Monday, December 5, 2011

Penguin 'belaan' Su




JIKA ditanya jenis penguin yang paling diminatinya, sudah pasti dia memilih penguin Emperor kerana teruja dengan warna keemasan di bahagian dada binatang yang termasuk dalam kategori burung itu.

Lebih menarik perhatian Sumazly Sulaiman adalah keunikan penguin itu yang kadang-kala kelihatan seperti budak kecil memakai tuksedo.

Emperor adalah salah satu daripada 20 jenis penguin di seluruh dunia yang unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri.

Bentuk kaki yang pendek dan berjalan terkedek-kedek sememangnya melucukan, justeru menambat hati sesiapa saja yang memerhatikan tabiat penguin.

"Kalau diperhatikan lagi, penguin berjalan selalunya terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan, terutama waktu makan," kata Sumazly yang mesra dipanggil Su .

Lelaki berusia 45 tahun itu juga terpikat kepada penguin kerana suaranya yang berbeza dengan kebanyakan haiwan lain.

Disebabkan semua faktor berkenaan, Su memutuskan untuk mengumpul barangan penguin yang cukup menyenangkan dirinya. Bapa kepada empat cahaya mata itu berpeluang melihat sendiri habitat haiwan itu sewaktu menghadiri penyelidikan atmosfera di kutub Antartika pada 2002.

Bertitik tolak dari situ, pemilik Sarjana Reka Bentuk Sistem Elektronik dari Cranfield, United Kingdom itu mula menyimpan semua barangan berkaitan haiwan berkenaan.

Sehingga pada hari ini, anak kelahiran Johor Bharu, Johor ini memiliki lebih 100 item berunsurkan penguin.

Tempahan

Kebanyakan koleksinya dibeli di luar negara dan melalui tempahan dalam talian kerana barangan berupa penguin sukar didapati di dalam negara.

Koleksi Su juga tidak terhad kepada barangan berbentuk patung mainan tetapi merangkumi pelbagai bentuk termasuk telefon, lampu hiasan, kalendar, buku, cakera video digital (DVD), pen, magnet, pin, album, poster, pembaris, set cadar, baju T, jangka suhu, cawan dan mainan teka-teki.

Antara koleksi DVD penguin yang dimiliki ialah filem March of the Penguin, Happy Feet, Surf's Up, Life in the Freezer dan Mr. Pooper.

Su sanggup tidak berkira soal wang andai ada tayangan filem di pawagam yang mempromosikan barangan penguin seperti mana dilakukan oleh restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Mc Donald.

Minatnya itu terserlah apabila beliau menghabiskan masa bersama keluarga di pusat beli-belah, Zoo Negara atau ke Underwaterworld di Pulau Langkawi, Kedah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: