Thursday, December 22, 2011

Kesyumulan Undang-undang Islam


Zakat merupakan salah satu pecahan hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan manusia dengan Allah SWT. - Gambar hiasan


RUANG lingkup ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam ajaran Islam terdapat pelbagai panduan hidup sama ada tentang urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan Negara. Inilah keistimewaan agama Islam iaitu kesyumulan ataupun keuniversalannya.

Kesyumulan agama Islam dijelaskan dalam al-Quran: Tiadalah (haiwan) yang melata di bumi dan tiada pula burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatupun dalam kitab ini, kemudian mereka semuanya dihimpunkan kepada Tuhan mereka. (al-An'am:38)

Islam mempunyai hukum ke atas semua perkara yang terbit dari manusia. Allah SWT berfirman: Pada hari Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seseorang saksi atas mereka dan Kami bawa engkau (Muhammad) menjadikan saksi pula ke atas mereka ini. Kami turunkan kepada engkau Kitab (al-Quran) untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk dan rahmat, serta khabar gembira bagi orang-orang Islam. (al-Nahl: 89)

Memandangkan ajaran Islam mencakupi semua aspek kehidupan manusia dan dapat menghukum dan menyelesaikan apa saja permasalahan manusia, tidak wajarlah bagi seorang seorang Muslim membenarkan sebarang sistem lain menyusun mana-mana aspek kehidupannya.

Seandainya seseorang Islam melakukan sebaliknya, mereka sebenarnya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang hanya mempercayai sebahagian daripada al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Mereka ini akan mendapat kehinaan dalam kehidupan di dunia dan akan menerima azab yang amat pedih pula di akhirat.

Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang maksudnya: Adakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar akan sebahagiannya? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian, melainkan kehinaan dalam kehidupan di dunia dan pada hari Kiamat pula akan dimasukkan ke dalam siksaan yang keras. Allah tidak lali dari apa-apa yang kami kerjakan. (al-Baqarah:85)

Sesungguhnya Islam telah memperkenalkan undang-undang kepada pemeluknya. Undang-undang di sini bermaksud hukum-hukum untuk mengatur hubungan antara individu. Undang-undang Islam menetapkan hukuman dan balasan terhadap individu yang melanggar undang-undang itu, sama ada hukuman dan balasan itu bersifat sivil yang dilaksanakan ke atas harta penjenayah atau hukuman dalam bentuk balasan setimpal (qisas atau retaliation) dengan perbuatan penjenayah. Ini dapat dilihat dalam kes mencedera tubuh badan orang lain atau membunuh orang lain; yang akan dihukum dengan mencederakan hidung atau bunuh balas ke atas pesalah.

Undang-undang Islam juga merangkumi pelbagai sudut dalam hubungan sesama manusia. Undang-undang Islam menghukum semua perbuatan sama ada ia wajib, sunat, haram, makruh, harus, sah dan batal. Semua perbuatan manusia, zahir dan batin terikat dengan hukuman ini. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada ruang lingkup ini.

Dr Abdul Karim Zaidan membahagikan hukum-hukum Islam kepada empat bahagian:

1) Hukum-hukum akidah, iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan akidah seperti beriman kepada Allah, hari Akhirat, kufur dan murtad.

2) Hukum-hukum akhlak, iaitu hukum-hukum yang berkaitan sifat-sifat mahmudah (yang terpuji) yang sepatutnya ada pada diri setiap Muslim seperti sifat jujur, sabar, menjauhi perkara syubhat dan lainnya di samping menjauhkan sifat mazmumah (yang keji) seperti riak, takbur dan lainnya.

3) Hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan manusia dengan Allah seperti solat, puasa, haji, zakat yang merupakan ibadat khusus.

4) Hukum-hukum yang mengatur hubungan antara individu semasa mereka. Hukum-hukum ini terbahagi kepada lapan bahagian:

l Hukum-hukum kekeluargaan yang meliputi nikah, kahwin, cerai, nafkah, pusaka dan sebagainya (Undang-Undang Keluarga).

l Hukum-hukum muamalah yang menyusun hubungan individu dengan orang lain dalam perkara sivil seperti jual beli, sewa, gadai menggadai dan sebagainya (Undang-Undang Transaksi/Kontrak).

l Hukum-hukum kejaksaan yang berkaitan persoalan kehakiman seperti pendakwaan, saksi, sumpah dan sebagainya yang lebih dikenali sebagai Kanun cara Jenayah/Mal.

l Hukum-hukum dalam negeri yang antara lain menyusun perhubungan dengan orang bukan Islam yang masuk ke dalam negara Islam, termasuk hak-hak dan kewajipan mereka.

l Hukum-hukum antarabangsa, iaitu hukum-hukum yang menyusun hubungan antara negara Islam dengan negara lain dalam hal peperangan, perdamaian dan sebagainya (Undang-Undang Antarabangsa).

l Hukum-hukum perlembagaan yang menyusun sistem pemerintahan dan kaedahnya iaitu cara-cara memilih ketua negara, hubungan pemerintah dengan individu dan sebagainya. Hukum ini dikenali sebagai Undang-undang Perlembagaan.

l Hukum-hukum yang berhubung hasil negara dan perbelanjaannya. Menyusun sistem kehartaan antara individu dengan individu, individu dengan negara, golongan kaya dengan miskin dan sebagainya.

l Hukum-hukum yang berkaitan dengan hukuman dan denda yang dikenakan ke atas pesalah jenayah, mal, keluarga dan sebagainya.

Berdasarkan huraian ringkas di atas, dapat disimpulkan betapa universalnya Syariah Islam. Apabila kita perhatikan segala kehidupan yang ada sekarang, undang-undang Islam sebenarnya boleh memenuhi kehendak zaman dan masa.

Undang-undang Islam tidak bersifat jumud sebaliknya mengambil kira faktor persekitaran, kepentingan awam (maslahah) dan kehendak politik (siyyasah syar'iyyah) semasa dalam menentukan sebarang hukum yang sesuai dengan penduduk setempat.

Walaupun hukum yang dikeluarkan merujuk kepada tulisan-tulisan kitab silam, namun ia perlu melihat kepada kepentingan dan latar belakang serta sebab ia dikeluarkan. Tentu sekali ia merujuk kepada sumber utama seperti Quran dan Sunnah dan sumber sekunder seperti Ijma', Qiyas, Ijtihad, Masoleh Mursalah, 'Uruf, Istihsan dan lain-lain yang menjadi tunjang kepada hukum Islam.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang patuh sewajarnya kita cuba memahami hakikat undang-undang Islam ini dan membantu menjadikannya realiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: