Thursday, December 15, 2011

Ikan kurang di Pasar Endau

 Yahya hanya  menjual beberapa jenis ikan  berikutan kekurangan bekalan pada musim tengkujuh.
Yahya hanya menjual beberapa jenis ikan berikutan kekurangan bekalan pada musim tengkujuh.
Ancaman tengkujuh di Tanjung Gemok jejas nelayan ke laut dalam

ENDAU: Kekurangan bekalan ikan di Pasar Endau berikutan nelayan laut dalam tidak menjalankan aktiviti mereka akibat musim tengkujuh mula dirasai penduduk sekitar Endau dan Tanjung Gemok, Rompin.
Hasil laut dikatakan berkurangan separuh daripada hari biasa, malah sukar untuk pelanggan memilih ikan yang diminati kerana hanya terdapat beberapa jenis selain ketam, udang dan sotong di pasaran.
Kebanyakan bekalan ikan diperoleh dari bot pukat cerut laut dalam kerana banyak pemilik bot terbabit menghentikan operasi tangkapan selama tiga bulan, kekurangan ikan di pasaran dirasai. - Kamisah Tahir, Penduduk
Tinjauan ke pasar pekan Endau semalam mendapati rata-rata pembeli hanya mempunyai pilihan untuk beberapa jenis ikan antaranya tenggiri, merah, tongkol, kembung dan pari, manakala ikan beku pula diperoleh dari negeri lain terutama Terengganu dan Perak.

Penduduk, Kamisah Tahir, 36, berkata sebelum ini bekalan ikan sudah kembali pulih, namun beberapa hari lalu hasil laut itu mulai berkurangan kerana peniaga bergantung kepada bekalan daripada nelayan pesisir pantai dan bot pukat tunda.

“Kebanyakan bekalan ikan di sini diperoleh dari bot pukat cerut laut dalam kerana banyak pemilik bot terbabit menghentikan operasi tangkapan selama tiga bulan, kekurangan ikan di pasaran dirasai dan jika ada, harganya agak mahal,” katanya.

Katanya, pembeli juga terpaksa beralih kepada ayam dan daging lembu sekiranya lewat ke pasar disebabkan rata-rata peniaga menutup premis jam 12 tengah hari.
“Jika tidak sempat, kebiasaannya kami ke pasar awam Tanjung Gemok, Rompin, itu pun tidak banyak ikan yang dijual. Kebanyakan penduduk di sini masih memilih hasil laut sebagai menu utama dalam setiap hidangan harian kerana sudah biasa dengan keadaan dan persekitaran tempat tinggal di pesisir pantai ini,” katanya.

Katanya, bekalan akan berkurangan beberapa minggu akan datang berikutan angin kencang dan laut bergelora.

“Daripada tiada langsung lebih baik kami beralih kepada ikan beku walaupun penduduk sekitar Endau dan Tanjung Gemok biasa dengan ikan segar di jeti-jeti berhampiran setiap hari,” katanya.

Peniaga ikan, Yahya Samad, 59, berkata sejak beberapa hari lalu beliau tidak dapat menjual banyak jenis ikan seperti kebiasaan kerana bekalan semakin berkurangan.

“Hari ini saya hanya menjual beberapa jenis ikan, selebihnya ketam dan udang itu pun tidak banyak. Esok terpaksa pula mencari bekalan lain.

“Mungkin kalau cuaca baik bekalan bertambah sikit kerana pemancing turut menyumbang kepada bekalan ikan gred baik. Kami sebagai peniaga pun terpaksa membeli ikan dengan harga yang sedikit tinggi berbanding biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: