Sunday, February 12, 2012

Diacu senapang ke muka


KATA Rozila, dalam masa tidak sampai tiga minit, perompak berjaya melarikan wang RM170,000. - Gambar hiasan


ROZILA, 31 (bukan nama sebenar) telah tujuh tahun berkhidmat di salah satu cawangan bank terkemuka di ibu kota.

Bermula sebagai juruwang, dia kini menjawat jawatan sebagai eksekutif kewangan.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 4 tahun ini sudah lali dengan pelbagai kerenah pelanggan.

Itu semua dianggap sebagai rencah dalam kerjaya dan sehingga kini Rozila mengakui ragam pelanggan belum pernah melunturkan semangatnya untuk terus bekerja walaupun sering keluhan terbit dari bibirnya.

“Sejak di sekolah rendah lagi saya memang bercita-cita hendak bekerja di bank. Sebaik tamat pengajian dalam jurusan kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) saya terus memohon untuk bekerja di bank,” ujarnya tersenyum.

Namun, dalam keseronokan mengejar impiannya itu, Rozila pernah berdepan dengan situasi yang paling mencemaskan dalam kerjayanya.

“Bank tempat saya bertugas pernah dirompak kira-kira lima tahun lalu.

“Walaupun kejadian itu telah lama berlaku namun ia masih segar dalam ingatan saya,” kata Rozila.

Menurut cerita anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini, kejadian rompakan tersebut berlaku pada pukul 4 petang.

Ketika itu dia yang berada di kaunter hadapan sedang mengemas kini kira-kira memandangkan waktu urus niaga bank sudah hampir tamat.

“Petang itu orang tidak ramai di bank. Selepas menutup kaunter, saya terus memulakan kerja kira-kira. Hari itu merupakan hari terakhir saya bekerja sebelum bercuti kahwin.

“Ketika itu, rasa teruja untuk bercuti memang meluap-luap. Dalam kepala saya memang fikir nak cepat-cepat bereskan kerja dan terus pulang ke kampung malam itu juga.

“Mana taknya, lagi tiga hari nak naik pelamin, tapi saya masih ada di pejabat sedangkan di kampung keluarga sudah berkumpul dan membuat persiapan.

“Sedang saya asyik mengira-ngira wang, tiba-tiba ada tiga lelaki meluru masuk ke dalam bank. Semuanya memakai topi keledar bertutup penuh.

“Salah seorang daripadanya membawa senapang, seorang lagi masuk dengan tangan kosong dan kemudiannya merampas pump gun daripada pengawal keselamatan yang duduk di hadapan kami.

“Rakan perompak yang terakhir masuk tanpa senjata tetapi membawa dua buah beg bersaiz sederhana besar.

“Waktu itu saya benar-benar tergamam. Walaupun pernah menjalani latihan rompakan sebelum ini, saya tidak mampu berfikir apa pun ketika itu.

Rogol

“Masa itu saya jadi gugup, badan saya menggigil. Saya ingin tinggalkan kaunter dan lari ke belakang tapi apabila teringat pesanan seorang rakan, saya batalkan niat saya.

“Katanya, kalau berlaku rompakan, jangan lari sembunyi di bilik air, nanti kena rogol. Seronoklah perompak itu nanti, wang dapat, sedap pun dapat,” katanya.

Ditanya apa yang mampu dibayangkan ketika itu, Rozila hanya memikirkan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung.

“Apabila seorang perompak melompat naik ke atas kaunter dan muncung senapang dihalakan betul-betul di depan batang hidung, saya hanya berdoa, janganlah kenduri kahwin saya nanti diganti menjadi kenduri arwah,” katanya.

Cerita Rozila lagi, perompak tersebut kemudian melemparkan beg ke arahnya dan rakan sekerja yang duduk di kaunter bersebelahan.

“Lelaki tersebut, yang bercakap dalam loghat Melayu-Siam mengarahkan mereka untuk mengisi wang ke dalam beg tersebut.

“Seorang lagi perompak bersenjata menjaga pintu masuk dan seorang lagi menjerit menyuruh pelanggan meniarap dan memberi amaran kepada kami supaya jangan cuba bertindak berani.

“Masa itu saya hanya menurut sahaja arahan mereka walaupun hati saya terkilan melihatkan wang berkepuk-kepuk dimasukkan ke dalam beg.

“Sempat pula saya bertanya kepada perompak itu.

“Hendak masukkan semua duitkah? Duit syiling mahu jugakah?

“Memang kena tengkinglah jawabnya. Iyalah, pertama kali berdepan dengan kejadian seperti ini, saya jadi bingung, tak tahu nak buat apa.

“Tapi sekarang apabila saya ingatkan semula babak tersebut, nak tergelak pun ada,” jelas Rozila.

Tambah anak perempuan tunggal dari lima beradik ini lagi, jika berlaku rompakan di bank, sebaiknya ikut sahaja arahan perompak, apatah lagi jika mereka bersenjata.

“Wang di dalam bank telah diinsurankan. Jadi bank akan dapat semula wang.

“Lain pula dengan nyawa. Memang ada insurans nyawa, tapi kalau nyawa sudah melayang, memang tidak akan ada peluang untuk dapat nyawa kita kembali,” ujar Rozila berkongsi tip.

Risiko

Selepas berpuas hati dengan beg yang semakin memberat, ketiga-tiga perompak tadi pantas melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sudah menunggu di luar bank.

Dalam kejadian yang hanya mengambil masa tidak sampai tiga minit itu, kata Rozila, sebanyak RM170,000 berjaya dilarikan.

“Mujur tidak ada sesiapa yang tercedera atau diapa-apakan. Nasib masih menyebelahi kami.

Pengawal keselamatan kami yang bertugas pada hari itu beberapa kali meminta maaf sebab tidak dapat menghalang rompakan daripada terjadi.

“Kalau saya berada di tempat dia pun, dikawal dan diacu senapang sepanjang masa, memang tiada apa yang mampu dilakukan,” ujar Rozila.

Ceritanya lagi, sebaik sahaja perompak keluar, Rozila dan rakan-rakannya yang masih terkejut seakan tidak percaya yang mereka baharu sahaja dirompak.

“Ia berlaku begitu pantas. Rasanya belum hilang rasa tergamam melihat senjata diacu ke muka, tahu-tahu duit sudah lesap dilarikan,” ujarnya lagi.

Walaupun pernah berdepan dengan perompak, Rozila masih ingin terus bekerja di bank tersebut.

“Saya tidak serik untuk terus bekerja di bank. Saya sukakan kerjaya ini,” katanya menutup bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: