Monday, December 5, 2011

Audit dokumentasi tepati kriteria MBR


Sunita Mohamad (berdiri) menunjukan reaksi tegas semasa membangkang usul yang dicadangkan pihak pencadang di UiTM Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 2 DIS. - Dokumentasi audit cubaan memecahkan rekod Malaysia Book Of Records (MBR) Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) berjalan dengan lancar sepanjang persidangan perbahasan yang melibatkan kira-kira 1,600 peserta.

Ketua Audit dan Dokumentasi Debat 211 Jam, Salliza Sideni berkata, setakat ini proses dokumentasi melibatkan para peserta telah direkodkan dan dikemas kini mengikut peraturan dan syarat ditetapkan MBR.

"Ia melibatkan dokumentasi jadual sidang dan masa sidang, senarai nama pendebat dan institusi, senarai usul, senarai nama Yang Dipertua Dewan (YDP), penjaga masa serta senarai juruaudit dokumentasi MBR," katanya.

Selain itu jelasnya, proses dokumentasi Debat 211 Jam juga melibatkan penyediaan buku log dokumentasi dengan isi kandungan yang digariskan oleh MBR.

"Isi kandungan juga mengambil kira kandungan yang terdapat di dalam log rekod Debat 211 Jam," tambah beliau.

Program debat ala perbahasan Parlimen ini melibatkan penyertaan daripada pelajar-pelajar UiTM, institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta, maktab perguruan, kolej komuniti, politeknik, alumni pertubuhan belia dan sekolah menengah.

Sebanyak 211 usul bertemakan Transformasi dan Perpaduan Bangsa dibentangkan pada debat selama sembilan hari yang bermula dari 24 November lalu sehingga hari ini dalam usaha untuk mencipta rekod baru MBR.

Program debat ini merupakan anjuran Impak, Yayasan Orator, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM dengan kerjasama Kumpulan Utusan.

Dalam pada itu, Salliza Sideni memberitahu, penyediaan buku log Debat 211 Jam melibatkan pengesahan pada setiap empat sidang yang perlu ditandatangani oleh individu-individu tertentu yang hadir pada masa sidang Debat 211 Jam berlangsung.

"Jawatankuasa dokumentasi yang bertugas seterusnya akan menandatangani ruang "untuk kegunaan penganjur sahaja" bagi tujuan rekod dan rujukan lanjut," ujarnya.

Pada masa sama, bagi memastikan sidang perdebatan dijalankan tanpa henti, kesemua pendebat dan YDP disyaratkan tidak boleh berhenti berhujah atau berhenti membidas atau berhenti mengulas kurang dari satu minit.

"Selang masa pertukaran antara satu sidang ke satu sidang yang lain juga tidak boleh lebih dari satu minit, kami akan memantau masa perdebatan dari satu debat ke debat yang lain demi memastikan Debat 211 Jam berjalan lancar," tegas Salliza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: