MENGENEPIKAN seketika paluan teater yang sentiasa bergendang di pentas besar seperti di Istana Budaya atau Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), gerakan teater berskala kecil sebenarnya tidak pernah mati. Penggeraknya yang terdiri daripada 'seniman-seniman kecil' juga tidak pernah lemah untuk mengutarakan rasa dan jiwa mereka terhadap apa yang mereka fahami tentang sesebuah teater yang holistik sifatnya.
Sebagai medan lontaran ekspresi, Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menjadi pentas untuk sebuah teater bertajuk 1 Plastik Hitam. Diterajui oleh produksi sama yang pernah mempersembahkan teater Juta-Juta dan Teater Juta-Juta Ke Putrajaya. Kali ini, teater itu ditangani oleh Syahrul Fithri Musa, seorang pensyarah Program Teater di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara.
"Saya mendapat inspirasi daripada bentuk teater absurd yang dulunya pernah popular sekitar 1970-an. Bagaimanapun penerimaannya kini agak merosot kerana khalayak mudah beranggapan bahawa teater sebegitu memeningkan kepala.
"Interpretasi absurd dalam 1 Plastik Hitam akan dipermudah. Saya pinjam konsep program realiti televisyen agar ia dekat dengan teater arus perdana, ia akan menjadi satu bentuk hiburan ringan tapi pengisiannya masih ada pendekatan absurd," jelas Syahrul yang mengupas isu buang bayi, pengangguran, rogol serta gila kuasa dalam buah tangannya yang akan dipentaskan pada 7 hingga 11 Disember ini.
Secara teorinya, absurd satu bentuk teater yang sarat dengan perlambangan bersifat abstrak. Ia sering menuntut kerja artistik dan ilmu yang tinggi daripada si 'pembuat' dan harus pula disajikan kepada 'penerima' yang memahaminya dengan berbekalkan intelektual. Sebab itu teater jenis itu dikatakan satu bentuk sajian kepada golongan elit. Lazimnya gerakan teater itu seperti bergerak dalam kelompok di universiti.
Jika sejak dulu, teater absurd jadi luahan kepada suara dan sindiran pembikinnya terhadap persekitaran, politik dan dasar, 1 Plastik Hitam yang secara asasnya bergerak sipi-sipi dalam aliran itu juga masih bergulir dalam wadah yang sama, masih sebuah sinikal tentang isu semasa. Menggunakan konsep program realiti televisyen, Rupa Bukan Sekadar Bakat sebagai latar penceritaan, secara jelas dan nakal, kalau dalam bahasa filem, 1 Plastik Hitam sepertinya karya berbentuk spoof atau bersifat parody. Ia masih seperti teater Juta-Juta yang menyindir birokrasi dalam bisnes teater tanah air.
"Memang ia sebuah sinikal tapi teater itu sendiri medium untuk menyampaikan mesej dan teater juga satu alternatif kepada teater-teater arus perdana ketika ini bukan nak menentang apa yang dipersembahkan dalam teater arus perdana. Saya selesa dengan teater begini," kata Syahrul yang hanya menggunakan enam pemain watak dalam teater berkenaan.
Watak dalam teater ini juga menggunakan nama sebenar, tetapi dalam program realiti yang dipersembahkan, mereka akan menggunakan nama-nama yang mewakili kelas-kelas sosial seperti Wanita Berpurdah lakonan Nur Ameera Mohd. Ramli, Budak Perempuan Beruniform Sekolah (Fazleena Hishamuddin), Graduan Muflis (Karl Shafek), Busker (Anas Ridzuan), Lelaki Perkasa (Fasyali Fazly) dan Aloy Paradoks sebagai pengacara program.
Penceritaan dalam teater berkenaan berkisar sebuah beg plastik hitam yang diamanahkan oleh Wanita Berpurdah untuk dijaga oleh Budak Perempuan Beruniform Sekolah di sebuah taman. Dalam masa yang sama, budak perempuan itu juga diminta oleh Busker agar memerhatikan keadaan taman. Keadaan menjadi tegang apabila munculnya Graduan Muflis dan Lelaki Perkasa yang mencurigai kandungan plastik itu. Masing-masing ada tanggapan serta mahu memastikan adakah duit, bom atau bayi yang terisi dalam beg berkenaan.
Menariknya, itu semua adalah lakonan pelakon terbabit sebelum episod final program Rupa Bukan Sekadar Bakat. Lakonan mereka akan dinilai dan salah seorang daripada mereka akan disingkirkan di hujung pementasan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: