Friday, December 23, 2011

Bersatu dalam konsert



SEAGUNG nama yang dikalung kepada kedua-dua figura rock Malaysia, Awie dan Ella untuk membuka gelanggang konsert pada tahun 2012, raja dan ratu rock bukan panggilan sembarangan.

Bergabung membentuk satu konsert fenomena yang mencerminkan identiti kedua-dua ikon rock itu, Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia bakal menemui peminat mereka pada 12 hingga 15 Januari depan di pentas berprestij, Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert yang hanya mengisi slot enam persembahan daripada tempoh empat hari yang diberikan dijangka mencetus buah mulut penggemar kedua-dua ikon rock itu.

Selain rekaan pentas unik dan gah yang akan memantulkan imej-imej kedua-dua figura rock itu, konsep cinta dalam penceritaan akan menjalin erat lagu-lagu Awie dan Ella yang pernah masyhur sejak era 1980-an hingga hari ini.

Ella adalah Ella

Sidang akhbar yang dimulakan sedikit lewat pada petang hari Rabu minggu lalu di ruang legar tingkat satu Istana Budaya sedikit sebanyak terubat apabila melihat kemesraan kedua-dua ikon rock itu.

Tambah kelakar, apabila sang rajanya tersasul menyebut nama Ella menjadi Erra sewaktu mukadimah bercakap. Ikhlas memuji hasil kerja dan bakat Ella, Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar bin Othman, 43, mengakui pernah menjadi peminat Ella ketika melihat persembahannya suatu ketika dulu.

"Ella berjaya terlebih dahulu sebelum saya rakam album dan saya merupakan salah seorang peminatnya, maka tidak hairanlah pengaruh dia ke atas aliran muzik saya sangat kuat sehingga kini tiada seorang pun artis rock wanita mampu menyaingi Ella.


AWIE dan Ella masing-masing teruja untuk bergabung bersama dalam sebuah konsert mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 12 hingga 15 Januari depan.


"Dialah satu-satunya ratu rock Malaysia," begitu ketulusan ucapan Awie buat Ella.

Tambah Awie lagi, Ella adalah Ella dan sejak perkenalan pada tahun 1985, hubungan kedua-duanya saling tak tumpah seperti adik-beradik.

Dalam pada mengusik Ella yang duduk bersebelahan dengannya, Awie katanya sedikit sebanyak terharu dengan gelaran 'raja' yang diberikan kepadanya untuk konsert sulung bersama Ella itu.

"Ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan kepada saya daripada kawan (Hans) kepada kawan, terlalu besar makna dan tanggungjawab ini sebenarnya.

"Namun, pengiktirafan ini yang telah berikan satu tanggungjawab berat untuk saya buktikan apa maksud raja dan ratu dalam konsert bulan depan," katanya yang bakal mengalunkan muzik lembutnya ketika beraksi kelak.

Janjinya kepada penonton: "Pasti semua akan dibuai-buai oleh satu perasaan indah dari atas pentas."

Pakej lengkap Awie

Bagi Ella pula, memberikan yang terbaik dan cuba untuk tidak menghampakan peminatnya pada konsert bulan Januari itu nanti antara janji-janjinya.


GABUNGAN pertama kali Ella dan Awie dijangka akan mendapat sambutan yang hangat di kalangan peminat mereka.


Kagum Ella

"Tidak senang sebenarnya, kalau dengar gelaran pun sudah berat apatah lagi bagi Ella sendiri. Insya-Allah Ella akan cuba bagi yang terbaik," ujar pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu.

Ella tidak meletakkan sebarang syarat untuk menjayakan konsertnya bersama Awie, malah dia diberi kebebasan untuk menyenaraikan lagu-lagunya yang dirasa mampu mengubat rindu peminat-peminatnya.

pada Awie pula menerusi pakej lengkap vokalis kumpulan Wings itu.

"Ella sangat mengagumi Awie, ada satu pakej tentang Awie yang Ella suka dan dia sempurna dari segi suara, stail nyanyian serta lakonannya sama ada dalam filem mahupun teater.

"Ella memang minat Awie, apabila sudah kenal saya lagi memujanya, dia unik dan tiada bandingan. Senang cakap tiada perkataan mampu menghuraikan seorang Awie," luncur butir-butir kata Norzila Aminuddin, 45.

Kedua-dua ikon rock itu melihat konsert yang diberi sempena nama mereka satu persaingan sihat yang mungkin menjadi bonus buat peminat kesayangan.

Nawaitu untuk menghiburkan pengunjung yang hadir barang kali akan melihat bukan hanya percintaan Awie dan Ella di atas pentas bahkan juga pertarungan dua jiwa hakiki arena rock.

1 comment:

  1. nape tiket habis awal sangat nk beli yg RM300 x mampu>>hans boleh tak tambahkan hari lg...sy nk sgt2 tgk konsert awie n ella

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: