![]() |
| MOHAMMAD FARID (kiri) dan Baharin Ibrahim ingin memertabatkan seni mempertahankan diri masing-masing di negara ini. |
SENI mempertahankan aikido yang berasal dari Jepun sudah tidak asing lagi bagi masyarakat negara ini.
Uniknya, aikido tidak memerlukan pengamalnya menyerang lawan apatah lagi menggunakan senjata seperti pedang mahupun sekerat kayu.
Cuma apabila keadaan terdesak baru kedua-dua senjata ini digunakan tetapi pada tahap minimum kerana ia lebih terarah kepada strategi mempertahankan diri semata-mata.
Pengasas Aikido Shudokan Malaysia (ASM) Ramlan Ahmed memberitahu, aikido amat berbeza daripada seni bela diri yang lain.
"Saya tidak perlu menggunakan tenaga yang banyak untuk berlawan, sebaliknya menggunakan tenaga lawan untuk menangkis serangan.
"Ia lebih kepada pertahanan diri bagi mengelakkan kecederaan kepada pengamalnya," katanya.
Cerita Ramlan, 44, aikido lebih terarah kepada penggunaan kuasa minda dan kepekaan kepada persekitaran.
Ujarnya, apabila berlaku serangan, kita akan meneutralkan tenaga penyerang dan menyerap tenaganya. Seterusnya menggunakan kembali tenaga tersebut untuk menjatuhkan lawan.
"Anda perlu berwaspada dan menentukan waktu yang paling tepat untuk bertindak serta memanipulasi tenaga," katanya.
Menurut Ramlan, aikido diasaskan oleh Morihei Ueshiba di Jepun tetapi ia lebih popular di Australia.
Kolam renang
"Seorang pakar aikido iaitu Joe Thambu Shihan mempunyai ribuan pelajar sehingga saiz dewan latihannya tiga kali ganda lebih besar dari gelanggang perlawanan badminton.
"Malah, ibu bapa pelatih aikido boleh melihat anak mereka berlatih dari bilik khas sambil makan-makan," kata Ramlan.
Mereka juga boleh mandi di kolam renang dan memanjakan diri di spa kerana di sana aikido juga diajar bagi merapatkan hubungan kekeluargaan. Joe Thambu Shihan kini menetap di Melbourne, Australia.
Bagi seorang pelajar Ramlan, Mohammad Farid Alsafari Ambiah, 36, beliau menjadikan aikido sebagai sumber utama pendapatan.
"Bayaran untuk mengajar ilmu ini agak lumayan iaitu mencecah sehingga ribuan ringgit sebulan selain berperluang bertemu pakar aikido di Australia dan Jepun sendiri," katanya.
Selain aikido terdapat satu lagi seni mempertahankan diri kurang menggunakan senjata iaitu silat seni tarian.
Silat seni tarian
Bukan sahaja aikido, malah ada varian seni silat Melayu yang menyerupai aikido. Bekas jurulatih silat negara, Baharin Ibrahim berkata, seni silat tarian tidak jauh bezanya dengan aikido.
"Silat ini dikesan popular sekitar 1880-an. Pada masa dahulu berlawan dengan musuh di batang-batang pokok yang dijadikan jambatan.
"Jadi untuk berlawan mereka perlu mengimbangi badan dengan baik selain mempunyai kekuatan pada bahagian anggota tangan dan juga kaki," katanya.
Cerita Baharin, 85, silat itu mementingkan keseimbangan badan, cara lompatan, gerak dan pergerakan tangan.
"Alunan tangan itu bukan sahaja berperanan seperti tarian tapi untuk seimbangkan badan daripada jatuh," katanya.
Namun terdapat juga unsur-unsur lucu dalam silat ini.
Jelas Baharin, ada pergerakan yang dinamakan lenggang mak janda dan lambai dara.
"Gerakan lenggang mak dara ia dinamakan sedemikian kerana pesilat wanita mengerakkan tangan, lenggok tubuh dan dan cara berjalan seperti seorang janda.
"Ilhamnya berpunca daripada gerakan janda untuk menggoda. Tetapi jangan salah anggap kerana pergerakan sebegini cukup mengelirukan musuh," katanya.
Ujarnya lagi, bagi lambai dara pula kerana seseorang seperti ingin memikat anak dara yang berdiri di tepi tingkap.
"Kerana itu ada pergerakan memegang rambut, leher dan seakan senyuman sebagai pengenalan sebelum pukulan dimulakan.
"Asalnya cara-cara seorang lelaki untuk memikat pasangannya kemudian diadaptasi dalam bentuk persilatan," ceritanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui seni silat tarian kurang digunakan untuk berlawan dan lebih dipersembahkan semasa kenduri kahwin atau majlis tertentu.
"Penggunaan senjata seperti keris juga digunakan pada tahap yang minimum.
"Namun, ia tetap mengajar erti disiplin serta mampu menundukkan musuh di sebalik nama dan cara pergerakan," jelas Baharin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: