Friday, December 16, 2011

Meningkatkan produktiviti susu segar

INDUSTRI tenusu boleh memberi keuntungan besar kepada penternak jika ia dijalankan dengan teknik yang betul.


MENGIKUT rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), terdapat seramai 879 penternak lembu tenusu tempatan yang menyumbang kepada penghasilan susu segar negara. Dengan bilangan penternak yang ada, negara hanya mampu menghasilkan sebanyak 62 juta liter susu lembu segar pada tahun lalu.

Namun, secara realitinya penghasilan susu lembu segar itu sebenarnya masih jauh daripada tahap keperluan negara apabila ia hanya menampung sebanyak 4.7 peratus permintaan pasaran, selebihnya terpaksa diimport.

Disebabkan kekurangan susu segar tempatan itu, negara terpaksa mengimport susu lembu dan produk berkaitan susu bernilai RM23.9 bilion sehingga September tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr. Ibrahim Che’ Embong berkata, industri tenusu negara perlu ditambah baik bagi memastikan penghasilan susu segar tempatan mencukupi untuk setiap penduduk negara ini.

“Objektif kita adalah untuk meningkatkan penghasilan susu negara selain memastikan susu yang dihasilkan lembu tenusu tempatan berkualiti,” katanya.

Beliau ditemui pada Bengkel Core Team anjuran Dutch Lady Milk Industry Malaysia (DLMI) dan JPV di The Regency Resort Hotel Gunung Jerai, Kedah baru-baru ini.

“JPV akan terus membantu penternak tempatan dalam memastikan penghasilan susu bertambah setiap tahun dan kita perkenalkan dua sistem baharu untuk diguna pakai penternak. Dua sistem itu adalah sistem kalkulator nutrisi dan ICRAS (Individual Cow Recording and Analysis System)," ujarnya.

Kalkulator nutrisi dan ICRAS

Menurut Ibrahim, sistem kalkulator nutrisi boleh digunakan penternak untuk memastikan kadar makanan yang diberikan kepada lembu tenusu adalah betul mengikut keperluan.

Menyentuh tentang ICRAS pula, menurut Ibrahim, ia adalah satu sistem rekod yang membolehkan penternak membuat catatan tentang setiap lembu iaitu daripada segi jumlah lembu, pengeluaran susu dan tahap kesihatan.

“Ini membolehkan penternak menguruskan lembu tenusu dengan lebih cekap tanpa sebarang kekeliruan,” katanya.

Ujar beliau, pengurusan ladang secara lebih cekap dengan pemberian makanan yang berkhasiat membolehkan industri tenusu negara menjadi lebih maju dan berdaya saing.

“Dengan adanya dua sistem itu, kita menyasarkan peningkatan penghasilan susu lembu segar iaitu dari enam hingga tujuh liter seekor kepada 20 liter seekor,” katanya.

Sokongan syarikat besar

Tambah beliau, selain JPV syarikat-syarikat besar lain yang terlibat secara terus dengan industri tenusu negara perlu berganding bahu dalam memastikan industri tersebut terus maju.

“Sebagai contoh, Dutch Lady banyak membantu dalam usaha memajukan industri tenusu negara yang mana program Bengkel Core Team ini dapat menambahkan lagi kemahiran penternak dalam bidang ini.

“Banyak isu dan masalah dibincangkan antaranya tentang pemakanan lembu, pembiakan dan bagaimana mahu menghasilkan susu berkualiti dalam jumlah yang banyak,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Kawal selia DLMI, Rohana Safinah Abdul Hamid berkata, DLMI amat prihatin dengan perkembangan industri tenusu negara ini. Kerana itu Bengkel Core Team dianjurkan bagi memantapkan kemahiran penternak dalam semua aspek.

“Dalam bengkel ini, kita kongsi pengetahuan dan bertukar pendapat tentang pengurusan ladang, nutrisi serta lawatan ke ladang-ladang ternakan lembu tenusu,” jelasnya.

Jelasnya, DLMI mahu setiap penternak mempunyai ilmu mencukupi untuk memastikan perniagaan mereka terus maju dan menguntungkan.

“Sekiranya industri tenusu ini terus membuat keuntungan dan mempunyai daya saing, saya kira lebih ramai yang berminat untuk menceburkan diri dalam industri ini sekaligus meningkatkan bekalan susu negara,” tambahnya.

DLMI merupakan pembeli susu segar tempatan terbesar negara iaitu melebihi 50 peratus.

Dalam pada itu, lawatan Dutch Lady dan JPV bersama penternak lembu tenusu seluruh negara di kandang lembu di Bedong, Kedah menemui penternak kecil-kecilan, Ramlan Bakar, 44.

Menurut Ramlan, dia kini mempunyai 19 ekor lembu tenusu dan daripada jumlah itu hanya empat ekor menghasilkan susu buat masa ini.

“Empat ekor lembu ini mampu menghasilkan 30 kilogram susu segar sehari dan saya boleh dapat kira-kira RM40 sehari,” katanya.

Katanya, dia menjual hasil susu kepada orang perseorangan seperti pengusaha dadih dan peniaga kedai makan.

“Keuntungannya tidak banyak kerana kos makanan yang agak tinggi. Bagaimanapun dengan kedatangan rombongan daripada Dutch Lady dan JPV, ia sedikit sebanyak memberikan ilmu untuk saya memajukan perniagaan.

“Mereka banyak beri nasihat tentang panduan memberi makanan kepada lembu tenusu selain, mengesyorkan saya menggunakan kalkulator nutrisi untuk panduan pemakanan lebih tepat,” kongsi Ramlan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: