![]() |
| PERSONA Marilyn Monroe yang dibawakan oleh Michelle Williams dalam filem My Week With Marilyn juga membawa tuah untuknya. |
SENARAI akhir pencalonan Anugerah Screen Actors Guild Ke-18 yang diumumkan baru-baru ini memperlihatkan kehebatan filem The Help yang berjaya dicalonkan untuk empat kategori utama.
Ia termasuklah Persembahan Barisan Pelakon Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik untuk Viola Davis serta dua pencalonan untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jessica Chastain dan Octavia Spencer).
Walaupun Davis sudah boleh tersenyum bangga dengan pencalonan ini, dia harus sedar bahawa saingannya bukan sembarangan.
Saingan Davis kali ini termasuklah dua aktres veteran, Glenn Close dan Meryl Streep yang masing-masing dicalonkan untuk Albert Nobbs dan The Iron Lady.
Dua calon lain iaitu Tilda Swinton dan Michelle Williams juga tidak kurang hebatnya apabila lakonan mereka dalam filem We Need To Talk About Kevin dan My Week With Marilyn antara yang terbaik dalam musim anugerah kali ini.
Sememangnya dari awal lagi, The Help telah dilihat sebagai salah sebuah filem yang mampu memberikan saingan hebat.
Mengenengahkan jalan cerita tentang dilema dan permasalahan yang dihadapi oleh orang gaji berkulit hitam dalam berhadapan dengan isu diskriminasi pada tahun 60-an, The Help juga antara filem yang mencatatkan kutipan pecah panggung.
Namun, laluan The Help dilihat tidak mudah kerana filem arahan Tate Taylor itu perlu berhadapan dengan filem The Artist yang mendapat tiga pencalonan termasuk Persembahan Barisan Pelakon Terbaik.
Dua pelakon filem tersebut, Jean Dujardin dan Berenice Bejo pula masing-masing dicalonkan untuk Pelakon Lelaki dan Pembantu Wanita Terbaik.
Seperti mana filem The Help, The Artist juga merupakan antara calon kegemaran dalam musim anugerah kali ini kerana nilai-nilai estetika yang ditonjolkan.
Apatah lagi, The Artist bukan filem sembarangan apabila ia merupakan silent film yang dihasilkan dalam hitam putih lalu menjadikan The Artist sebuah karya unik serta mampu memberikan cabaran kali ini.
Filem-filem lain yang mendapat perhatian dalam Anugerah SAG kali ini termasuklah The Descendants, Bridesmaids dan Midnight In Paris.
Sementara itu, filem-filem seperti My Week With Marilyn, Albert Nobbs, J. Edgar dan Moneyball pula menyaksikan dua pelakon dari setiap filem tersebut menerima pencalonan bagi kategori Pelakon dan Pelakon Pembantu.
Bukan hanya filem, Anugerah SAG juga memberi pengiktirafan kepada karyawan televisyen dan sekali lagi, siri komedi popular, Modern Family menjadi pilihan juri untuk terus dicalon.
Modern Family mendahului kategori televisyen apabila menerima lima pencalonan termasuk Persembahan Barisan Pelakon Siri Komedi Terbaik selain empat pelakonnya, Ty Burrell, Eric Stonestreet, Julie Bowen dan Sofia Vergara yang masing-masing dicalonkan untuk Pelakon Lelaki dan Wanita Siri Komedi Terbaik.
Dalam kategori lakonan juga, SAG tidak melupakan pelakon senior dan ini sekali gus membuktikan kuasa mereka masih kebal untuk menembusi tembok pencalonan.
Ini termasuklah pemenang enam kali Pelakon Lelaki Siri Komedi Terbaik, Alec Baldwin yang dicalonkan untuk 30 Rock selain Steve Carrel (The Office) dan Jon Cryer (Two and a Half Men).
Begitu juga dengan kategori wanitanya apabila nama-nama seperti Edie Falco, Tina Fey dan Betty White menjadi pilihan juri untuk disenaraikan dalam kelompok lima calon terbaik.
Dalam kategori siri drama pula, Boardwalk Empire yang memenangi Persembahan Barisan Pelakon Siri Drama Terbaik tahun lalu, sekali lagi menjadi pilihan untuk dicalonkan tahun ini.
Kali ini, Boardwalk Empire bakal berhadapan dengan saingan hebat daripada Breaking Bad, Dexter, Game of Thrones dan The Good Wife.
Menerusi pencalonan edisi terbaru ini, hampir kesemua pemenang tahun lalu dicalonkan sekali lagi termasuklah Steve Buscemi yang memenangi Pelakon Lelaki Siri Drama Terbaik untuk Boardwalk Empire di samping Patrick J. Adams (Suits), Kyle Chandler (Friday Night Lights), Bryan Cranston (Breaking Bad) dan Michael C. Hall (Dexter).
Begitu juga dengan Julianna Margulies yang mengulangi kejayaan serupa apabila menerima pencalonan kedua kali ini untuk siri drama The Good Wife.
Saingannya untuk kategori Pelakon Wanita Siri Drama Terbaik juga bukan calang-calang kerana ia dibarisi aktres hebat dan ternama seperti Kathy Bates (Harry's Law), Glenn Close (Damages), Jessica Lange (American Horror Story) dan Kyra Sedgwick (The Closer).
'Mangsa' terbaru juri
Saban tahun dalam musim anugerah di Hollywood, pasti akan ada pertikaian dan persoalan yang dibangkitkan apabila ada karya serta nama yang dipinggirkan pihak juri.
Musim kali ini juga tidak terkecuali apabila jemaah juri SAG dikatakan terlepas pandang filem dan pelakon yang seharusnya mendapat pencalonan berdasarkan kecemerlangan mereka.
Salah satunya adalah filem The Tree of Life arahan Terrence Malick yang sedari awal sudah dicanang sebagai filem yang berpotensi besar untuk mendominasi musim anugerah kali ini.
Dibarisi dengan pelakon hebat seperti Brad Pitt, Sean Penn dan Jessica Chastain, namun, The Tree of Life terpaksa berputih mata apabila gagal dicalonkan dalam mana-mana kategori.
Nasib yang sama turut dialami oleh filem Extremely Loud and Incredibly Close yang dikatakan antara filem yang dihasilkan dengan cukup teliti dan merupakan salah sebuah karya yang sewajarnya diberi pengiktirafan.
Begitu juga dengan Michael Fassbender yang menjadi 'mangsa' kali ini apabila gagal dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Shame.
Menerusi filem itu, Fassbender memegang watak seorang lelaki yang mengalami masalah ketagihan seks melampau dan wataknya dalam filem itu dikatakan antara yang terbaik untuk musim ini.
Seorang lagi 'mangsa' yang senasib dengan Fassbender, Ryan Gosling juga berdepan dengan masalah apabila haknya 'dirompak' sedangkan lakonannya dalam filem Drive dan The Ides of March juga cukup hebat.
Joseph-Gordon Levitt juga gagal memenangi jemaah hati juri SAG apabila tidak berupaya menempatkan dirinya dalam kategori itu walhal lakonannya sebagai pesakit kanser dalam filem 50/50 meninggalkan impak.
Adalah sesuatu yang sangat pelik apabila nama Kirsten Dunst juga terlepas pandang sedangkan filem Melancholia telah memberikannya gelaran Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Cannes tahun ini.
Salah seorang lagi pelakon yang dikatakan mampu meraih pencalonan iaitu Datuk Michelle Yeoh yang memegang watak sebagai Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady juga tidak diendahkan.
Siapa tahu, tuah untuk mereka menanti dalam Anugerah Academy di mana senarai akhir pencalonan anugerah berprestij Hollywood itu akan diumumkan pada 24 Januari depan.
Anugerah Screen Actors Guild Ke-18 akan berlangsung pada 29 Januari 2012 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan ditayangkan secara langsung di Fox Movies Premium.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: