Tuesday, December 13, 2011

Habuan Tahun Baru Ikon Bollywood


KAREENA KAPOOR


SHAH RUKH KHAN, Kareena Kapoor, Priyanka Chopra dan Katrina Kaif diketahui umum merupakan antara bintang Bollywood yang meraih habuan bayaran yang tinggi setiap kali dijemput mengadakan persembahan sempena sambutan Tahun Baru.

Namun siapakah yang telah dibayar paling mahal untuk sambutan Tahun Baharu 2011 dan siapa pula ikon Bolllywood nombor satu paling dikehendaki untuk menghangatkan sambutan bagi meraikan kemunculan 2012 nanti?

Mengadakan persembahan di majlis tertutup dan di khalayak umum merupakan jalan pantas bagi menghasilkan wang ekstra yang banyak bagi selebriti Bollywood.

Apa yang penting, persembahan pentas artis Bollywood mereka tidak memerlukan mereka menghabiskan banyak tenaga untuk menyanyi tetapi sebaliknya sekadar menari mengikut rentak lagu-lagu runut bunyi filem- filem lakonan masing-masing.

Shah Rukh dengan jujurnya mengakui dia akan menerima tawaran untuk mengadakan persembahan tarian untuk sebarang majlis, dengan syarat dia dibayar dengan setimpal. Katanya: "Saya tak kisah dijemput menari untuk sebarang majlis keraian. Asalkan bayarannya berpatutan."

Biarpun dua bintang ternama Salman Khan dan Aamir sebaliknya menolak sebarang jemputan untuk mengadakan persembahan pada majlis-majlis keraian, namun kebanyakan pelakon Bollywood memilih untuk mengikuti jejak yang sama seperti yang telah dirintis oleh Shah Rukh. Justeru, artis manakah yang meminta bayaran paling mahal?

Menurut sumber, Shah Rukh meminta bayaran sekurang-kurangnya Rs 4 crore (RM3.2 juta) setiap kali mengadakan persembahan. Malah bayaran untuknya itu dijangka akan meningkat selepas filem terbaharu lakonannya, Ra. One meraih kutipan pecah panggung mencecah RM192 juta dan begitu juga sebuah lagi filem lakonannya yang akan ditayangkan tidak lama lagi, Don 2 yang turut dijangka bakal pecah panggung.

Tambahnya: "Pelakon wanita gred A Bollywood seperti Kareena Kapoor, Katrina Kaif dan Priyanka Chopra mengenakan bayaran di antara Rs 1.2 (RM960,000) hingga Rs 2 crore (RM1.6 juta) setiap kali mengadakan persembahan bersempena sambutan Tahun Baharu.

"Dalam kes Kareena Kapoor, bayarannya berkemungkinan akan meningkat memandangkan kesemua filem-filem lakonannya sepanjang tahun ini meraih kutipan pecah panggung iaitu Bodyguard dan Ra. One, malah Kareena mungkin menjadi pelakon wanita yang dibayar paling mahal untuk mengadakan persembahan untuk Tahun 2012 nanti!"

Tambahnya, aktres seperti Bipasha Basu, Anushka Sharma, Malaika Arora Khan dan Mallika Sherawat dalam kategori sederhana dengan bayaran setiap kali persembahan mereka masing-masing adalah antara Rs 50 (RM400,000) hingga Rs 75 lakh (RM600,000).

Katanya lagi, bagi aktres-aktres yang jarang meraih tawaran berlakon filem seperti Yana Gupta, Sameera Reddy, Neha Dhupia, Koena Mitra dan Tanushree Dutta pula dibayar di antara Rs 10 (RM80,000) hingga Rs 25 lakh (RM200,000) . Tegas sumber: "Golongan aktres kategori ini nampaknya meraih lebih banyak bayaran untuk mengadakan persembahan berbanding bayaran yang diperolehi daripada khidmat lakonan masing-masing."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: