Thursday, December 22, 2011

Bulan bertukar jingga selama 51 minit


KEINDAHAN bulan dibayangi tompok gelap dalam fenomena gerhana minggu lalu.


KEKECEWAAN para pemerhati bulan di Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu yang tidak dapat melihat secara keseluruhan proses gerhana bulan kerana dibayangi awan tebal dapat diubati dengan fenomena sama yang berlaku baru-baru ini.

Gerhana penuh iaitu apabila bulan berada dalam kawasan umbra bumi dapat disaksikan oleh hampir 5,000 orang yang berkumpul di Planetarium Negara tepat pada pukul 10.32 malam.

Berlangsung selama 51 minit, durasi tersebut agak pendek berbanding pada bulan Jun lalu iaitu 1 jam 40 minit tetapi ia cukup memberi kepuasan kepada orang ramai untuk melihat sendiri proses tersebut.

Proses gerhana bermula pada pukul 7.34 petang waktu tempatan dan berakhir pada pukul 1.30 pagi pada keesokannya.

Ujar Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Lau Chen Chen, 31, ia bermula dengan keadaan berawan. Bagaimanapun, Ia beransur-ansur dapat dilihat dengan jelas sehingga proses tersebut berakhir.

Ia adalah gerhana penuh yang dapat dilihat di Malaysia kerana di beberapa bahagian bumi lain, pemerhati bulan hanya dapat melihat proses tersebut secara separa iaitu sama ada sebelum atau selepas gerhana penuh.

Perbezaan itu berlaku kerana kedudukan bumi dan lintasan bulan yang dilihat dari bahagian yang berbeza. Ciri-ciri fenomena tersebut seperti kedudukan bulan dan masa boleh diramal melalui pengiraan tetapi pergerakannya tidak boleh dikawal.


DUA orang pelajar mendapat peluang istimewa melihat fenomena gerhana bulan menggunakan teleskop di Sydney, Australia.


Bagi menentukan waktu sesuatu fenomena, pihak Angkasa akan merujuk pada laman sesawang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk melihat masa fenomena. Waktu yang ditunjukkan adalah waktu universal.

Kemudian, para penyelidik di Angkasa akan menukarkan waktu tersebut pada waktu tempatan dan melakukan simulasi, sekiranya akan berlaku kenampakan di Malaysia.

Lebih jelas

Mungkin terdapat kata-kata yang mengatakan bahawa tidak perlu ke Planetarium Negara kerana fenomena tersebut boleh dilihat dengan mata kasar sahaja.

"Melalui pandangan mata kasar, perubahan warna sahaja dapat dilihat manakala kelibat planet Musytari seperti satu titik terang," kata Chen Chen kepada Kosmo!

Tetapi, dengan penggunaan teleskop yang disediakan di Planetarium Negara, pencinta sains angkasa dapat meneliti fenomena tersebut secara lebih terperinci, sehingga dapat melihat permukaan bulan yang berkawah.

Jasad planet Musytari yang memiliki lebih 60 buah bulan dapat dilihat dengan jelas bersama-sama empat bulan utamanya.

Sementara itu, para peminat sains angkasa di barat Amerika Syarikat, Hawaii, Australia dan sebahagian besar benua Asia lain turut menyaksikan fenomena cakerawala itu yang bermula pada pukul 1406 Waktu Min Greenwich.


RAKAMAN menarik dari Jambatan Golden Gate, San Francisco, Amerika Syarikat.


Di barat Amerika Syarikat, seri bulan yang kemerah-merahan berlaku apabila sedikit cahaya matahari sampai ke permukaan selepas melepasi atmosfera bumi.

Disebabkan lapisan atmosfera menyerakkan cahaya biru, hanya cahaya merah singgah ke bulan menjadikan satelit semula jadi itu berubah ke warna merah lembayung.

Dilihat penduduk dunia

Gerhana penuh itu jelas kelihatan di seluruh Australia, Asia Tenggara, China, Japan dan sebahagian besar timur Rusia di Pergunungan Ural.

David Sayre yang menjalankan perniagaan firma perhubungan awam di Hawaii berkata, cuaca di Oahu berawan dan hujan tetapi ia reda tepat pada masa gerhana berlaku.

Dia bangun pada pukul 3 pagi seperti biasa tetapi pada hari tersebut, dia melangkah keluar rumah untuk menyaksikan fenomena yang berlaku setengah jam selepas itu. Pada waktu itu, tiada seorangpun di kawasan kejiranannya yang bangun daripada tidur.

"Selepas memastikan ia akan bertukar menjadi warna merah kejinggaan, saya rasa lebih baik jika saya ambil kamera dan rakam. Dapat melihat (gerhana bulan) dari luar rumah sangat cool," tambah Sayre, 47.

Di halaman Balai Cerap Griffith, Los Angeles pula, hampir 300 orang yang kebanyakannya memegang cawan berisi kopi berkumpul dan berselimut untuk menyaksikan fenomena tersebut dalam kedinginan udara pagi.


SEKUMPULAN remaja bergilir-gilir menggunakan teleskop untuk melihat kejadian gerhana bulan di Beijing, China.


Sementara itu, di cerun berdekatan papan tanda Hollywood yang memberikan pemandangan jelas ruang langit, kelihatan orang ramai bertenggek dengan tujuan yang sama.

Pihak balai cerap turut berada di situ untuk membuat pengumuman ketika fenomena itu mula berlaku. Secara spontan, orang ramai bertepuk tangan sebaik fenomena itu berakhir.

Pengkaji bulan di China memerhatikan fenomena tersebut dari Planetarium Beijing dan menurut Balai Cerap Astronomi China, ia adalah pemandangan terbaik gerhana bulan dalam tempoh 10 tahun.

Kali terakhir gerhana bulan dapat disaksikan jelas di Amerika Syarikat adalah pada 15 Jun 2011 tetapi ia tidak kelihatan di negara tersebut. Selepas ini, penduduk Amerika Syarikat hanya akan dapat melihat gerhana bulan spada 15 April 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: