Monday, November 14, 2011

Cuci luka guna gamat

TANYA KHABAR...Liz melawat pesakit kencing manis, Faniah di The Golden Steps.
TANYA KHABAR...Liz melawat pesakit kencing manis, Faniah di The Golden Steps.

KETIKA melihat gambar kaki Zaharah Senawi, 79, selepas dipotong, keadaannya amat menyedihkan. Hampir keseluruhan ibu jari kaki kanan dibuang dan luka kesan daripada potongan itu menyebabkan jari kaki nenek itu berlubang sedalam tiga sentimeter.

Keadaan ini amat menyukarkan dia bergerak. Keadaannya sangat lemah sehingga menyebabkan dia terlantar di katil saja.

Menurut Zaharah, selepas disahkan menghidap kencing manis enam tahun lalu, keadaannya sangat kritikal sehingga doktor terpaksa memotong ibu jari kakinya.

Namun kesan pemotongan itu menyebabkan luka merebak dan doktor bercadang memotong sebahagian lagi jari kakinya, namun Zaharah menolak kerana tidak sanggup melihat kakinya dipotong lagi.


Akibat luka kencing manis Zaharah tidak dapat bergerak, menyebabkan jirannya memperkenalkan perkhidmatan mencuci luka kencing manis yang dijalankan di Pusat Rawatan Alternatif, The Golden Steps di Kuala Lumpur.


Bermula Mei 2011, Zaharah dirawat menggunakan rawatan alternatif atau perubatan tradisional menggunakan pati gamat dan ubat-ubatan herba oleh petugas yang datang ke rumah. Luka kakinya dicuci setiap hari dan diberi penjagaan rapi termasuk membuat jadual pemakanan.

Selepas tujuh hari, lukanya mula menunjukkan perubahan. Daging kaki yang terbuka sedikit demi sedikit bercantum sehingga menutupi hampir keseluruhan lubang pada bekas ibu jari yang dipotong. Lama-kelamaan isinya semakin merata sehingga membuatkan nampak seperti tiada perbezaan sebelum dan selepas dipotong.

Walaupun lukanya mencapai tahap minimum, Zaharah masih mendapatkan rawatan kesihatan di hospital. Kini Zaharah sudah mampu berjalan dengan baik malah kesan parut pada kaki sudah semakin berkurangan. Ternyata dia sangat gembira dengan keadaan sekarang kerana kakinya masih berfungsi seperti orang lain.

Kegembiraan dirasai Zaharah mungkin turut menjadi impian pesakit kencing manis yang lain. Bagi mereka, kaki yang terpaksa dipotong adalah igauan ngeri yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Ibarat batu yang terhempas ke bahu, mungkin begitulah gambaran yang dirasai mereka sejurus menerima perkhabaran daripada doktor.

“Selagi boleh dielak kami akan menggunakan cara lain untuk merawat kencing manis tetapi tidak dengan membenarkan kaki dipotong.” Begitulah antara kata-kata yang diluahkan penghidap kencing manis.

Amputasi atau memotong salah satu bahagian anggota tubuh bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit diabetes walaupun prosedur itu adalah langkah selamat yang disyorkan doktor bagi mengawal kuman merebak ke bahagian lain.

Sama ada pesakit memilih untuk menjalani prosedur amputasi atau tidak, rawatan mencuci dan membersihkan luka kencing manis mesti dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari oleh jururawat berpengalaman yang biasa mengendalikannya.

Apa yang menjadi masalah, pesakit dan ahli keluarga kurang peka mengenai pentingnya rawatan mencuci dan membersihkan luka sehingga mengabaikannya. Ada pula yang mencuci menggunakan kaedah yang salah sehingga penyembuhan menjadi kurang sempurna.

Menurut Ketua Perawat Pusat Rawatan Di Rumah dan Penjagaan Harian Diabetes The Golden Steps, Liz See, luka diabetes yang dirawat dan dibersihkan menggunakan ubat-ubatan, peralatan sesuai serta dilakukan mereka yang berpengalaman mampu mengelak pesakit diabetes daripada mengalami proses amputasi.

Malah bagi pesakit yang sudah menjalani proses amputasi, luka pada bahagian yang sudah dipotong boleh pulih sepenuhnya sehingga meninggalkan sedikit kesan parut saja.

“Namun proses ini harus dilakukan perawat berpengalaman, menggunakan bahan rawatan tradisional dengan ubat-ubatan moden dan dilakukan secara berkala bagi mendapatkan hasil maksimum. Jika di rumah, tidak ramai ahli keluarga mampu melakukan dengan baik sebab itu kesan luka yang tidak dijaga akan mudah merebak ke bahagian lain,” katanya.

Selain rawatan mencuci dan membersihkan luka, makanan pesakit juga perlu dijaga. Bukan saja jenis makanan tetapi jadual pemakanan yang teratur, cara dan masa pesakit makan juga penting.

Ada beberapa jenis minuman dan makanan tambahan serta vitamin sesuai diambil pesakit bagi membantu proses pemulihan, penyembuhan dan menurunkan paras gula dalam darah, di samping kekal dengan pengambilan ubat-ubatan doktor.

“Pemakanan untuk pesakit diabetes sangat penting. Tidak guna pesakit mendapatkan rawatan tetapi makan apa saja yang boleh menyebabkan kandungan gula meningkat. Apa yang harus dilakukan adalah mengurangkan makanan yang mengandungi karbohidrat, kalori serta protein yang tinggi dan melebihkan sayur-sayuran dalam makanan.

“Pesakit juga digalakkan mengambil sarapan pagi dengan menu yang agak berat tetapi makan tengah hari dan malam yang minimum kerana pada waktu malam, kadar metabolisme sangat rendah berbanding siang,” jelasnya.

Menurut Liz, sebelum melakukan rawatan, perawat akan menilai tahap luka pesakit sama ada berada pada peringkat permulaan, pertengahan atau kronik. Selepas itu luka dibersihkan menggunakan air mineral sebelum kaedah rawatan komplementari moden digunakan. Antaranya menggunakan lintah, madu atau infra merah.

“Namun kami menggunakan gamat terpilih yang terbukti berkesan dalam penyembuhan luka. Walaupun nampak mudah, sekiranya teknik salah digunakan daging berlebihan akan tumbuh pada kaki dan akan mencacatkan penampilan asal mereka.

“Untuk mendapatkan kesan optimum, cucian dilakukan setiap hari pada pagi dan petang selama 45 minit bergantung tahap luka pesakit,” katanya.

Selain menggunakan gamat, pesakit juga diberi rawatan mencegah kuman merebak.
Kaki akan dibersihkan sebelum menjalani rawatan infra merah bagi melancarkan peredaran darah. Selepas itu pesakit akan diurut kaki bagi menguatkan otot.

“Pesakit juga diajar bersenam bagi meningkatkan stamina. Bagi yang tidak mampu bergerak, mereka boleh bersenam di atas katil. Pesakit diabetes harus berhati-hati setiap kali rasa kebas pada kaki mereka. Ini menyebabkan apa saja jenis luka walau gigitan nyamuk sekali pun tidak akan dirasai kerana diabetes akan menyebabkan deria sakit berkurang. Justeru, rawatan kaki serta urut sangat membantu bagi mengembalikan deria rasa serta melancarkan pengaliran darah,” jelasnya.

Secara amnya, kencing manis adalah satu sindrom atau penyakit akibat kekurangan atau hilangnya keberkesanan insulin yang dikeluarkan pankreas. Di dalam perut manusia, makanan akan ditukarkan menjadi glukosa, kemudian diserap ke dalam saluran darah untuk digunakan badan bagi mengeluarkan tenaga.

“Bagi manusia normal, insulin membantu glukos dalam darah memasuki sel badan dan menukarnya menjadi tenaga. Namun apabila pankreas pesakit kencing manis tidak mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan, ini menyebabkan glukos tidak dapat masuk ke dalam sel badan yang sepatutnya bertukar kepada tenaga.

“Maka, glukos terkumpul di dalam darah yang kemudiannya menyebabkan paras glukos menjadi tinggi sehingga melimpah ke air kencing yang dikenali sebagai kencing manis,” katanya.

Bagi penghidap kencing manis, tanda awal ialah kegemukan, penyembuhan luka yang lambat, kerap kencing dan haus pada waktu malam.

Bagi pesakit kencing manis, Faniah Ishak, 50, dia tidak tahu tanda dahaga yang keterlaluan pada waktu malam, kerap kencing serta air kencing yang dihurung semut petanda awal penghidap kencing manis. Apabila mendapat rawatan di hospital doktor mengesahkan dia menghidap diabetes.

“Saya diberi rawatan di hospital serta diminta menjaga pemakanan. Kesan penyakit ini, kulit saya sangat sensitif dan mudah berparut. Walau hanya gigitan nyamuk sekali pun, ia akan meninggalkan kesan pada kulit tambah pula apabila digaru dan luka. Saya juga mudah letih dan mengantuk,” katanya.

Selain mendapatkan ubat-ubatan di hospital, Faniah turut mendapatkan rawatan cucian luka di pusat rawatan The Golden Steps selepas mendapat maklumat daripada rakan yang berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.

Saya turut mendapatkan panduan mengenai pemakanan serta kaedah mencegah diabetes daripada berulang,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan pembersihan luka kencing manis, boleh mengunjungi The Golden Steps, 62A-2, Jalan Kuantan Off Jalan Maran, Lorong Maran Titiwangsa, Kuala Lumpur atau menghubungi 019-2937669.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: