Sunday, December 11, 2011

Bantu penyelamat hadapi bencana

BERPASUKAN...ahli wanita Atfire membentuk bulatan di permukaan air mengikut garis panduan Jabatan  Bomba dan Penyelamat sempena Kursus Menyelamat Di Air dan  Persediaan Banjir 2011 di Gate Sungai Sat, Machang.
BERPASUKAN...ahli wanita Atfire membentuk bulatan di permukaan air mengikut garis panduan Jabatan Bomba dan Penyelamat sempena Kursus Menyelamat Di Air dan Persediaan Banjir 2011 di Gate Sungai Sat, Machang.
BERDEBAR...Nurul Hidayah meniti tali.
BERDEBAR...Nurul Hidayah meniti tali.

PERANAN skuad ini mungkin dianggap kecil pada mata masyarakat, namun buat pasukan bomba, kehadiran mereka sedikit sebanyak mampu menyelamatkan nyawa ketika kebakaran.

Malah, kepantasan mereka hadir ke lokasi kejadian dalam tempoh singkat juga membantu mengurangkan risiko kerugian atau ‘kehilangan’ kediaman yang dihadapi mangsa.

Khidmat kumpulan itu turut ditagih pasukan bomba dalam membantu melakukan pemantauan dan pemeriksaan pili bomba, selain mampu menjadi barisan depan jika berlaku kecemasan di kawasan berhampiran.

Walaupun usia baru setahun jagung dan tidak sehebat anggota bomba sebenar, Persatuan Sukarela Bomba dan Penyelamat Radio Amatur Machang boleh berbangga apabila semua ahlinya berusia 18 hingga 45 tahun berjaya melepasi beberapa tahap modul latihan dan kecekapan mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Ditubuhkan secara rasmi Jun lalu mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, Seksyen 62(1)(Ca), Persatuan Sukarela Bomba dan Penyelamat Radio Amatur Machang atau ‘Amateur Team Fire and Rescue’ (Atfire) kini mempunyai 60 ahli berbanding 25 pada awal penubuhannya.


Pertambahan ahli secara mendadak dalam tempoh tidak sampai setahun itu membuktikan masyarakat mula sedar mengenai tanggungjawab sosial mereka dalam membantu pihak penyelamat menghadapi pelbagai bencana seperti banjir, kebakaran dan kemalangan, selain sanggup ‘berkorban’ demi menyelamatkan nyawa manusia.

Presiden Atfire, Mohd Asri Mohd Zahari, 39, berkata perkembangan itu petanda positif kepada negara disebabkan sebelum ini ramai kurang berminat menyertai pasukan sukarelawan polis dan bomba kerana kurangnya kesedaran sivik, selain sikap mementingkan diri sendiri.

Katanya, idea penubuhan Atfire tercetus ketika bertemu Pegawai Latihan Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Che Zamri Che Ya, sembilan bulan lalu.

“Ketika itu, saya dan beberapa rakan radio amatur lain menyertai Ronda Raya Tahun Baru Cina bersama anggota bomba Machang dan sebaik dimaklumkan bahawa sukarelawan bomba belum ‘wujud’ di bandar ini, terus terlintas di fikiran untuk menubuhkan satu persatuan.

“Tambahan pula, kelebihan pihak kami memiliki kemudahan alat komunikasi dua hala atau ‘walkie-talkie’ mungkin boleh membantu kami berhubung dengan cepat tatkala berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui selepas Kursus Menyelamat Di Air dan Persediaan Banjir 2011 di Gate Sungai Sat, Machang, anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Machang bersama Atfire.

Beliau yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang berkata, majoriti ahli Atfire adalah belia, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kakitangan kerajaan dan swasta.

Katanya, ahli Atfire menjalani beberapa kursus asas, antaranya ‘Sever’ dan ‘Breathing Apparatus Training Gallery (BATG)’ di Pusat Latihan Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor.

“Latihan dwi mingguan diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Machang, bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam, di mana setiap ahli diwajibkan menjalani latihan sekurang-kurangnya lapan jam sebulan.

“Memandangkan Atfire masih ‘menumpang’ di balai berkenaan, saya merayu kerajaan menyediakan satu tempat khas bagi memudahkan kami melakukan aktiviti bomba, selain diberi elaun bulanan,” katanya.

Che Zamri, 39, berkata Atfire adalah sukarelawan bomba kedua ‘terbesar’ selepas Persatuan Bomba Sukarela Kembara Skuad 4x4 Adventure Team, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Katanya, selain Sever, BATG, latihan kawad kaki dan kawad hose, semua ahli diberi latihan pengenalan peralatan kebombaan lain seperti cara-cara menyelamat dan penggunaan peralatan memadam kebakaran.

“Latihan seumpama itu menguji tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan mental bagi mengelakkan mereka menjadi panik dan kelam-kabut, terutama ketika berdepan situasi sebenar.

“Mereka turut diajar cara-cara menyelamatkan mangsa di air, terutama ketika banjir,” katanya yang mengakui Atfire juga dipanggil bertugas 24 jam pada musim tengkujuh.

Penuntut, Mohamad Zainal Azim Ozeman @ Azeman, 20, berkata kerjaya bomba adalah tugas penuh mencabar serta memerlukan komitmen tinggi semua ahli bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan sempurna.

Katanya, walaupun anggota sukarela tidak dibenarkan memasuki bangunan ketika kecemasan, tugas membantu kerja menyelamat daripada luar dapat dilakukan dengan baik.

“Saya memasuki sukarelawan bomba bukan ingin mencari ‘glamor’, sebaliknya berhasrat membantu masyarakat sekeliling tatkala mereka ditimpa kesusahan.

“Sukarelawan bomba juga dianggap responden pertama dalam membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya yang menyertai kadet bomba ketika di Sekolah Menengah (SM) Teknik Bachok, Kelantan.

Bagi dua beradik, Siti Rohayu Che Azmi, 21, dan Nurul Hidayah, 20, mereka menyertai Atfire atas kehendak sendiri, bahkan semakin teruja sebaik diberi restu oleh keluarga sekalipun menyedari kerjaya itu berisiko tinggi.

Menurut Siti Rohayu, pengalaman menjalani latihan BATG dianggap paling menggerunkan buat mereka bergelar wanita kerana semua ahli perlu berada dalam bilik gelap yang sempit itu selama setengah jam.

“Walaupun penyertaan kami berstatus sukarelawan, perkara itu tidak pernah menjejaskan kewibawaan kami dalam membantu pihak bomba melakukan operasi bomba.

“Malah, saya dan Nurul anggap kerjaya itu paling seronok berbanding khidmat badan beruniform lain kerana hati berasa puas jika kita dapat menyelamatkan mangsa,” katanya yang turut disokong adiknya.

Pelajar, Mohamad Salman Rosman, 18, pula berkata ahli Atfire turut didedahkan mengenai teknik menangkap ular dan memusnahkan sarang tebuan.

“Kedua-dua kerja itu tampak mudah, namun kalau tidak kena cara atau teknik, ia boleh mengundang padah kepada ahli seperti dipatuk atau disengat haiwan berbisa itu.
“Sebab itu, setiap ahli tidak digalakkan ‘menunjuk-nunjuk’ kepada masyarakat, terutama ketika melakukan kerja menyelamat, kerana ia boleh memakan diri jika kita terlalu takbur dan riak,” katanya yang turut mewakili negeri dalam sukan silat.

Penuntut jurusan Diploma Pengajian Perniagaan, UiTM Machang, Amizatulsaima Mazlan, 22 berkata walaupun baru dua minggu menyertai Atfire, dia tidak terkecuali menjalani latihan menyelamatkan mangsa di air.

“Dalam latihan itu, saya dan ahli lain diberi pendedahan mengenai cara menyelamatkan mangsa di dalam air sebelum menaikkannya ke atas bot.

“Kami turut diajar menyeberangi sungai menggunakan teknik ‘reverse crossing’, ‘monkey crossing’, ‘commando crossing’, ‘water confined’ dan membentuk bulatan atau ‘circle’ di atas permukaan air secara berkumpulan,” katanya yang meminati aktiviti lasak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: