Pengadil cap ayam berleluasa

BALING- Pengadil bola sepak yang tidak bertauliah ataupun lebih dikenali sebagai pengadil ‘cap ayam’ semakin berleluasa di daerah ini sehingga menjejaskan pendapatan pengadil yang berdaftar di bawah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Setiausaha Persatuan Pengadil Bola Sepak Baling, Mohd Puad Wahab berkata, pengadil cap ayam ini mendapat sambutan berikutan mereka menawarkan harga yang lebih rendah berbanding pengadil yang berdaftar di bawah KFA.

“Berikutan itu, pengadil di bawah KFA terpaksa menggigit jari apabila tidak mendapat jemputan untuk mengadili sukan bola sepak di daerah ini.

“Sekarang, setiap kali adanya permainan bola sepak, pengadil ‘cap ayam’ yang akan mengadili perlawanan,” katanya.

Menurutnya, masalah ini perlu dibendung kerana ia melibatkan kualiti pengadilan yang ternyata penting dalam apa jua perlawanan.

“Pihak persatuan sedih kerana setiap kali berlaku kesilapan pengadil cap ayam ini, masyarakat akan menganggap pengadil Baling tidak berkualiti sedangkan masyarakat tidak mengetahui bahawa pengadil yang mengadili perlawanan itu terdiri daripada pengadil yang tidak bertauliah.

“Sehubungan itu, kredibiliti kami sebagai pengadil yang berdaftar rosak berikutan sikap pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun pengadil cap ayam ini menawarkan harga yang rendah, kualiti pengadilan mereka jauh berbeza dengan pengadil yang berdaftar.

“Selain itu, soal pemakaian pengadil ini juga tidak dititikberatkan dan ianya akan memberi tempias kepada kami sebagai pengadil yang berdaftar.

“Jika pihak penganjur perlawanan inginkan harga pengadil yang rendah, persatuan tidak mempunyai masalah untuk berbincang mengenai harga untuk mengembalikan semula mutu pengadilan perlawanan bola sepak di daerah ini,” katanya.

Puad berkata, penganjur perlawanan juga perlu peka mengenai isu ini sekiranya tidak mahu pengadilan bola sepak di Baling dipandang rendah.

“Semua pihak terutama pihak pe­nganjur perlawanan perlu memasti­kan pengadilan di daerah ini setan­ding dengan daerah lain. Apa guna mengeluarkan wang sedikit tetapi masyarakat memperkatakan me­ngenai kualiti pengadilan,” katanya.