UMUM mengetahui, dua wanita jelita ini penyampai radio. Seorang bertugas di stesen bahasa Melayu popular, Hot FM dan seorang lagi di stesen radio Inggeris, Fly FM. Namun, program bual bicara Nasi Lemak Kopi O (NLKO) di TV9, menyatukan mereka.
Sempena tahun baru 2012 dan berkuat kuasa 1 Januari nanti, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau Leeya, 28, dan Hani Farhana Mohd Hatim atau Hunny Madu, 27, akan muncul sebagai pengacara NLKO baru yang disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Ketika ditemui pada sesi fotografi diadakan baru-baru ini, Leeya dan Hunny mengakui mereka sangat teruja dan berbesar hati apabila mendapat lamaran daripada TV9 untuk mengacarakan program NLKO yang menemui penonton dari jam 8 hingga 10 pagi itu.
Leeya berkata, dia tidak keberatan memikul tanggungjawab sebagai hos kerana cukup meminati bidang pengacaraan. Katanya, agak lama juga tidak mendapat peluang diidamkan itu dan apabila diperoleh, takkan mahu dilepaskan pula.
“Jika sebelum ini, saya terpaksa mengundur diri daripada pengacaraan atas sebab tak dapat dielakkan, kini, saya akan pastikan buat yang terbaik. Ditambah lagi, saya sangat selesa dengan pengacaraan dan hanya perlu bijak sesuaikan diri.
“Biarpun ada perasaan gementar untuk muncul 1 Januari nanti, saya sedikit tenang dengan adanya AG yang turut menjadi pengacara di NLKO. Saya yakin AG akan membantu dan penyertaan dalam NLKO mungkin kerana inilah masanya.
“Lagipun, saya seorang yang suka belajar dan menimba pengalaman baru. Barangkali, kemunculan saya juga bertepatan dengan cita rasa dan gaya baru yang diketengahkan program ini. NLKO juga tidak terlalu formal dan sesuai dengan diri saya,” katanya.
Menurut ibu kepada dua anak ini, dia juga yakin mampu membahagikan masa dengan baik antara karier sebagai penyampai radio dan pengacara. Ini kerana, Leeya kini turut aktif berlakon semula dan baru selesai menjayakan drama Karma untuk TV9.
Katanya, lakonan juga sebati dengan jiwanya dan atas sebab itu dia tidak mampu menolak. Menurut Leeya, dia juga bukan seorang pelakon yang memandang pada bayaran. Jelasnya, dia boleh bekerjasama dengan mana-mana pengarah atas dasar kepercayaan.
“Saya seronok berlakon dan teringin sangat untuk berlakon filem jika diberi peluang. Malah, saya juga suka buat apa saja kerja demi rezeki. Saya seorang yang suka bekerja kerana saya cintakan kerja saya. Oleh itu, saya takkan menolak rezeki yang datang.
“Apapun, berlakon dalam Karma adalah pengalaman yang indah. Produksi di bawah Erma Fatima ini cukup menyeronokkan kerana kami semua umpama keluarga. Biarpun, tak kenal rapat, masing-masing boleh jalin hubungan yang baik,” katanya.
Menyentuh soal gandingan bersama Hunny Madu, ujar Leeya kombinasi mereka mungkin sesuai. Katanya, Hunny juga memiliki bakat tersendiri dalam pengacaraan. Cuma, bagaimana agaknya penerimaan penonton terhadap kemunculan mereka berdua?
Hunny sudah dua tahun tak mengacara
KEPETAHAN Hunny Madu ketika berbicara tidak perlu disangkal. Ini kerana, wanita tinggi lampai itu bukan saja mahir berbahasa Inggeris, tetapi dia juga boleh berbahasa Melayu dengan baik. Asal-usul nyata tidak dilupakan Hunny yang ramah menyusun kata.
Menyentuh pembabitannya dalam NLKO, Hunny berkata semuanya berlaku secara kebetulan selepas dua tahun meninggalkan 8TV Quickie. Katanya, dia muncul dalam NLKO untuk mempromosikan album sulung, Pulau Janji dan tidak sangka dilamar Penerbit Eksekutif, Wan Sabariah Sheikh Ali.
“Beliau (Wan Sabariah) meminta saya menghadiri uji bakat untuk pengacara wanita baru NLKO. Saya pula tiada masalah untuk menerima dan apa salahnya mencuba nasib. Saya datang ke uji bakat diadakan itu hanya sekadar untuk mencuba saja.
“Tak sangka diterima dan apabila dimaklum pada keluarga, nenek saya memberikan sokongan penuh. Nenek minta saya menerima kerana NLKO adalah program yang bagus dan dia juga selalu menontonnya. Jadi, saya harap nenek lebih gembira.
“Apapun, semoga saya tidak kekok untuk bergandingan dengan pengacara lain seperti Sharifah Nor, Farah Diana Anuar, AG, Fizo Omar dan Lokman. Saya akan cuba sebaik mungkin terutama dalam menyampaikan isu semasa yang berlaku,” katanya.
Menurut Hunny, sebagai persediaan dia kini bersiap sedia mengisi pengetahuannya dengan pelbagai pengetahuan am dan isu semasa. Katanya, dia akan pastikan ilmu pengacaraan dimiliki mencukupi supaya apa yang disampaikan asli dan tidak kelihatan stereotaip.
“Sebelum ini, saya sudah terbiasa dengan penyampaian dalam bahasa Inggeris. Jadi, memandangkan NLKO dalam bahasa Malaysia, maka saya fikir persediaan yang lebih sangat penting. Bagi saya, persediaan melampau itu membawa kebaikan.
“Selain itu, saya juga selesa dapat melakukan penyampaian yang bersahaja. Malah, apa yang diharapkan pada kemunculan pertama nanti, semuanya berjalan lancar. Semoga tiada perkataan yang tersekat atau tersasul ketika bersiaran langsung,” katanya.
Menyentuh mengenai keluarga, Hunny berkata dia juga mengharapkan 2012 akan mengeratkan lagi hubungan bersama suami dengan kehadiran cahaya mata. Ujarnya, dia tidak pernah merancang memiliki anak, tetapi hingga kini masih tiada rezeki.
Kata Hunny lagi, suaminya sangat mengharapkan kehadiran zuriat. Namun, apa boleh buat kerana semua ini ketentuan Tuhan. Bagaimanapun, katanya, suami seorang yang sangat memahami dan turut memberi sokongan terhadap karier diceburinya.
PROFIL
NAMA: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
PANGGILAN KOMERSIAL: Leeya
TARIKH LAHIR: 27 April 1983
UMUR: 28 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara
KELUARGA: Anak sulung
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Muhammad Ashraf Aasimudin (Ashraf)
ANAK: Aza Ameena, Asha Ameena, 2 tahun (kembar)
SIRI TV: The Breakfast Show (ntv7), Nasi Lemak Kopi O (TV9)
FILEM: Idola, Diari Romeo, Trauma, Mukhsin dan Man Laksa
PROFIL
NAMA: Hani Farhana Mohd Hatim
PANGGILAN KOMERSIAL: Hunny Madu
TARIKH LAHIR: 1 April 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyampai radio Fly FM, pengacara, pencipta lagu dan penyanyi
KELUARGA: Anak kedua
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Khairul Azhar Abdul Wahid
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dan Kewartawanan
ALBUM: Pulau Janji
PROGRAM TV: 8TV Quickie (8TV), Nasi Lemak Kopi O (TV9)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: