SUNGAI PETANI - Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) yang dilancarkan semalam mampu menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai nadi pengeluaran makanan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, kelab itu juga akan membantu negara dalam menangani defisit import makanan yang sekarang begitu besar berbanding eksport makanan.
"Ketika ini kita eksport RM18 bilion setahun tetapi import makanan kita RM30 bilion. Kita berdepan dengan defisit yang cukup besar.
"MyAgrosis akan membantu kita menampung defisit ini dengan kaedah-kaedah baharu," katanya ketika melancarkan MyAgrosis peringkat kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia dan Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu program itu.
Katanya, Inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Siswazah Tani Agrobank dengan dana khas sebanyak RM10 juta telah diluluskan oleh Agrobank sebagai pinjaman mudah usahawan siswazah MyAgrosis tanpa penjamin dengan had pinjaman maksimum RM30,000 untuk menjalankan perniagaan.
Jelasnya, program itu adalah kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pengajian Tinggi.
"Ia akan mendedahkan siswa dan siswi kepada bidang pertanian dengan paradigma baharu iaitu pertanian sebagai model dan konsep perniagaan.
"Ia juga dapat menambah daya pengeluaran pertanian negara dan usaha menambah rangkaian agrobazar yang dapat menjual bahan makanan pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat," katanya.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: