Saturday, December 24, 2011

Nadhira mahu diberi peluang


NADHIRA mahu muziknya memberi kesan kepada peminat di negara ini.


KECENDERUNGANNYA di dalam bidang muzik memberi laluan kepada anak gadis ini untuk bertindak berani menceburkan diri di dalam bidang hiburan negara.

Memilih hip hop sebagai genre pilihannya, Nadhira Nisha Shamsuddin, 26, percaya peminat di negara ini sudah cukup terbuka untuk menerima pelbagai muzik yang suatu masa dulu begitu asing di pendengaran.

Pernah tinggal di beberapa buah negara seperti United Kingdom, Indonesia dan Brunei, Nadhira memberitahu pengalaman berada di negara asing banyak mengajarnya untuk menghargai Malaysia.

“Saya memilih untuk mengembangkan muzik di sini kerana percaya akan lebih dekat dengan peminat.

“Walaupun masih baru di dalam industri ini, saya percaya muzik Hip Hop yang dibawa ini mampu diterima ramai,” katanya.

Mempunyai dua album hasil usahanya sendiri, menurut Nadhira ini merupakan bukti kukuhnya dalam menyatakan kesungguhannya untuk dikenali sebagai penyanyi di negara ini.

“Untuk album pertama saya yang bertajuk From Malaysia With Love, saya lebih banyak bereksperimen, namun untuk album kedua pula saya tampil lebih matang.

“Bagi menambahkan kelainan untuk album kedua ini saya turut menyiapkan sebuah lagu berbahasa Melayu untuk pendengar melayu saya,” katanya.

Dipilih menjadi juri untuk pertandingan nyanyian Twisties Superstarz Search anjuran Twisties , menurut Nadhira ada yang tidak percaya akan kredibilitinya untuk memberikan pemarkahan terbaik bagi pertandingan itu.

“Sejujurnya saya dapat rasakan ini merupakan penghargaan buat artis baru seperti saya.

“Dan untuk itu saya akan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya agar pertandingan Twisties Superstarz Search ini dapat mencari lebih banyak bakat baru di dalam industri kita yang semakin berkembang ini,” katanya.

Mengakui tugasnya sebagai juri bukan mudah, dia mahu kepercayaan ini meletakkan dirinya setapak lebih jauh di dalam industri ini.

“Selain saya, terdapat tiga artis lain yang akan turut sama menjadi juri iaitu JD dari kumpulan Pop Shuvit, Rahul (One Buck Short) dan Sasi the Don.

“Memandangkan umur saya masih lagi muda tentunya ia tidak mendatangkan masalah untuk menilai lagu-lagu segar yang dibawakan peserta pertandingan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: