Sunday, December 11, 2011

Ratu Kebaya mara ke final


Peserta di Kuala Lumpur juga tidak kurang hebatnya, cantik dan berbakat.


SETELAH hampir setahun program pencarian Ratu Kebaya Pancaindera Mak Dara 2011 berlangsung, beberapa negeri telah dijelajahi demi mencari siapa yang layak untuk mara ke peringkat akhir.

Sebelum ini kita dah saksikan siapa juara di peringkat negeri bermula dari Shah Alam, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Putrajaya, Melaka dan Bera, Pahang.

Pendek kata hebat-hebat belaka juara yang berjaya kami temui. Di Kluang, Johor dan Kuala Lumpur (KL) juga tidak kurang hebatnya.

Apatah lagi sebagai dua lokasi terakhir, pencarian Mingguan Malaysia bersama penganjur Jamu Mak Dara dan Forest’s Secret tentunya lebih sukar.

Bermula di Kluang, kami telah menemui lapan peserta akhir peringkat negeri yang datang menyimpan azam penuh untuk bergelar seorang ratu.

Baik peserta untuk kategori A mahupun B, kesemua mereka sedaya upaya tampil bergaya untuk menarik hati barisan juri iaitu Ibu Halimah Shuib, penyanyi dan pelakon Maya Matahari serta Haiza.

Namun bagai sudah termaktub pada hari tersebut, tuah begitu menyebelahi Faezah Abdul Rahim, 28.

Kemenangan Faezah menyaksikan bagaimana dia berjaya menewaskan Zainida Adam, 41, di tempat kedua manakala Dalila Adiba, 18, berada di tangga ketiga.

Bagi kategori B di Kluang, Juara telah digalas oleh seorang wanita berusia 50 tahun namun ukuran badannya masih bergetah iaitu Zakiah Abdul Malik.

Naib Juara pula dimenangi oleh Hadizah Maidin, 49, manakala tempat ketiga dimiliki oleh Siti Noraisah, 24.

Beralih pula ke lokasi terakhir pertandingan di KL, seramai 12 peserta telah diadili oleh para juri dan boleh dikatakan persaingannya memang sengit.

Bukan apa, barangkali orang-orang di Kuala Lumpur ini memang penuh dengan energi dan pandai berkomunikasi.

Paling penting mereka tidak teragak-agak dan tidak malu menjawab segala pertanyaan juri walau kadangkala jawapan yang diberikan agak kelakar bunyinya.

Apa yang menjadikan pertandingan di KL begitu menarik, pasangan adik-beradik pun ada yang menyertai pertandingan ini dan sama-sama bersaing untuk merebut gelaran ratu kebaya.

Mereka ialah Liza Aryanti Zulkifli dan Lizatul Akma Zulkifli.

Lebih menarik, kedua-dua mereka berjaya menempatkan diri di peringkat akhir pertandingan ratu kebaya dengan Liza Aryanti memenangi tempat kedua manakala kakaknya bergelar juara, masing-masing untuk kategori A dan B.

Untuk kategori A, juara telah dimenangi oleh juruhebah radio sambilan Perak FM yang juga merupakan seorang guru iaitu Rabihah Harun.

Sementara itu, bagi kategori B, peserta yang bertuah untuk mara ke peringkat seterusnya ialah Wan Nurul Akma Hana Wan Ismail, ibu kepada seorang cahaya mata.

Juara untuk semua kategori membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500 termasuk hamper tajaan Forest’ Secret bernilai RM500 dan juga cenderahati eksklusif tajaan Mingguan Malaysia.

Kejutan turut diberikan kepada semua Juara dan Naib Juara setiap kategori apabila keempat-empat mereka telah terpilih untuk mara ke peringkat akhir.

Kesemua pemenang Ratu Kebaya Mak Dara Pancaindera 2011 akan dipertemukan pada 14 Januari ini yang akan menyaksikan mereka berentap bagi meraih gelaran Ratu Kebaya.

Lokasi pertandingan akan diberitahu kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: