KAMPUNG KUALA BERA - Umum mengetahui bahawa surat khabar lama mempunyai kegunaan. Jika anda bijak dan kreatif, bahan ini boleh digubah menjadi barang perhiasan atau kraf tangan sekali gus mendatangkan keuntungan sekiranya dijual di pasaran.
Penghasilan kraf tangan sememangnya mendapat permintaan tinggi di pasaran khususnya kepada pelancong asing yang berkunjung ke negara kita.
Bagi penduduk di sini, mereka mengambil inisiatif mengguna pakai bahan terbuang ini dengan menghasilkan kraf tangan sebagai sumber pendapatan terutama golongan suri rumah dan ibu tunggal.
Mereka bergerak dalam kumpulan iaitu melalui Persatuan Wanita Dinamik Felcra (Wadina) yang berjaya menganjakkan pemikiran wanita di kawasan perkampungan tradisional ini supaya bergerak lebih aktif dan progresif.
Bermula dari kursus yang dihadiri golongan ini melalui Kelas Kemahiran Kraftangan (PKK) anjuran Kemas Daerah Bera, mereka mampu menghasilkan pelbagai bentuk kraf tangan.
Pengerusinya, Junaidah Ngah berkata, mereka mendapat ilmu kemahiran ini bermula Mac 2009 dan kini berjaya mengumpulkan pelbagai bentuk kraf tangan berasaskan surat khabar.
Menurutnya, pada awal pembelajaran kemahiran tersebut, masing-masing beranggapan bahawa seni menghasilkan kraf tangan itu adalah rumit dan sukar, namun setelah beberapa kali mencuba, mereka akhirnya berjaya menghasilkan kraf tangan yang halus buatannya.
“Teknik membentuk pasu, topi atau beg bukanlah perkara mudah, bagaimanapun, kemahiran kami bertambah baik kerana setiap hari, kami mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam usaha menambah baik mutu penghasilan kraf tangan.
“Menepati sasaran kerajaan mahu mewujudkan 1 Daerah, 1 Industri, Wadina mahu melangkah lebih jauh,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, bahan utama iaitu surat khabar tidak sukar diperoleh kerana setiap peserta mempunyai koleksi surat khabar lama.
Kesungguhan Wadina mendapat perhatian Koperasi Wanita Bera Berhad (Kowada) yang mahu bertindak sebagai agen pemasaran bagi penghasilan kraf tangan itu.
Pengerusinya, Manila Latif berkata, ramai dalam kalangan suri rumah berminat menceburkan diri dalam industri ini, namun mereka tidak mampu memasarkan produk kreativiti tersebut berikutan tiada pengetahuan dalam bidang perniagaan.
“Selaras dengan objektif penubuhan Kowada, setiap hasil kraftangan yang berkualiti akan dipasarkan di seluruh daerah di negeri ini berdasarkan permintaan pelanggan.
“Produk kraf tangan yang dihasilkan tidak seharusnya tertumpu kepada satu produk sahaja, tetapi mereka boleh mempelbagaikan kraf tangan itu berdasarkan populariti kraf tangan dalam pasaran,” katanya.
Selain itu, hasil kraf tangan yang dihasilkan ini juga boleh diletakkan di pusat pengumpulan hasil yang dibina di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera.
Pengurus Pemasaran PPK, Mohd Khusaini Awang berkata, pusat ini penting memandangkan PPK bukan sahaja ditugaskan mengumpulkan hasil petani, peladang dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) semata-mata malah bertanggungjawab memasarkan produk itu di dalam mahupun luar negara.
“PPK Bera akan menjadi pemangkin kepada pengeluaran hasil IKS termasuk pertanian di daerah ini bagi menjamin pengeluaran hasil IKS selain pengeluaran produk dan pasaran yang berterusan.
“Malah, jika ada individu yang berminat mempelajari ilmu kraf tangan, kita sedia membuka kelas secara percuma bagi mewujudkan kraf tangan hasil keluaran daerah ini,” katanya.
Sunday, December 4, 2011
Hasilkan kraf tangan guna surat khabar lama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: