Wednesday, October 12, 2011

Warna-warni di Los Angeles


BARISAN pemenang Anugerah Skrin 2010 bergambar kenangan di Santa Monica.


APABILA peluang diberikan kepada untuk mengikuti lawatan sambil belajar Anugerah Skrin 2010 ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) selama seminggu bermula 26 September lalu, ia dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementelah sebelum ini hanya begitu asyik mendengar cerita serta pengalaman teman media yang pernah mengikuti rombongan serupa sebelum ini, secara tidak langsung penulis juga mahu merasai pengalaman yang sama.

Lawatan kali ini juga cukup bererti bukan sahaja kepada petugas media tetapi juga untuk pemenang Anugerah Skrin 2010 yang lain termasuk pelakon, penerbit dan pengarah filem serta televisyen yang berpeluang menikmati pengalaman yang cukup manis ini.

Semestinya, tujuan utama lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada karyawan seni tempatan tentang industri perfileman dan hiburan Hollywood secara keseluruhannya.

Tidak seperti enam tahun sebelum ini di mana delegasi Malaysia ke LA diketuai oleh Datuk Seri Farid Ridzuan, tahun ini menyaksikan sedikit perubahan apabila tiada seorang pun ‘orang besar’ dari Media Prima Berhad yang mengikuti rombongan kali ini.

Tahun ini menyaksikan rombongan diketuai oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhammad Aziz dan Penganalisa Jenama Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Asyraf Hamdi Dusuki termasuk 26 orang yang lain telah ‘menggegarkan’ LA.

Sebagai kelainan, rombongan kali ini juga turut disertai empat pemenang kategori utama Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) iaitu Drama, Pengarah, Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.

Boleh dikatakan sebilangan besar tetamu yang diundang mengikuti lawatan itu semuanya adalah mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke bumi LA.

Antaranya ialah Fadilah Mansor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Shahrul Ezad Mohameddin, Jurey Latif Rosli serta dua penerbit eksekutif yang mewakili Filmscape dan Astro iaitu Shamsiah Mohd. Yusof dan Bonni Sta Maria.

Atas alasan itu, perasaan girang dan teruja menyelubungi diri masing-masing dan dalam masa yang sama juga, gementar sambil membayangkan apakah yang menanti mereka di LA.

Salah seorang ialah aktres terkenal, Lisdawati yang mengikuti rombongan kali ini atas tiket kemenangan suaminya, Fauzi Nawawi yang menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik ASA 2010 menerusi drama Sebelum Akhirat.

“Sepatutnya Fauzi yang pergi lawatan ini tetapi disebabkan masalah kelulusan visanya, maka dia membenarkan saya pergi bagi menggantikan tempatnya.

“Saya melihat lawatan saya kali ini juga sebagai penebus kekecewaan kerana saya tidak berpeluang berkunjung ke LA sewaktu saya menang Pelakon Drama Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 dulu,” ujar Lisdawati yang memenangi trofi pewter bermotif pucuk rebung dan songket itu menerusi drama Miftahul Jamilah.

Selama hampir seminggu di LA, jadual harian sememangnya cukup padat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diaturkan.

Bagi penggiat seni dan pengamal media, peluang yang cukup dinanti-nantikan apabila dapat berkunjung ke Universal Studios yang cukup terkenal sebagai taman tema terbesar di LA.

Tidak hanya bersuka-ria dengan pelbagai tarikan taman tema yang mengambil inspirasi daripada filem dan siri televisyen popular terbitan Universal, kunjungan ke pusat hiburan terkemuka itu sebenarnya terletak kepada lawatan lokasi penggambaran filem dan televisyen.

Di sinilah pengunjung dapat melihat sendiri bagaimana helah dan teknik yang digunakan industri sehebat Hollywood dalam ‘menipu’ audiens dengan kecanggihan teknologi dan studio mereka.

Paling menarik apabila dibawa ke set siri televisyen popular, Desperate Housewives dan melihat sendiri rumah serta landskap indah setiap rumah karakter siri itu seperti mana yang dapat ditonton di televisyen.

Antara lain yang dibawa termasuklah set filem Psycho, Jaws, War of the Worlds, How the Grinch Stole Christmas!, Jurassic Park, Earthquake dan Fast and the Furious.

Tidak ketinggalan,peluang merasai tarikan terbaru Universal Studios iaitu King Kong 360ยบ 3-D yang sememangnya pengalaman yang cukup menakjubkan.

Ia seolah-olah membawa setiap seorang daripada mereka yang berada dalam keretapi mini itu ke dalam filem King Kong arahan Peter Jackson dan merasai babak cemas adegan pertarungan antara King Kong dan dinosaur T-Rex.

Seiring dengan sambutan Halloween pada 31 Oktober ini, Universal Studios turut memperkenalkan House of Horrors yang merupakan sebuah rumah hantu.

Menampilkan karakter dari filem-filem seram yang pernah diterbitkan seperti Frankenstein, Wolf Man, Chucky dan banyak lagi, sesungguhnya memasuki House of Horrors memberikan pengalaman yang cukup mengerikan dan juga melucukan.

Selain Universal Studios, rombongan kali ini juga dibawa ke Warner Bros. Studios yang tidak kurang hebatnya.

Di sinilah, ahli rombongan didedahkan dengan sejarah pembikinan filem dan siri televisyen popular yang semuanya dilakukan di dalam lebih 20 buah studio seluas gudang yang boleh memuatkan dua buah jet persendirian.

Peserta juga dibawa melihat set sitkom popular Friends, The Big Bang Theory dan Chuck selain gudang penyimpanan kereta yang pernah digunakan dalam filem-filem popular seperti Batman, Harry Potter, Austin Powers, Scooby-Doo dan trilogi The Matrix.

Namun, pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh kesemua ahli rombongan kali ini apabila TV3 memberi peluang untuk menonton persembahan Cirque du Soleil di Kodak Theatre.

Lebih membanggakan apabila ahli rombongan Anugerah Skrin 2010 berpeluang menonton persembahan hebat dan menakjubkan berjudul Iris selepas lima hari tirai panggung dibuka.

Tiada kata secantik bahasa dan tiada gambar seindah lukisan yang dapat diluahkan apabila dapat memasuki dewan Kodak Theater yang merupakan ‘rumah rasmi’ kepada acara berprestij, Anugerah Academy atau Oscar itu.

Selain itu, rombongan juga dibawa ke Rodeo Drive, Santa Monica, The Farmers Market serta Madame Tussauds, Grauman’s Chinese Theatre dan Walk of Fame yang terletak di Hollywood and Highland Center.

Sudah pasti, tidak lengkap lawatan ini tanpa acara wajib setiap tahun iaitu membeli-belah di dua lokasi berbeza iaitu Camarillo Premium Outlets dan Desert Hills Premium Outlets yang sememangnya membuatkan semua menjadi seperti ‘orang gila’.

Walaupun seharian berada di sana pada dua hari berbeza, ternyata ia seperti tidak cukup buat semua yang berkunjung ke sana.

Bagi Muhammad, pihaknya melahirkan rasa gembira dan puas hati dengan lawatan kali ini yang disifatkannya telah membuka lembaran baru buat semua ahli rombongan.

Malah, dia sendiri memuji sikap dan disiplin artis yang memberikan komitmen seperti mana yang diharapkan.

“Kami di TV3 juga mengharapkan agar semuanya berpuas hati dan mendapat sesuatu yang bermanfaat serta berguna daripada lawatan ini.

“Saya selaku wakil TV3 turut berharap lawatan seperti ini akan dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dalam mendedahkan karyawan seni kita demi kebaikan mereka juga,” katanya penuh optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: