longlai

KOTA BHARU – Suasana di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diselubungi hiba apabila seorang isteri menangis sambil mencium tangan suaminya sejurus bapa empat anak itu dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan 10 kali rotan selepas disabitkan dengan kesalahan memiliki dadah, tahun lalu.

Tambah memilukan apabila, Matini Ismail, 42, dilihat beberapa kali longlai dalam pangkuan suaminya, Che Razaman Che Isa, 48, ketika dibenarkan bertemu tukang kebun itu sebelum tertuduh dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa untuk menjalani hukuman.

Keputusan dibuat selepas Che Razaman mengaku bersalah pada pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki 1,792.6 gram kanabis di sebuah rumah tanpa nombor di RPT Limau Kasturi, Gua Musang pada jam 5 petang, 2 Disember 2010.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim dan peguam bela, Datuk Syukri Mohamed.

Mereka pada asalnya dituduh secara bersama mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah berkenaan, bagaimanapun, pertuduhan itu dipinda dan Che Razaman mengaku bertanggungjawab ke atas kesemua dadah yang ditemui.

Berdasarkan fakta kes, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang menerima maklumat dadah mengekori sebuah Proton Waja dinaiki tertuduh sehingga ke sebuah rumah tanpa nombor di Limau Kasturi, Gua Musang.

Selepas memperkenalkan diri, tertuduh cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditahan dan pemeriksaan menjumpai dadah tersebut dalam sebuah bungkusan plastik dipegang Martini. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bungkusan tersebut mengandungi dadah kanabis.

Hakim Azman Abdullah dalam keputusannya berkata, hukuman diputuskan selepas meneliti semua hujah pendakwa dan rayuan tertuduh.

“Gejala dadah adalah musuh nombor satu negara yang masih belum dapat dibanteras. Sehubungan itu, hukuman perlu mencerminkan keseriusan masalah ini selain dapat memberi peringatan serta ketakutan kepada masyarakat untuk melakukan kesalahan sama,” katanya.