
HUJUNG minggu lepas, memang tak dinafikan, berderet acara konsert yang diadakan di ibu negara. Semuanya bagai hendak mengejar waktu sebelum tirai 2011 berlabuh. Artisnya pula, hebat-hebat belaka.
Pendek kata memang meriah ibu negara dengan bermacam-macam acara yang bakal mengisi ruang waktu sehingga akhir tahun ini.
Turut tidak ketinggalan memeriahkan atmosfera muzik di Malaysia ialah kumpulan Far East Movement (FEM) yang akhirnya mengotakan janji mereka untuk berkunjung ke negara ini.
Iyalah, sebelum ini FEM diuar-uarkan akan mengadakan konsert mereka pada September lalu.
Tetapi, atas beberapa faktor tertentu, konsert itu dibatalkan dan pada 3 Disember lalu FEM datang bagi mengubat kekecewaan peminat yang sudah lama menanti kunjungan mereka.
KL Life Center menyaksikan bagaimana lebih 2,000 peminatnya berkumpul di bawah satu bumbung untuk memberi sokongan kepada kumpulan yang berasal dari Los Angeles (LA), Amerika Syarikat itu.
Terdiri daripada empat anak muda berbakat dan berdarah kacukan Asia-Amerika iaitu Kev Nish (Kevin Nishimura), Prohgress (James Roh), J-Splif (Jae Choung) serta DJ Virman (Virman Coquia), KL Life dipenuhi dengan gelombang elektro hop yang menghangatkan malam persembahan.
Memulakan persembahan mereka pada pukul 12 tengah malam, FEM dari awal tidak perlu bersusah payah untuk menarik perhatian peminat untuk melihat persembahan mereka.
Ini kerana, sejurus muncul ke atas pentas, semua mata seakan terpaku ke arah mereka saat mereka membuka tirai dengan lagu I Party, OMG dan So What.
Antara lagu lain turut disajikan sempena konsert itu ialah Jello, Fighting For Air, Party People dan Don’t Look Now.
Ia termasuklah lagu wajib yang begitu popular di kalangan peminat mereka iaitu Like a G6 dan Rocketeer.
Persembahan mereka juga makin hangat apabila artis Kayla Kayla yang berasal dari Australia turut muncul di atas pentas yang sama membawa aura lebih kuat buat FEM.
Persembahan FEM tamat pada pukul 2 pagi.
penghibur
Namun, sebelum kemunculan Kev Nish, Prohgress, J-Splif dan DJ Virman disambut peminat di ruang dewan, pentas tidak dibiarkan kosong tanpa penghibur.
Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, selain FEM, konsert Movement juga dimeriahkan dengan kehadiran beberapa DJ tempatan termasuk DJ Earworm yang terkenal dengan gaya United State of Pop.
Bagi mereka yang gemarkan muzik Club, mungkin inilah antara satu sebab untuk mereka hadir ke KL Life Centre tempoh hari selain mensasarkan tujuan utama untuk menyaksikan persembahan FEM.
Bagaimanapun, umpama satu adegan yang menyakitkan mata sekurang-kurangnya buat segelintir penonton yang terpaksa menyaksikan aksi kurang sopan salah seorang DJ tempatan pada malam itu.
Tidak pasti sama ada pihak penganjur sedar atau tidak mengenainya, salah seorang DJ yang dikenali sebagai DJ Junior dilihat telah menyajikan aksi yang disifatkan melampau.
Memakai singlet berwarna hitam, dia dilihat `teruja’ beraksi menayang susuk tubuhnya meski ada yang meluat dengan tindakannya itu.
Mata juga menjadi semakin sakit apabila terpaksa melihat DJ terbabit bertindak liar sambil memegang botol minuman keras dan menyimbah beberapa kali ke arah penonton-penonton yang berada di bawah pentas.
Apa yang tidak enak ialah, simbahan minuman keras itu juga telah turut mengenai beberapa wanita bertudung yang tentunya beragama Islam dan berada di bawah pentas.
Atau mungkin kita akan salahkan cermin mata hitam tebal yang dipakainya sebagai aksesori lalu menggelapkan pandangannya di dalam ruang dewan yang tidak berapa besar itu.
Sama ada wanita-wanita bertudung itu hadir sebagai penonton atau jemputan, itu bukan persoalan kerana pastinya mereka juga punya hak untuk menikmati muzik dan menyokong FEM.
Persoalannya sekarang, perlukah DJ berkenaan melakukan aksi tersebut yang bagi sesetengah orang dianggap sebagai satu bahan seronok?
Tanpa aksi itu pun rasanya penonton tidak akan lari dari acara kerana apa yang utama, mereka mahu menyaksikan FEM beraksi di atas pentas.
Meski mendapat tepukan dan sorak-sorai daripada penonton, ia tidak bermakna semua penonton rela untuk melihat aksi begitu dipamerkan.
Apalagi di kala pengunjung hadir untuk menikmati muzik yang tentunya bukan satu kesalahan dan bukannya untuk disajikan dengan aksi kurang bijak sebegitu.
Tambahan pula, ini bukannya acara tertutup.
Pihak penganjur perlu lebih berhati-hati dalam sebarang penganjuran konsert seperti ini.
Ini kerana soal sensitiviti bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh di negara ini.
Dalam pada itu, diharapkan isu ini juga dapat dijadikan sebagai pengajaran oleh penganjur-penganjur lain supaya tidak timbul isu yang sama pada masa akan datang.
Apa pun syabas kepada penganjur kerana telah membawa FEM menjejaki Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: