Sunday, December 11, 2011

Jenama ‘Malaysia’ gah di London

PENUH SESAK...penyokong QPR membeli-belah di kedai barangan cendera mata stadium selepas  selesai perlawanan.
PENUH SESAK...penyokong QPR membeli-belah di kedai barangan cendera mata stadium selepas selesai perlawanan.

MEMANG percutian tidak semestinya lama dan serba mewah, malah kadangkala kepenatan ‘terkepung’ di kerusi pesawat belasan jam mungkin tidak akan terasa apabila hajat di hati ada di depan mata.

Lapangan Terbang Heathrow nama gah bagi sesetengah individu yang menjadikan kota raya London sebagai lokasi berbelanja.

  • Foto

    DAPAT SAMBUTAN...jersi pasukan QPR tersusun di kedai barangan cendera mata stadium.

  • Foto

    SEMARAK SEMANGAT...beberapa maskot pasukan berlegar di padang ketika pemain memanaskan badan.

  • Foto

    TEMPAT TETAMU...penulis dan Yusrizal duduk di C Club bagi menyaksikan perlawanan.

Namun bagi peminat bola sepak, London bukan sekadar syurga beli-belah, sebaliknya seakan-akan puncak kegembiraan melihat sekian banyak nama dan pasukan besar beraksi merebut kejuaraan mutlak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menjejakkan kaki ke London tidaklah pula semestinya menyaksikan kelibat pasukan seperti Arsenal, Liverpool, Chelsea atau Manchester United semata-mata, malah ia adalah lapangan untuk belajar menjadi peminat bola sepak yang baik.


Itu antara pengalaman paling minimum dapat dilalui ketika dua wakil Harian Metro menerima jemputan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), baru-baru ini.


Sesuai dengan kemesraan dan layanan baik syarikat penerbangan utama negara itu, kami melalui perjalanan hampir 12 jam untuk tiba di Heathrow sebelum disambut Pengurus Kanan Stesen Penerbangan Malaysia, Ibrahim Isahak, di pintu pesawat Boeing 747-400.

Kami kemudian dibawa ke hotel Holiday Inn untuk bermalam dan pastinya menghilangkan sedikit sebanyak lenguh dan kebas badan yang melalui perjalanan sejauh hampir 11,000 kilometer.

Di situ, kami kurang terasa terlalu asing kerana hotel berkenaan turut menjadi pusat penginapan kakitangan Penerbangan Malaysia, selain beberapa syarikat penerbangan asing.

Keterujaan semakin terasa keesokan hari apabila kami dibawa Pengurus Kawasan United Kingdom MAS, Yuzrizal Mohd Yousuf, menuju ke Jalan Loftus lokasi akhir yang dituju.

Jam ketika itu baru 2 petang, tetapi polis mula menutup pangkal jalan berkenaan daripada digunakan sebarang kenderaan. Keadaan itu memaksa kami berjalan kaki 300 meter ke Stadium Loftus Road.

Stadium terkecil di kalangan pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana Inggeris itu terletak di tengah-tengah kawasan kediaman.

Mempunyai empat sisi, setiap satu diberi nama tersendiri iaitu Jalan Afrika Selatan dan The Paddocks (menyediakan tiket paling murah di bahagian bawah dan paling mahal di atas, turut menempatkan bilik persalinan, suite, pejabat dan laluan pemain), The Loft (kawasan di belakang tiang gol dibina pada 1981 dan biasanya menempatkan penonton memiliki tiket semusim), Jalan Ellerslie (paling digemari di kalangan peminat QPR) dan The School End (menjadi tempat penonton pasukan pelawat dan menempatkan skrin besar).

Di pangkal simpang, di kanan kami ialah bangunan Pusat Penyiaran British (BBC) dan tidak jauh dari situ - di sebelah kiri - sekumpulan anak muda bersorak-sorak bermain bola sepak di padang yang sederhana.

Di sana sini, orang ramai berjalan pantas dengan kebanyakannya memakai baju berbelang biru putih - warna utama pasukan Queens Park Rangers (QPR) dengan tulisan ‘Malaysia’ jelas terpampang di dada masing-masing.

Tentulah kami bersikap keterlaluan jika tidak berasa apa-apa melihat nama negara sendiri dipakai dengan megah di situ.

Berjalan 15 minit, kami pun tiba di pintu masuk stadium. Tidak seperti kebanyakan penonton lain, kami dibawa Yuzrizal memasuki pintu kecil yang disambut mesra petugas stadium berkenaan.

Sejurus selepas dialu-alukan, kami dibawa menaiki lif ke tingkat dua dan diiring masuk ke ruang yang menyediakan suasana berbeza seolah-olah bukan berada di stadium.

Ia adalah C Club yang menjadi tempat pegawai kanan dan tetamu diraikan pada hari QPR menjadi tuan rumah kepada pasukan lain dalam EPL.

Di situ, tetamu diberi layanan istimewa. Selain suasana selesa, pelayan berseragam putih sedia melayan tetamu pada bila-bila masa dengan sekian banyak hidangan lazat serta untuk pengunjung bukan Islam, pastinya - deretan minuman keras yang pelbagai.

Turut ramah menyapa tetamu ialah Ketua Pegawai Eksekutif QPR, Philip Beard.
Kira-kira 15 minit sebelum perlawanan dimulakan, Yuzrizal mengajak kami ke tempat duduk. Ketika itu masih banyak ruang tempat duduk yang kosong.

Ruang tempat duduk utama Stadium Jalan Loftus juga hampir 80 peratus kosong.
Saya menjangkakan perlawanan kali ini tidak mendapat sambutan kerana lawan QPR berada di kedudukan lebih bawah daripadanya - West Bromwich Albion (WBA).

Di tengah padang, pemain kedua-dua pasukan asyik dengan pelbagai aktiviti memanaskan badan sambil diperhatikan dengan teliti dua pengurus - Neil Warnock dan Roy Hodgson.

Bagaimanapun, kira-kira lima minit lagi perlawanan dilangsungkan, Stadium Jalan Loftus tiba-tiba gamat dengan sorakan penonton.

Stadium dengan kapasiti maksimum 18,500 orang itu penuh sesak. Di bahagian kanan dikhaskan untuk penyokong WBA, manakala di sebelah kiri adalah tempat peminat tegar QPR.

Ia pengalaman menarik bagi saya. QPR memanglah tidak sehebat gergasi bola sepak seperti Arsenal atau Manchester United di England, tetapi sambutan orang ramai terhadap sesebuah pasukan rupa-rupanya begitu hebat.

Selain mengakui bola sepak mempunyai pengaruh besar, keghairahan penonton di The Loft mengajar saya bahawa kesetiaan tebal penyokong kepada sesebuah pasukan - walaupun untuk pasukan kurang ternama - bukan khayalan.

Kekaguman juga semakin tinggi apabila perlawanan berakhir.

Dari tempat duduk, kami bergerak ke luar di bahagian kiri Stadium Jalan Loftus yang menempatkan kedai pelbagai barang membawa jenama QPR.

Membanggakan juga apabila melihat orang ramai berbaris panjang untuk masuk ke kedai itu. Disebabkan sambutan hebat, seorang petugas ditempatkan di pintu masuk bagi mengawal bilangan orang yang ada di dalam premis bagi satu-satu masa.

Ketika bilangan pelanggan berada di tahap maksimum, hanya selepas ada yang keluar, baru si pengawal membuka pintu pintu untuk membenarkan pelanggan lain masuk.

Di dalam kedai, deretan baju belang biru putih menguasai bahagian pakaian, selain sedikit jersi QPR yang dipakai ketika bertandang ke stadium lawan.

Di bahagian depan jersi utama QPR, tertera perkataan Malaysia Airlines dengan perkataan ‘Malaysia’ begitu besar.

Hampir setiap pelanggan membeli sekurang-kurangnya sehelai baju QPR, menjadikan mereka ‘duta’ tidak rasmi untuk Malaysia apabila perkataan itu bakal terpampang megah di dada masing-masing.

Bagaimanapun, harga menjadi isu kepada peminat sederhana dari Malaysia seperti saya. Nampaknya strategi pemasaran diguna pakai Malaysia Airlines memang mengena.

Menurut Yuzrizal, secara asasnya pembabitan syarikat penerbangan itu dengan QPR adalah langkah pendedahan yang berkesan untuk warga setempat, terutama di kalangan peminat kelab berkenaan di London.

“Seperti yang anda lihat, QPR mempunyai peminat setia yang ramai dan penajaan terhadap pasukan itu memberikan pendedahan meluas kepada pasaran di United Kingdom,” katanya.

Menurut Yuzrizal, keberkesanan langkah itu juga dapat dilihat daripada sokongan diberi ejen pelancongan tempatan yang mengalu-alukan pembabitan syarikat penerbangan itu.

Daripada aspek penjenamaan pula, katanya, ia dapat dilihat sendiri kepada keghairahan peminat membeli pelbagai barang, terutama jersi QPR.

Secara tidak langsung kesedaran orang ramai kepada Malaysia Airlines dan Malaysia semakin meningkat, sekali gus memberi kesan positif kepada industri pelancongan negara.

Kata Yuzrizal, secara bandingan QPR memang kecil berbanding kelab lain, tetapi ia membawa potensi besar dari semasa ke semasa.

Difahamkan, QPR juga bakal mendapatkan beberapa pemain baru pada musim perpindahan akan datang.

Jika ia menjadi kenyataan, kelab itu dijangka menjadi lebih kukuh dan mencabar dalam baki saingan EPL.

“Rasanya di Malaysia sendiri, peminat QPR juga semakin ramai kerana mereka semakin yakin dengan kemampuan kelab ini memberi saingan,” katanya.

Kelekaan meninjau-ninjau dalam kedai juga menyebabkan peluang bertemu pemain QPR, terutama bintang utamanya, Joey Barton dan Shaun Wright-Phillips terlepas.

Jika anda mahu melalui pengalaman bertegur sapa dan bergambar bersama pemain QPR, petuanya ialah - segera membeli-belah di kedai pasukan sebelum perlawanan supaya boleh menunggu di tepi jalan.

Tidak seperti pasukan pelawat yang akan menaiki bas, pemain QPR akan berjalan kaki dengan selamba dari stadium ke kawasan tempat meletak kenderaan kira-kira 150 meter dari situ dan ramah dengan peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: