Tuesday, December 13, 2011

PNS lakar pelan perkukuh kejayaan

Jamel Jamaluddin
Jamel Jamaluddin

PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) yakin mampu meningkatkan kadar kejayaan bagi peniaga yang memohon pembiayaan dengan agensi berkenaan tahun depan berbanding 80 peratus ketika ini.

Ini berikutan langkah kerajaan yang akan meminda Akta Francais 1998 bagi melindungi francaisi daripada sebarang masalah terutama penipuan.


Ketua Bahagian Operasi Perniagaannya, Jamel Jamaluddin berkata, selain langkah pindaan akta itu, PNS akan meningkatkan usaha membantu peminjam memantapkan operasi perniagaan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek yang dikenal pasti sering menjadi punca kegagalan.

“Kadar kejayaan bagi peminjam memang tinggi iaitu sekitar 80 peratus. Bagaimanapun kami tetap mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kegagalan.


“Biasanya, sebab utama peniaga atau francaisi gagal ialah antaranya kerana kurang pengalaman, lemah pengurusan tunai dan memilih lokasi tidak sesuai. Untuk itu, kami menumpukan usaha membantu peniaga memantapkan semua aspek berkenaan,” katanya kepada Bisnes Metro.


Beliau berkata, PNS juga mengambil inisiatif menubuhkan Akademi PNS Januari lalu bagi memastikan bakal peniaga memperoleh ilmu mencukupi sebelum menceburkan diri dalam bidang francais.

“Kami menyediakan 11 modul yang perlu dihabiskan penuntut sebelum mereka diberikan sijil. Sijil ini diiktiraf Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Pengurusan Malaysia (MIM),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: