Sejarah Kewujudan
Rangkaian minuman jenama Spritzer dikeluarkan oleh Kumpulan Spritzer, salah sebuah pengeluar air mineral terbesar di Malaysia yang beroperasi menerusi kilang di Taiping Perak sejak 1980-an.
Syarikat itu terlibat sepenuhnya dalam pembuatan dan pengedaran air mineral, minuman semula jadi jenis sparkling, minuman buah berperisa karbonat, minuman buah tanpa karbonat, dan secara tidak langsung menjalankan aktiviti pembungkusan botol.
Di bawah pengurusan yang sama, kumpulan itu juga terdiri daripada enam anak syarikat dan salah satunya turun berperanan membangunkan satu lagi pemasaran air mineral iaitu Cactus Marketing Sdn Bhd untuk jenama Cactus.
Bagi mempelbagaikan rangkaian produknya, Spritzer juga telah melahirkan beberapa jenama lain yang kini semakin mencipta nama, antaranya Spritzer Tinge, Spritzer Fibre, dan Spritzer Pop.
Air mineral Spritzer diproses menerusi kilang seluas 118 hektar (295 ekar) dalam keadaan persekitaran hutan hujan yang subur dan jauh daripada sebarang pencemaran.
Punyai standard yang tersendiri
Spritzer telah memilih Taiping, Perak sebagai lokasi kilang pemprosesan kerana kawasan tersebut berpotensi tinggi dapat mengeluarkan air mineral yang bersih dan berkualiti.
Pengurus Besar Cactus Marketing Sdn Bhd, Beh Swee See berkata, minuman mineral jenama Spritzer mempunyai standard yang tersendiri dan jika dilihat kepada rangka-ian produk yang ditawarkan, syarikat cuba memenuhi keperluan semua lapisan terutama isi rumah, pejabat korporat dengan pengenalan produk air bersama isi padu enam liter dan 9.5 liter.
“Spritzer adalah rangkaian produk yang telah lama bertapak di Malaysia dan sudah tiba masanya kami melakukan transformasi dengan menyediakan kemudahan air bersih bagi menjamin kesihatan yang lebih sempurna dalam isi padu yang lebih besar,” katanya.
Menurutnya, isi padu yang baru itu ditawarkan bagi produk air mineral, suling, dan Osmosis Songsang (RO).
Permintaan luar negara
Bercerita tentang pasaran, jenama ini bukan sahaja popular bagi pasaran tempatan, tetapi telah dieksport ke beberapa negara luar seperti Australia, Hong Kong, Jepun, Thailand, New Zealand, Doha, Taiwan, Singapura, dan lain-lain.
“Beberapa masalah seperti bencana dan malapetaka yang berlaku pada tahun ini secara tidak langsung telah melonjakkan permintaan terhadap air mineral untuk pasaran di Jepun dan Thailand,” katanya apabila syarikat mula mendapat permintaan yang begitu serius untuk membekalkan produk ke Jepun pada ketika ini.
Katanya, syarikat juga sedang berusaha untuk memantapkan jenama di pasaran Jepun, India, Vietnam dan lain-lain kerana permintaan yang sentiasa meningkat diterima di kalangan negara terbabit.
Domestik masih pasaran utama
Beliau berkata, walaupun sudah berjaya mengukir nama di pasaran luar negara, namun pasaran domestik masih menjadi penyumbang utama kepada perolehan.
Selaras mengukuhkan lagi jenama bagi pasaran tempatan dan luar negara, syarikat tidak hanya menumpukan kepada pasaran minuman mineral semata-mata tetapi beberapa jenama lain di bawah label Spritzer diperkenalkan untuk mendekati golongan sasaran seperti remaja, golongan yang berdiet, dan kanak-kanak.
“Sebagai pelengkap kepada rangkaian minuman, Spritzer juga telah memperkenalkan air minuman yang berkhasiat sesuai dengan kehendak pasaran semasa seperti air tanpa perisa, tidak berwarna dan tanpa karbonat jenama Spritzer Tinge khas untuk golongan remaja,” katanya.
Beberapa minuman pilihan berperisa Spritzer yang lain seperti Popi diperkenalkan pada 1997 dan terkini Spritzer Fibre diperkaya dengan nutrien tinggi dan kini telah mendapat permintaan dari Negara Timur Tengah.
“Minuman yang mengandungi paras karbonat yang rendah iaitu, Spritzer Sparkling, minuman kaya dengan Fibre, Pop dan Tinge kini semakin menjadi pilihan di kalangan penduduk Timur Tengah dan Taiwan,” katanya.
Perancangan akan datang
Menurutnya, sebagai pengembangan akan datang, syarikat merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk minuman berkhasiat tanpa warna.
“Kami tetap akan meneruskan fokus utama iaitu terus menerajui pasaran jualan air mineral dalam negara dengan membekalkan air bersih dan terjamin,” katanya.
Katanya, sebagai usaha untuk melonjakkan lagi momentum pertumbuhan jualan pada masa hadapan, syarikat juga kini giat mempromosikan produk secara runcit.
“Kami kini menggandakan usaha mempromosi produk menggunakan kaedah jualan runcit agar pelanggan boleh membeli secara terus atau borong terutama bagi produk terbaru air mineral Spritzer dengan isi padu 6 dan 9.5 liter,” katanya yang baru sahaja turut serta dalam pameran Halalfest baru-baru ini.
Mengulas tentang pertumbuhan jualan, Swee See berkata, syarikat tidak dapat mengumumkan keputusan prestasi itu dalam masa terdekat, tetapi optimis ianya dalam keadaan yang membanggakan.
Tuesday, December 27, 2011
Jenama popular pelbagai produk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: