Barangan lebih RM2j dirampas

PELABUHAN KLANG - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya merampas minuman keras dan rokok putih belum lulus kastam bernilai lebih RM2 juta dalam tiga serbuan berasingan di Lembah Klang pada Jumaat dan Ahad lalu.

Pengarah Kastam Negeri Selangor, Datuk Azis Yacub berkata, serbuan pertama dilakukan ke sebuah gudang awam yang disyaki digunakan untuk menyimpan barang belum lulus kastam di Jalan Telok Kapas, Rantau Panjang pukul 11 pagi pada 9 Disember lalu.

“Hasil serbuan di premis itu membawa kepada penemuan dua lori kontena yang berisi minuman keras berjenama Kingfisher dan Bavaria sebanyak 36,864 tin serta rokok putih jenama Cordon sebanyak 9,800 karton dengan nilai keseluruhan termasuk cukai kira-kira RM1.3 juta.

“Pihak yang dipercayai sindiket itu cuba mengikrarkan barang dagangan yang dibawa kedua-dua kontena itu sebagai sulfat bagi mengaburi mata pihak kastam,” katanya.

Katanya, kastam juga menahan dua orang pemandu lori kontena dan dua orang pegawai eksekutif gudang tersebut yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 40 tahun.

Menurutnya, pada hari yang sama pasukan Kastam sekali lagi melakukan intipan di sebuah premis di Subang Jaya, Balakong kira-kira jam 10.30 pagi.

“Ketika sedang khusyuk melakukan intipan, sebuah lori yang membawa muatan minuman keras keluar daripada premis itu dipercayai untuk dihantar ke Pelabuhan Barat bagi tujuan pengeksportan.

“Bagaimanapun pasukan kita terus melakukan intipan hingga jam 3.30 petang dan penantian itu berbaloi apabila menemui empat lagi lori yang disembunyikan dalam sebuah premis tidak bernombor di Balakong pada hari yang sama.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan pasukannya turut menemui satu lubang pada pagar premis itu dipercayai baru sahaja dipecahkan untuk tujuan mereka meloloskan diri.

“Walaupun kita gagal menahan pekerja itu namun kita berjaya mematahkan cubaan satu lagi sindiket untuk menyeleweng barangan eksport apabila menemui 40,272 tin minuman keras bernilai RM92,193 melibatkan cukai sebanyak RM119, 262,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini semalam.

Sementara itu, katanya, intipan yang dilakukan jam 7.30 malam kelmarin pula membawa kepada penemuan 46,080 tin minuman keras berjenama Hollandia bernilai RM119,999 melibatkan cukai sebanyak RM450,124 yang belum lulus kastam dibawa keluar daripada Zon Bebas PKFZ.

“Kita telah mengekori lori tersebut hingga ke kawasan Jalan Kurau dan turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun selepas dia gagal mengemukakan sebarang dokumen kastam kepada anggota kita,” katanya.

Tambahnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan bagi individu atau syarikat.