Thursday, December 22, 2011

Rela jadi mangsa keganasan suami


Selalunya pihak isteri sanggup bertahan dengan sikap ganas suami bertahun-tahun lamanya dengan berharap suaminya akan berubah demi masa depan rumah tangga dan anak-anak - Gambar hiasan.


BERPELUANG bertemu Emi (bukan nama sebenar) merupakan saat yang amat dinanti-nantikan. Tiada niat untuk mencampuri urusan peribadinya. Tetapi sekadar ingin menyelami hati seorang isteri yang hidup menderita akibat dikasari lelaki yang bergelar suami.

Di awal pertemuan, tergambar di wajahnya yang begitu takut untuk memulakan bicara. Setiap soalan yang diutarakan hanya dijawab dengan jawapan 'selamat'.

Setelah 10 minit berbual, jalan cerita yang diinginkan masih belum diperoleh. Malah jawapan yang diterima bercanggah antara satu sama lain.

Apabila diberitahu kecelaruan tersebut, Emi terdiam sebelum akhirnya bersetuju menceritakan perkara sebenar tanpa berselindung.

Kata Emi, pernikahannya dan suami berlangsung di negara jiran kerana tidak mendapat restu orang tuanya.

Ini kerana selain usia perkenalan mereka yang baru mencecah lima bulan, Emi sebenarnya mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang tersebut bersama Din (bukan nama sebenar), kekasihnya (ketika itu).

Menurut Emi, sepanjang perkenalan serta di awal perkahwinan, segala-galanya berjalan lancar dan mereka tidak menghadapi masalah.

Mereka diibaratkan seperti pasangan suami isteri yang bahagia. Tetapi tidak diduga segala-galanya berubah dalam sekelip mata.

Tambah Emi, di saat dirinya mengandungkan anak kedua, suaminya mula buat perangai.

Din, bukan sahaja bertukar menjadi seorang suami yang suka 'naik tangan' tetapi dia juga seorang penagih dadah.

Ulas Emi, bermula dari situ, rumah tangga mereka berantakkan dan dirinya selalu menjadi mangsa kemarahan suaminya.

"Saya sering dipukul sekiranya segala kehendak Din tidak dapat dipenuhi.

"Sejak Din mengambil 'benda' tu, dia bukan sahaja menjadi seorang suami yang baran malah dia juga sudah lupa pada tanggungjawabnya. Saya pula tidak bekerja.

"Pantang salah sedikit, tubuh badan saya akan menjadi mangsa barannya itu walaupun ketika itu saya sedang mengandung," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apabila ditanya adakah dia ada membuat laporan polis, Emi hanya mampu menggelengkan kepalanya.

Menurut Emi, bukan dia tidak mahu membuat laporan polis tetapi disebabkan terlalu sayang dan memikirkan Din adalah ayah kepada anak-anaknya, Emi hanya mampu mendiamkan diri.

Lagipun katanya, dia masih boleh bertahan dan bersabar. Ditambah pula Din akan merayu dan meminta maaf darinya selepas setiap kali pertelingkahan berlaku.

Setiap kesabaran pasti ada hadnya. Emi akhirnya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis apabila dia bukan sahaja dipukul malah kepalanya turut ditetak dengan parang mengakibatkan kepalanya luka sebelum jatuh pengsan. Din akhirnya ditahan polis dan dipenjarakan untuk satu jangka masa yang agak pendek.

Penderitaan Emi tidak berakhir di situ. Kini dia mengalami satu lagi masalah apabila dia ingin meminta cerai daripada Din, kesnya tidak boleh dirujuk di mana-mana pejabat agama.

Ini kerana sijil pernikahan mereka telah hilang dan hanya ada satu jalan penyelesaian iaitu pergi semula ke tempat mereka dinikahkan untuk mendapatkan salinan sijil nikah mereka di sana.

"Tanpa sijil perkahwinan, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Sekarang saya dan abang saya sedang usahakan untuk mendapatkan salinan sijil nikah tersebut.

"Namun kehidupan saya sekarang bukan sahaja dalam ketakutan malah turut diugut oleh pihak suami kerana tidak menarik balik laporan polis yang dibuat biarpun dia dalam penjara.

"Saya pasti, apabila Din keluar dari penjara, dia akan mencari saya kerana itu janjinya," katanya.

Hari ini, bagi menampung kehidupannya anak-beranak, Emi bukan sahaja keluar mencari rezeki malah turut mendapatkan perlindungan daripada salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk wanita.

Alhamdulillah, setakat ini Emi bukan sahaja gembira dengan kehidupannya tetapi turut bersyukur kerana dikelilingi oleh orang-orang yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya sekeluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: