KOTA BHARU 22 Dis. - Menjadi sebahagian daripada 144 pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa bukanlah semudah disangka dan ia memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.
Itulah yang dibuktikan oleh anak seorang petani dari Pasir Puteh, Nurhaslina Jusoh, 15, apabila mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.
Kejayaan tersebut membuktikan latar belakang keluarga bukan suatu halangan, sebaliknya mencetuskan kesedaran mendalam kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membela nasib keluarga melalui kecemerlangan akademik.
"Sebab itulah saya tiada pilihan, selain belajar bersungguh-sungguh. Saya bertekad membantu ayah kelak tetapi saya mesti bermula dengan kecemerlangan dalam pelajaran.
"Alhamdulillah, harapan ayah hendak melihat saya berjaya dalam PMR tercapai. Insya-Allah saya akan teruskan kesungguhan dalam peperiksaan selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya dekat sini hari ini.
Berkongsi resipi kejayaan, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, tumpuan sepenuhnya semasa pembelajaran dalam kelas dan kaedah ulang kaji secara bersistematik serta solat hajat secara berterusan merupakan kunci kejayaan dirinya.
"Bagi saya, fokus dalam kelas cukup penting kerana ia akan memastikan apa yang diajar oleh guru dapat difahami atau tidak bagi memudahkan proses mengulang kaji pelajaran.
"Selain itu faktor kejayaan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan kakak sulung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menjadi azimat untuk mengulangi kejayaan tersebut," ujarnya
Nurhaslina memberitahu, kejayaannya dalam PMR bukan kegembiraan peribadi sebaliknya turut dikongsi dengan adik-adiknya yang kini mendapat motivasi bahawa latar belakang keluarga mereka tidak boleh dijadikan penghalang untuk berjaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: