep dan idea berlainan,” katanya ketika mengulas kenyataan Den Wahab menerusi artikel ‘Terkilan idea kena ciplak’ siaran akhbar ini, semalam.
Begitu juga Sharifah Shahirah, yang turut terbabit dalam sketsa pendek PPP ketika majlis pengumuman kalendar program IB Disember lalu, mengelak daripada mencampuri urusan dua produksi itu bersama pengurusan IB.
“Sebenarnya ketika majlis itu saya sendiri tidak tahu akan ada dua slot Bila Hati Di Geletek yang akan diperkenalkan IB. Saya hadir untuk membuat sedikit persembahan sedutan program PPP saja ketika majlis pelancaran kalendar IB untuk tahun ini.
“Jika ikutkan, memanglah ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat menjadi barisan pertama artis komedi mengisi slot itu di IB, namun saya terpaksa berfikiran positif demi industri hiburan kita,” katanya.
Ebby Yus yang turut terbabit sebagai seorang daripada barisan pelawak dalam PPP juga kesal sekiranya isu ciplak idea dan konsep boleh berlaku sedangkan ia membabitkan bidang profesionalisme.
“Malangnya, saya tidak berpeluang menonton Lawak Ker, Der? kerana ada penggambaran drama. Tetapi setahu saya, idea dan konsep yang sudah dibincangkan bersama produser dan pengarah PPP adalah menggabungkan pelawak baru dan lama termasuk beberapa peserta Maharaja Lawak Mega dan Raja Lawak ke atas pentas.
“Kami akan membuat sketsa berlainan dengan beberapa kumpulan dibahagikan mengikut segmen. Saya nak bagi komen lebih pun saya tidak tahu sebab saya tidak menonton Lawak Ker, Der? Tetapi, sekiranya betullah idea dan konsepnya sama atau lebih kurang dengan PPP, memang saya sangat terkilan. Namun kita harus bersikap positif kerana rezeki kita ada di mana-mana saja,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: