Tuesday, December 27, 2011

Festival Seni eratkan sekolah dan IPT


Para pelajar tingkatan lima Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru mengadakan Persembahan Kesenian bertemakan 'Nostalgia... ada yang lama, ada yang baru' pada Festival Mutiara Seni 2011 di UiTM Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


Penganjuran Festival Mutiara Seni (FMS) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha jalinan hubungan antara pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini selaras dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Buktinya, penganjuran FMS oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM ini melibatkan jalinan usaha sama Sekolah Seni Malaysia (SSM) Johor Bahru dan SSM Kuching dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sebagai tuan rumah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar kecil) berkata, usaha penganjuran festival ini adalah bertepatan dengan saranan kerajaan untuk merapatkan jaringan industri antara peringkat sekolah dengan IPT tempatan.

"Sesungguhnya penganjuran FMS ini adalah penting serta memberi makna besar dalam usaha membudayakan kreativiti dan inovasi dalam bidang kesenian, sebagai komitmen berterusan untuk menambah baik sistem pendidikan di negara kita," katanya pada majlis kemuncak festival itu di UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

FMS 2011 bermula dengan acara pembukaan iaitu Pameran Seni Visual yang mempamerkan hasil karya atau pameran terakhir pelajar tingkatan lima sekolah seni ini selamam berada di sekolah berkenaan.

Festival itu turut dimeriahkan dengan Persembahan Kesenian yang bertemakan "Nostalgia.. ada yang lama, ada yang baru" yang merupakan acara kemuncak festival selama empat hari itu.

Menurut Ka Siong, FMS dirancang bagi memberi peluang kepada semua pelajar mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari secara formal atau sebaliknya semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas

"Saya berharap program sebegini dapat membuka ruang dan peluang kepada semua pelajar Sekolah Seni Malaysia menyahut cabaran dan membuktikan kepada semua pihak bahawa ilmu yang ditimba memberikan satu gambaran menyeluruh tentang proses P&P yang diterima oleh mereka adalah luas, berkesan dan boleh dipertontonkan kepada umum mengikut peredaran masa," jelasnya.

Selain itu katanya, tema festival tersebut dilihat bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, supaya para pelajar dapat melakukan anjakan paradigma pemikiran kepada produktiviti diiringi dengan kreativiti dan inovasi agar kekal relevan dalam persaingan di peringkat global kelak.

"Bagi menyahut seruan, peluang yang ini perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pelajar bagi melengkapkan lagi kemahiran kesenian mereka dari sudut teori dan praktikal agar dapat dipraktikkan secara efektif dan efisien dalam program mega seumpama ini.

"Diharap agar usaha murni FMS tahun ini akan terus menempa kecemerlangan bagi meningkatkan sistem pendidikan ke tahap terbaik dan seterusnya menjadikan pendidikan di Malaysia disanjung tinggi oleh masyarakat kerana hasil kerja yang cemerlang berasaskan inovasi dan kreativiti," ujar beliau.

Program ini kemudian diakhiri dengan Majlis Graduasi pelajar-pelajar tingkatan lima yang telah menamatkan persekolahan yang juga sebagai pengiktirafan terakhir buat mereka yang merupakan perintis Sekolah Seni Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: