Tuesday, December 13, 2011

Bicara moral artis



"SAYA suka soalan ini. Soalan ini memang susah mahu saya jawab dan harus berfikir. Beri saya ruang dan masa untuk perkara ini dan untuk menjawab," tutur aktor Eman Manan sambil ketawa apabila ditebak dengan persoalan tentang bilakah dia ingin menamatkan zaman solonya.

Seronok sesekali dapat mengusik perhatian dan jiwa pelakon berwibawa tanah air ini. Sementelah bekas suami primadona tersohor tanah air Fauziah Datuk Ahmad Daud ini sudah lama menduda.

Justeru, biarpun Eman seorang pelakon bertaraf veteran yang disegani bakat lakonannya, namun dia juga tidak terlepas daripada 'dibedil' dengan soalan-soalan nakal daripada pihak media masa kini yang sentiasa mahukan cerita 'panas' daripada golongan artis.

Menariknya, Eman tidak pula melenting seperti sesetengah artis yang terus menunjukkan sikap tidak mesra media apabila diajukan soalan-soalan berbaur peribadi.

Malah, apa yang penting dan boleh dijadikan contoh oleh artis-artis lain adalah Eman mengambil pendekatan yang bijak dalam menjawab soalan 'cepumas' daripada pihak media itu.

Eman teryata berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan kata-kata untuk menjawab soalan-soalan berbaur peribadi itu.

Selepas dia menberikan jawapan yang bijak itu, ternyata media berpuas hati berlalu dengan senang, Eman terus membawa haluan perbicaraan untuk menyentuh tentang isu-isu yang lebih serius tentang dunia lakonan.

Terus sahaja bicara Eman menyentuh tentang profesionalisme seorang artis. Kata Eman: "Konsep profesionalisme (artis) perlu bermula dari dalam kerana diri sendiri yang membina perkara tersebut, tidak harus mengharapkan orang lain. Jika ia telah dimulakan, maka ia akan diikuti dan bermula konsep profesionalisme di dalam industri (perfileman) itu sendiri.

Mengenai generasi baharu artis, ujar Eman, banyak bakat yang hadir kini dilihat dapat memberikan aktor senior seperti dirinya meninggalkan karier mereka dengan lapang di dada kerana kebanyakan pelakon hari ini memiliki kelulusan dari institusi tinggi tidak kiralah di bidang nyanyian, lakonan atau pengarahan.

"Berkarya ini bukan kerja bakat, tapi kerja ilmu yang perlu dididik, mendidik dan mendapat pendidikan.

"Kita ada banyak pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus lakonan.

"Jadi, peluang harus diambil untuk menghasilkan produk tempatan yang berkualiti," tegasnya.

Daripada isu profesionalisme artis, Eman menyentuh pula tentang soal hubungan artis dan media. Dia mengakui ada juga segelintir artis yang cepat melatah ataupun marah dengan media apabila memaparkan kisah peribadi mereka namun kata Eman sebagai ikon, pasti ramai yang ingin mengambil tahu tentang golongan artis.

Eman memberitahu, industri hiburan merangkumi secara keseluruhan turut mengaitkan hubungan antara wartawan dan artis.

"Perlu ada kebijaksanaan dalam diri artis baik dalam lakonan, di hadapan kamera mahupun ketika menjawab persoalan pihak media. Wartawan punya etika, kenapa perlu 'makan bersuap' jika tidak mahu dihebahkan?," bicara nya penuh makna tersirat.


EMAN bergandingan dengan Zahiril Adzim dalam supertelemovie Parit Jawa.


Tambahnya: "Seorang artis bukannya pejuang moral tetapi moral artis sentiasa dinilai. Bagi seorang artis, jika media banyak menulis tentang perihal lain selain bakat lakonannya, saya menjadi tertanya-tanya, bila masa ingin menceritakan tentang karyanya," ujar Eman ketika ditemui pada sidang media pratonton drama bersiri Parit Jawa di GSC Signature, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tapisan lakonan

Eman Manan atau nama sebenarnya, Abdul Manan Embong kini tampil menerusi drama bersiri yang dikenali dengan istilah baharu iaitu supertelemovie garapan Tunku Mona Riza berjudul Parit Jawa yang mana penceritaannya menyingkap sisi hidup masyarakat Jawa yang sangat berpegang pada adat dan menjaga keturunan mereka.

Namun apa yang menariknya, sebahagian daripada supertelemovie itu memerlukan Eman berdialog dalam bahasa Jawa.

Memegang watak sebagai Arman, anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang mementingkan keturunan dan asal usulnya telah diberi tanggungjawab menjaga tanah pusaka keluarga selepas kematian bapanya.

"Pada mulanya menerima tawaran tersebut saya tahu saya perlu berdialog dalam bahasa Jawa tapi saat itu saya fikir dialog yang harus dibicara adalah seperti bahasa Indonesia yang biasa kita dengar menerusi sinetron-sinetron (drama-drama).

"Namun apabila saya mendapat skrip dan membacanya, saya agak terperanjat kerana bahasa yang tertera dalam skrip itu merupakan bahasa Jawa asli atau pekat. Jadi apabila perlu bercakap bahasa Jawa selama empat atau lima hari untuk penggambaran adalah perkara yang agak sukar bagi saya," luah anak kelahiran Kuala Terengganu itu.

Ujarnya lagi, sebagai pelakon dia mencuba sebaiknya dan jika ditonton oleh orang bukan Jawa, mereka merasakan bahawa percakapan saya baik. Namun, lain pula bagi mereka yang sememangnya daripada keturunan Jawa, mungkin pelat mahupun bahasa Jawa Eman kedengaran tidak sempurna buat mereka.

Bagaimanapun, beritahu aktor yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun itu, jangan dilihat mengenai betul atau tidak intonasi Jawa yang disebut, tetapi mengangkat satu naskhah tentang sebuah keluarga Jawa yang lebih utama bagi dirinya.

Nilai pelakon

Jika mahu dihitung, Eman kini jarang dilihat muncul di kaca televisyen mahupun di layar perak, namun kemunculannya menerusi beberapa drama tersebut semuanya menerusi karakter-karakter yang hebat.

Ketika ditebak persoalan adakah dirinya memilih untuk tampil hanya menerusi naskhah yang dianggapnya baik, jawab Eman, jika ingin menjadi pelakon yang berkualiti, seorang pelakon itu perlu mempunyai tapisan dan ia juga merupakan salah satu usaha ke arah melahirkan drama yang berkualiti dalam industri lakonan tempatan.

Kata Eman, barisan pelakon antara faktor penting bagi menentukan kehebatan sesebuah produksi lakonan.

"Penonton menuntut produksi lakonan yang bagus. Penonton akan menuntut siapakah pengarah dan pelakonnya. Ia sudah bermula dari sebelum pelakon itu memilih lagi, sebagai contoh, apabila ada sesebuah drama yang bakal disiarkan, pasti penonton bertanya, siapakah pelakon dan pengarahnya?

"Ia umpama jika kita makan semua makanan, pasti ada penyakit akan hadir, oleh itu, kita perlulah memilih makanan yang menyihat," jelas Eman memberikan pendapat peribadinya.

Kebiasaannya, apabila nama Eman Manan tercalon di dalam sesebuah kategori bagi majlis anugerah, pastinya pencalonan lain anggap mereka punya harapan tipis untuk merebut anugerah tersebut.


EMAN dan Zahiril bersama barisan karyawan supertelemovie Parit Jawa.


Baru-baru ini, Eman telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Janji Syurga di Anugerah Skrin ke-24 (ASK 24) dan katanya berbekalkan 20 tahun lebih pengalamannya dalam bidang lakonan, ia merupakan kali kedua dia memenangi ASK yang mana kali pertama dia menang pada tahun 2008 menerusi filem berjudul Wayang.

"Mereka mungkin takut dengan keyakinan diri sendiri dan kepada teman-teman saya, jangan takut, anda juga bagus. Kita tidak boleh lari dari nasib dan ruang.

"Kadang-kadang, 10 tahun kita berlakon pun kita masih tidak mendapat naskhah yang baik dan tidak diberi gandingan baik atau mungkin bukan di bawah garapan pengarah yang besar dan sebagainya," ulasnya.

Tegasnya lagi: "Saya lebih suka menilai kerja sendiri darpada menilai kerja orang lain. Justeru, untuk menilai kerja sendiri, pelakon perlu tahu sedikit sebanyak intipati lakonan yang betul dan perlu kenal naskhah tersebut bagus atau tidak."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: