|
|
YOUNG Designers Arena (Yoda) sekali lagi kembali mewarnai industri fesyen Muslimah tahun ini. Berbeza dengan sebelumnya, festival yang memasuki tahun kelima ini menyuntik perubahan dan pembaharuan yang secara tidak langsung mampu memberi kesan positif terhadap rekaan busana Muslim di masa hadapan.
Agresif dan lebih berani. Lari daripada rekaan konservatif dan stereotaip mungkin itulah perkataan amat sesuai untuk digambarkan pada majlis tersebut.
Mengetepikan segala kritikan serta salah tafsir mengenai fesyen Islam, Yoda terus berusaha mengukuhkan kedudukannya untuk dikenali sebagai tapak pembangunan fesyen bagi pereka muda
Tahun kelima penganjuran Yoda yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 16 Oktober lalu ternyata berjaya membuka mata pereka fesyen muda mengenai potensi besar industri fesyen tanah air untuk diterokai.
Menghimpun 13 pereka muda dalam satu pentas mampu menghasilkan rekaan yang unik dan bergaya.
Malah, pertandingan kali ini menampilkan idea kreatif pereka-pereka muda yang semakin moden dan berani.
Istimewanya, pada peragaan tersebut, fesyen yang dipertontonkan meliputi semua acara daripada pakaian majlis rasmi, keraian sehinggalah pakaian harian serta santai yang mampu dan mesti dimiliki.
Hadir menyaksikan peragaan tersebut ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakandanya.
Pengasas Yoda, Baizura Tazri memberitahu, acara kali ini memberi peluang kepada pereka-pereka muda untuk mengetengahkan rekaan mereka.
"Setiap tahun ramai pereka muda yang dilahirkan , lambakan golongan ini membuatkan ramai di antara mereka tidak mempunyai hala tuju.
"Jadi melalui penganjuran ini memberikan jalan yang betul kepada mereka serta mencari peluang serta tunjuk ajar untuk mereka dalam mengharungi dunia fesyen tanah air,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Katanya lagi, setiap pereka mempunyai konsep dan inspirasi dalam rekaan yang boleh dibanggakan. Walaupun mereka masih baru dalam fesyen namun jika diberi peluang dan didedahkan tidak mustahil satu hari mereka menjadi terkenal.
Dalam majlis tersebut, pereka muda Din Annuar dinobatkan sebagai pemenang utama dan berpeluang membawa hadiah wang tunai bernilai RM3,000.
Menggunakan tema D'klasik of Songket dan menggunakan warna putih pada rekaannya.
Dia yang juga pemilik butik Ayuzenchtra Din Annuar ini, tidak menyangka rekaan tersebut mencuit hati hakim dan memberikan kemenangan kepada dirinya.
Anak muda berusia 24 tahun ini memberitahu dia hanya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan rekaan tersebut.
Sementara itu pemenang kedua, Mohd. Asfar Abdul Rani, 24, pula bersyukur kerana dipilih sebagai pemenang apabila menggunakan tema Ratu Balqis dalam rekaan.
Menggunakan warna biru firus dan hitam sebagai warna keseluruhan berdasarkan warna trend terkini aliran fesyen Islam dalam rekaan menjadikannya kelihatan eksklusif.
Dalam pertandingan tersebut, Mohd. Asfar membawa pulang wang tunai RM2,000 dan juga hamper, manakala Mohd. Hafiz Sabrand memenangi tempat ketiga dengan menerima hadiah kemenangan RM1,000.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: