
KEDAIFAN dan kesusahan hidup yang pernah dialami sering memberi kita semangat untuk membantu mengubah kehidupan keluarga.
Ingin melihat keluarga terutamanya ibu bapa tercinta merasa kesenangan di dunia, apa jua ombak dan badai dalam pekerjaan ditempuh bagi mencapai matlamat tersebut.
Apatah lagi kehidupan di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di pekan Belaga, Bakun yang memerlukan perjalanan hampir lapan jam melalui pengangkutan air dari Kapit tidak mematahkan semangat Cif Inspektor Tansli Mering untuk meneruskan kerjaya sebagai pegawai polis di Semenanjung Malaysia.
Pertama kali bertemu beliau, penulis menyangka pegawai berusia 36 tahun ini berasal dari Sabah kerana loghat 'Borneo' yang ketara apabila beliau menutur kata.
Namun, pantas memintas, beliau segera memberitahu bahawa beliau adalah anak jati Sarawak dan berketurunan Kenyah.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata perempuan itu kemudian mula berbicara mengenai diri dan pengalaman sebagai pegawai polis.
Telah menyertai pasukan keselamatan ini pada 1996, kini hampir 16 tahun beliau berkhidmat dalam bahagian siasatan jenayah narkotik.
Bagaimanapun, mengimbau kenangan lalu, beliau terdiam sejenak sebelum menyambung perbualan dan menceritakan satu pengalaman yang masih dalam ingatan.
Ketika memegang jawatan sebagai pegawai operasi bagi satu kes dadah di Kuala Lumpur, kejadian orang kena tuduh (OKT) terjun bagi menyelamatkan diri masih menjadi kenangan yang tidak mungkin beliau lupakan.
Selaku pegawai operasi, beliau bersama tiga lagi anggota ke rumah suspek untuk membuat pemeriksaan harta benda.
"Apabila semua barang telah disemak dan ditanda, suspek bertindak agresif dengan menolak salah seorang anggota lalu berlari ke anjung rumah sebelum nekad terjun.
"Tindakan suspek terjun dari tingkat 20 sebuah kondominium di Sentul itu mengejut saya selaku pegawai operasi pada waktu itu," katanya bersungguh-sungguh.
Tambah Tansli, apa yang dikhuatiri mengenai kejadian itu adalah persepsi masyarakat yang beranggapan kejadian itu berkemungkinan disebabkan oleh pihak polis.
Katanya, sebaik kejadian itu, beliau menanam azam agar kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
Tambah Tansli, pelbagai cabaran dan halangan sepanjang 16 tahun menjadi pegawai narkotik.
"Kekangan perundangan, tempoh tahanan reman dan peralatan mengesan pesalah yang terlibat dalam dadah.
"Bagaimanapun, secara peribadi saya merasakan siasatan bagi kes narkotik bersesuaian dan boleh ditambah baik," katanya yang turut melanjutkan pengajian jarak jauh di Universiti Sains Malaysia (USM).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: