Saturday, December 10, 2011

Segalanya ekstrem di PD Buggy Trek



PAGI Ahad it u, suasana di sekitar pantai Port Dickson agak meriah berbanding hari-hari biasa. Kebetulan hari itu merupakan cuti umum Maal Hijrah yang jatuh pada hujung minggu dan cuti sekolah. Tidak hairanlah beberapa kawasan perkelahan utama seperti Batu 2, Pantai Bagan Pinang, Batu 4, Teluk Kemang dan Lagun Biru agak sesak dengan pengunjung.

Bagaimanapun, bagi Suk Fui Teng, kehadirannya bersama teman-teman ke pusat peranginan popular itu bukan untuk berkelah, jauh sekali untuk bermandi-manda.

Destinasi yang ingin dituju ialah Extreme PD Buggy Trek, satu-satunya lokasi khusus untuk peminat sukan lasak permotoran di negeri yang terkenal dengan adat perpatih itu.

Sebaik tiba, dia dan kumpulannya disambut oleh salah seorang Pengarah Extreme PD Buggy Trek Sdn. Bhd., Andrian Kenny De Costa atau lebih mesra dengan panggilan Kenny.

Fui Teng, 26, tekun mendengar taklimat yang diberikan. Mula-mula dia diajar bagaimana mengendalikan jentera Auto Terrain Vehicle (ATV), seterusnya buggy, krazy kart dan motocross.

“Kamu semua kena berhati-hati, berdisiplin dan tidak berlumba sesama sendiri di atas trek. Apa yang penting adalah keselamatan diri, kamu semua diwajibkan memakai topi keledar dan kasut yang sesuai,” terang Kenny.

Selesai taklimat, Fui Teng mengambil tempatnya di atas jentera ATV. Riak wajahnya seperti tidak sabar untuk memulakan pemanduan pertamanya di atas kenderaan empat roda itu.

Dia memulas pendikit minyak, perlahan-lahan kenderaan itu bergerak mengelilingi trek seluas hampir satu hektar itu.

Perasaannya bercampur-baur, antara seronok dan cemas. Maklumlah, sepanjang hidupnya dia tidak pernah memandu kenderaan lain selain daripada kereta.

Selesai pusingan pertama, wanita yang menetap di Petaling Jaya, Selangor itu tampak lebih yakin berbanding sebelumnya.

Pemanduannya semakin lancar malah, dia juga semakin teruja untuk setiap kali jentera itu melepasi selekoh tajam, laluan berbukit dan berlopak di atas trek.

Puas menunggang ATV dia beralih kepada kenderaan buggy pula. Baginya, corak pemanduan jentera itu tidak ubah seperti memandu sebuah kereta kerana lengkap dengan gear, brek, pedal minyak dan stereng.


PERMAINAN sky walker membolehkan pengunjung membuat lompatan seperti seekor kanggaru.


Keterujaannya tidak terhenti setakat itu sahaja. Pakej aktiviti yang diambil bersama teman-temannya membolehkan Fui Teng memandu go-kart, bermain zorb ball (bola angin) dan sky runner.

“Biarpun kasut dan baju diselaputi lumpur serta kepenatan kerana terpaksa berpanas di atas trek namun, saya puas.

“Segala tekanan di pejabat seakan hilang dalam sekelip mata apabila berada di sini,” kata eksekutif latihan di sebuah syarikat di ibu negara itu.

Ujarnya, jika selama ini dia kurang berminat dengan aktiviti lasak dan bermotor namun, pengalaman yang diperoleh pada pagi itu mengubah persepsinya.

“Ia tidaklah sesukar yang saya sangkakan, sesiapa sahaja boleh mencubanya, asalkan ada kemahuan dan keberanian.

“Lagipun pengunjung tidak akan berasa bosan kerana terdapat pelbagai aktiviti lasak yang boleh dicuba, pastinya setiap satunya memberikan pengalaman berbeza,” katanya.

Tiga trek berbeza

Beroperasi sejak Mac tahun lalu, Extreme PD Buggy Trek diwujudkan oleh tiga rakan karib iaitu Kenny, Abdul Ajib Mohd. Zan dan Azizan Saad yang berkongsi minat dan keghairahan yang sama dalam sukan itu.

Menurut Abdul Ajib, selama ini kehadiran pengunjung ke pusat peranginan itu terhad kepada aktiviti air dan bersifat kekeluargaan seperti berkhemah atau berkelah.

“Jika ada aktiviti lain sekali pun, sekadar melawat ke Muzium Tentera Darat, melihat kehijauan flora dan fauna di Tanjung Tuan, menikmati makanan laut di puluhan gerai dan restoran atau memancing di laut.


KANAK-KANAK boleh mencuba jip mini yang terdapat di Extreme Buggy Trek.


“Ada juga sesetengah hotel dan resort yang menawarkan sukan itu sebelum ini namun, jumlahnya terhad dan lazimnya khusus untuk pelanggan sahaja,” katanya.

Menyedari potensi yang ada, dengan modal hampir RM100,000, ketiga-tiga mereka bertekad memperkenalkan sukan itu sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung.

Beliau memberitahu, pihaknya menawarkan pakej lengkap sukan lasak permotoran melalui tiga trek berbeza.

Katanya, trek di Batu 2 menawarkan cabaran berbentuk off road, trek di Glory Mini Theme Park pula lebih santai dengan tambahan permainan zorb ball dan sky runner, sementara trek di pekan Port Dickson pula khusus untuk aktiviti go-kart.

“Selain berkunjung terus ke sini, pengunjung juga boleh membuat tempahan melalui portal Groupon secara dalam talian,” jelasnya yang turut menawarkan aktiviti seperti karaoke dan barbeku atas permintaan.

Abdul Ajib berkata, secara purata, Extreme PD Buggy Trek dikunjungi 100 hingga 120 pengunjung sehari yang terdiri daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Ujarnya, kadar yang dikenakan bagi setiap jentera dan permainan adalah berpatutan bermula dari RM10 hingga RM35 setiap pusingan.

“Kesemua jentera yang digunakan diimport dari Taiwan dan China. Terbaru, kami turut memperkenalkan jip mini dan dirt skuter sebagai tarikan kepada pengunjung,” jelasnya.

Kata jejaka itu lagi, pihaknya kini dalam perancangan membina trek baharu di dalam hutan pada awal tahun hadapan yang menjanjikan cabaran lebih ekstrem berbanding trek-trek yang sedia ada.

“Ia pastinya dapat menyemarakkan aktiviti pelancongan di sekitar Port Dickson, bukan sahaja kerana aktiviti pantainya tetapi, sebagai hab sukan lasak pemotoran di negeri ini,” katanya.

Bagi Jacky Th’ng Wai Chuan, 26, aktiviti yang ditawarkan di Extreme PD Buggy Trek sesuai bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan lasak.

Katanya, keadaan trek dan cabaran yang terhidang sesuai untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

“Sukan ini mampu meningkatkan keyakinan diri peserta berhadapan cabaran di samping memupuk semangat setiakawan dan kerjasama antara satu sama lain.

“Pelbagai halangan yang ditempuhi sepanjang perjalanan ini membolehkan peserta lebih kreatif. Misalnya, bagaimana untuk melepasi halangan, mengelak daripada kemalangan dan sebagainya,” katanya.


MEMANDU buggy memerlukan seseorang menguasai kemahiran mengendalikan jentera itu mengharungi kawasan berlumpur.


Sementara itu, Noriza Baba, 31, berkata, dia hadir bersama anak-anaknya, Daniel Iskandar Mohd Hazir, 7, dan Danish Iskandar, 5, yang mencuba permainan jip mini dan buggy.

Ibu muda yang menetap di Shah Alam itu memberitahu, kadar caj berpatutan yang dikenakan membolehkan sesiapa sahaja mencuba sukan lasak itu.

“Sebelum ini orang sering mengaitkan keseronokan di Port Dickson dengan aktiviti pantai semata-mata.

“Kini, walaupun berada jauh dari pantai, pengunjung masih boleh merasai keseronokan yang sama di samping melonjakkan namanya sebagai destinasi pelancongan popular di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: