PERTARUNGAN antara dua finalis program Vokal Bukan Sekadar Rupa pada Ahad lalu, memberikan tamparan hebat kepada juri program dalam memilih juara.Namun, kelebihan serta nada tersendiri yang dicipta peserta dari Kuala Lumpur, Norhasmidar Ahmad mendendangkan lagu ciptaan Ajai, Biar Sampai Ke Bintang, 'membunuh' kelebihan lawannya, Mafarikha Md Akhir sehinggakan kesemua juri sepakat mengatakan lagu itu cukup sempurna dinyanyikan.
Berterusan mengasak regu lawannya, Asmidar turut membuktikan dia layak memenangi program itu apabila dapat menyampaikan lagu pilihan Mafa, Hurt milik Christina Agueilera, dengan gaya tersendirinya sehingga Azmeer menoktahkan bahawa dia adalah penyanyi yang dicari selama ini pada segmen ketiga iaitu Battle.
Istimewanya juga apabila Mafa turut mencabar kembali Asmidar dengan membuktikan dia mampu menyanyikan lagu Datuk Ahmad Kilau, Laksamana Raja Di Laut dengan lenggok suara yang memikat Ziana Zain dan Erra Fazira.
Lagu lain yang dimeriahkan kedua finalis itu pada segmen pertama adalah My Way, Jangan Tinggal Daku, Tiba, Siapa Dia serta Aksi Suara.
Menariknya lagi, gandingan pengacara program, Faizal Ismail serta Adibah Noor menyampaikan lagu Moves Like Jagger mendapat tempat di hati penonton pada malam itu apabila nyanyian itu dilahirkan secara bersahaja.
Walaupun tidak dinafikan persaingan merebut juara pada malam itu cukup tegang, kemenangan yang dinobatkan kepada wanita berusia 25 tahun itu tepat kerana Mafa dilihat tidak begitu menyerlah ketika menyanyikan lagu Tiba hasil sentuhan komposer terkenal Audi Mok. Malahan ketiga-tiga juri sepakat mengatakan lagu itu kurang menyengat dan Azmeer pula berasakan lagu itu belum diberikan justifikasi sedalam-dalamnya oleh Mafa.
Sementara itu, Asmidar ketika ditemui pada sidang media itu, berkata, dia berharap laluan seni suaranya selepas ini akan berterusan memihak kepadanya.
"Pertandingan sangat sengit terutama pada segmen battle. Saya dapat menyanyikan lagu pilihan tetapi dalam masa yang sama menyanyikan lagu yang dicabar Mafa. Sebenarnya daripada latihan lagi saya sudah rasa tercabar melihatkan bakat Mafa.
"Ada yang Mafa ada, saya tidak ada yang mana suaranya nyaring serta bijak meletakkan bunga lagu di tempat yang betul selain bertenaga," katanya yang masih tidak mempunyai arah di mana mahu menggunakan wang hadiah yang diterimanya itu.
"Mungkin digunakan untuk menghasilkan single atau album selepas ini," katanya yang turut melahirkan rasa untuk bekerjasama dengan komposer seperti Audi Mok.
Manakala Mafa yang ditemui tidak dapat menafikan sesekali perasaan hampa menerjah ke ruang hatinya kerana gagal merebut gelaran juara pada program itu namun redha atas ketentuan itu.
"Saya perlu percaya pada rezeki. Tidak semestinya saya tidak mendapat juara, saya tidak akan berjaya dan paling utama saya sudah buktikan pada umum bahawa orang badan besar macam saya juga boleh menyanyi dengan baik.
"Ya saya mengaku ada melakukan kesilapan ketika menyanyikan lagu baru disebabkan masalah kawalan pernafasan dan masih belum biasa dengan lagu itu. Mungkin kekuatan lagu itu masih belum dapat dicari saya sebagai penyanyi tetapi saya sudah buat yang terbaik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: