Wednesday, December 21, 2011

Fokus rekaan majlis koktel


Hasfitri bersama baju rekaan yang mewah dengan jahitan kristal bersalut.


REKAAN fesyennya lebih menjurus kepada sentuhan feminisme dan romantik dengan penggunaan fabrik dan warna yang penuh imaginasi.

Walaupun nama Hasfitri Yusof masih baru dalam industri fesyen Malaysia, namun dia cepat dikenali kerana sifat peramah dan tidak segan bertanya kepada pereka-pereka fesyen yang lebih berpengalaman.

Memulakan labelnya sendiri Hasfitri Yusof pada bulan Jun tahun lalu, dia memberi tumpuan kepada rekaan pakaian wanita khususnya untuk majlis koktel dan pakaian malam.

Sangat cerewet dan mementingkan kualiti, kekuatan Hasfitri terletak pada pemilihan tekstil, perincian dan perhiasan untuk setiap rekaannya.

Bertemu dengan anak bongsu daripada tiga beradik yang berumur 24 tahun itu, Hasfitri berkata, rekaannya lebih kepada yang moden dan gabungan antara timur dan barat.

''Selain menerima banyak tempahan untuk baju kahwin, banyak pelanggan menempah baju kurung dan pakaian moden,'' kata Hasfitri yang datang ke studio Utusan ditemani oleh ibunya, Siti Sandari Shukur.

Menurutnya, dia lebih gemar bermain dengan perincian seperti manik, batu-batu besar, kristal biasa, kristal bersarung, mutiara, batu sungai yang diimport dari China dan sebagainya untuk menghasilkan rekaan yang eksklusif.

''Peranan perincian amat hebat kerana perincian menjadikan sesuatu rekaan yang ringkas nampak 'berpotongan' dan cantik. Dengan perincian juga, kita dapat meningkatkan harga sesuatu rekaan itu.

''Mungkin kebanyakan pereka fesyen tidak begitu gemar menjahit perincian seperti batu dan manik kerana kerja ini rumit dan lama. Namun saya lebih berpuas hati jika menjahit perincian sendiri.

''Biasanya jahitan manik dan batu ini disiapkan pada waktu malam sementara waktu siang saya memotong dan menjahit baju. Bagi perincian yang tebal dan rapat dapat disiapkan dalam masa lima jam sahaja,'' ujar Hasfitri yang berkelulusan Diploma Rekaan Fesyen daripada Politeknik Johor Bahru, Johor.

Dia berkata, idea corak rekaan manik dan batu yang dijahit pada baju mengikut empat musim di luar negara. Justeru jika dilihat, corak yang dibuat berbentuk abstrak dan tidak begitu gemar kepada corak bunga.

Sebelum memulakan jahitan batu, jelasnya, dia akan melukis dahulu corak di atas kertas dan kemudian meletakkan ke atas baju. Kadang-kadang dia akan terus menyusun batu di atas baju dan jika dilihat cantik, akan terus menjahit.

Hasfitri menambah, batu yang paling cantik ialah kristal bersarung yang mempunyai kilatan yang berbeza dan lebih jernih. Namun ia mahal, sensitif dan tidak tahan lasak.

Rekaan baju yang dijahit dengan kristal bersarung itu lebih sesuai untuk persembahan atas pentas atau karpet merah.

Menjadikan usia 30 tahun sebagai sasaran untuk memiliki butik sendiri, Hasfitri berkata, dia menghasilkan sesuatu rekaan bukan kerana syok sendiri tetapi mahu semua orang menyukai dan boleh memakai.

''Saya ingin menjadi pereka fesyen yang diterima oleh masyarakat dan orang mengenali rekaan daripada Hasfitri Yusof Creations,'' ujarnya.

Jika berminat melihat rekaan Hasfitri, layari http://hasfitriyusof.blogspot.com atau telefon 010-7712387.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: