Wednesday, October 12, 2011

Westlife tetap nombor satu


SEPANJANG dua jam konsert berlangsung, Westlife juga sempat menukar lima set busana untuk persembahan mereka.


APABILA kumpulan yang berasal dari Dublin, Ireland, Westlife dicanangkan akan mengadakan sebuah konsert besar di negara ini, tidak dinafikan ada segelintir yang melahirkan rasa terkejut.

Perasaan itu bukan kerana tidak percaya kumpulan itu akan bertandang ke negara ini untuk ke sekian kalinya, tetapi persoalan yang bermain di fikiran adalah tentang populariti mereka.

Mungkin ada yang mempersoalkan apakah Westlife masih memiliki aura yang berupaya menarik perhatian peminat untuk menonton persembahan mereka.

Sementelah nama mereka dilihat tidak begitu kuat jika hendak dibandingkan sedekad lalu, sedikit sebanyak ia telah mengundang perasaan skeptikal sama ada konsert mereka itu akan mencatatkan kejayaan luar biasa.

Ternyata, segala telahan itu meleset sama sekali kerana Westlife yang masih kekal dianggotai oleh Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily dan Shane Filan telah membuktikan keunggulan mereka sebagai seorang penghibur.

Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hampir 10,000 penonton dan peminat Westlife telah memenuhi setiap ruang di dalam stadium dengan satu tujuan - untuk berhibur dan mengimbau nostalgia bersama penyanyi pujaan mereka.

Percayalah, setiap seorang daripada penonton yang hadir pasti akan setuju bahawa persembahan Westlife pada malam itu telah membawa mereka menyusuri jalan kenangan dengan rangkaian lagu-lagu hits mereka.

Penulis yakin mereka yang menonton konsert Westlife tempoh hari adalah mereka yang telah membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan itu sejak 13 tahun lalu (termasuk diri penulis).

Lewat

Tepat pukul 9.10 malam, konsert Westlife Gravity Tour 2011 itu dimulakan dengan lagu When You’re Looking Like That. Biarpun bermula lewat hampir 40 minit, ternyata ia langsung tidak membuatkan penonton resah dan penat menunggu.

Sebaik sahaja kelibat Nicky, Kian, Shane dan Mark muncul di pentas, tepukan gemuruh dan pekikan sorakan penonton sudah tidak mampu dikawal lagi.

Tanpa menunggu lama, mereka terus menyanyi bersama Westlife tanpa disuruh sekali gus membuktikan yang hadir pada malam itu sememangnya peminat tegar Westlife.

Meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti World Of Our Own, What Makes A Man dan Safe, Westlife membuktikan bahawa usia mereka bukan satu halangan untuk memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Lengkap dengan gerak tari yang minimal, namun kelihatan sungguh sensual dan sempurna di mata peminat sehingga mereka berterusan memekik setiap nama anggota kumpulan itu.

Harus diakui, kelebihan Westlife adalah terletak kepada kekuatan vokal mereka terutama Shane dan Mark yang merupakan tunjang utama dalam setiap persembahan mereka.

Bagaikan tidak lengkap untuk mana-mana persembahan artis jika tiada gimik yang diselitkan dan begitu juga dengan konsert Westlife.

Sama ada ia satu kebetulan atau ‘drama’ yang sudah ditetapkan, ternyata babak lamaran perkahwinan oleh dua peminat bertuah Westlife sememangnya menjadi.

Romantik

Ditambah pula dengan iringan lagu My Love dan Beautiful Tonight selepas adegan romantik itu, ia telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam apabila disambut dengan sorakan meriah daripada audiens.

Sepanjang mewarnai dunia rakaman suara, Westlife juga terkenal sebagai penyanyi kumpulan revival apabila merakamkan semula lagu-lagu popular penyanyi lain dengan gaya penyampaian tersendiri.

Pada konsert itu, lagu-lagu seperti Home, You Raise Me Up dan Seasons In The Sun menjadi pilihan kumpulan yang memiliki penjualan album melebihi 40 juta salinan di seluruh dunia ini.

Suasana romantik begitu dirasai ketika Shane meminta semua penonton menyalakan lampu pada telefon bimbit masing-masing sewaktu menyampaikan lagu You Raise Me Up.

Dengan serta-merta, ruang di dalam stadium berubah menjadi seperti langit yang dihiasi dengan kelip-kelip yang berterbangan di setiap genap penjuru.

Bertukar busana untuk kali keempat, Westlife terus mengekalkan momentum persembahan mereka apabila menyampaikan medley lagu-lagu popular masa kini.

Siapa sangka, Westlife mampu membawakan lagu-lagu seperti Viva La Vida (nyanyian asal Coldplay), Only Girl (In the World) - Rihanna, The Time (Dirty Bit) - The Black Eyed Peas dan Bad Romance (Lady Gaga) dengan begitu baik.

Ternyata sebagai penghibur, mereka berupaya untuk membawa diri mereka seiring dengan perkembangan muzik semasa oleh penyanyi generasi baru.

Untuk set seterusnya, Westlife memilih lagu-lagu seperti Already There dan I Will Reach You sebelum menyampaikan sebuah lagi lagu keramat mereka, Flying Without Wings.

Namun, apa yang mengecewakan apabila Westlife tidak menyampaikan lagu-lagu yang telah memperkenalkan nama mereka kepada khalayak iaitu Swear It Again dan If I Let You Go.

Sebaliknya, mereka memilih What About Now dan Uptown Girl sebagai lagu penutup konsert mereka. Secara tidak langsung, ia meninggalkan sedikit rasa kecewa kepada peminat yang semestinya mahu lagu itu dinyanyikan oleh Westlife sekali gus meninggalkan impak pada konsert mereka.

Di kala ada penyanyi seangkatan mereka telah berkubur dan membawa haluan masing-masing, Westlife masih terus bernafas dan bertahan sehingga 13 tahun lamanya.

Bukan mudah sebenarnya untuk sebuah kumpulan seperti mereka dapat mempertahankan kedudukan mereka dan apa yang penting adalah kesefahaman.

Ini diakui sendiri oleh Mark yang ditemui pada sidang akhbar dua jam sebelum berlangsungnya konsert.

Malah, dia memberitahu persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi sebenarnya telah menguatkan hubungan setiap anggota Westlife sehingga kekal ke hari ini.

“Jujurnya, kami tidak mempunyai apa-apa rahsia kejayaan sehingga kami mampu bertahan lebih sedekad. Kami mengharungi segala susah dan senang bersama-sama.

“Dalam usia kami sekarang ini, kami mahu terus fokus kepada kerjaya dan populariti sebenarnya bukan lagi keutamaan kami.

“Kami percaya dengan penghasilan muzik yang berkualiti dan bagus untuk peminat, ia akan dapat memanjangkan hayat seorang penyanyi atau kumpulan itu di dalam industri,” katanya yang teruja untuk kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun

Pada sidang akhbar itu juga, Westlife ditanya tentang khabar angin yang mengatakan mereka akan mengundurkan diri daripada dunia seni.

Sementelah dengan kelahiran album kompilasi mereka, Greatest Hits pada 21 November ini, ia umpama indikator bahawa mereka akan berpecah.

Menjawab persoalan itu, Kian memberitahu ia bukanlah seperti mana yang disangka sebaliknya mereka mahu mengambil cuti rehat selepas bekerja keras menjayakan konsert jelajah dunia sejak setahun lalu.

“Soal bersara dan berpecah ini sudah lama dicanangkan tetapi kami masih di sini. Belum sampai masanya untuk kami mengundurkan diri kerana kami masih mahu menghasilkan muzik.

“Jangan cepat percaya kepada khabar angin dan jika itu berlaku, sudah pasti kami akan mengumumkannya sendiri,” ujar Kian yang memberitahu lagu terbaru mereka, Lighthouse turut dimuatkan dalam album Greatest Hits.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: