Thursday, October 27, 2011

Wanita Iraq cari damai di salon kecantikan


Selepas hidup dalam peperangan sejak sekian lama kini wanita Iraq berpeluang untuk memenuhi keinginan mereka berdandan dan tampil cantik.


Pusat kecantikan sehenti. Sesuatu yang tidak pernah terfikir di benak fikiran wanita Iraq sepanjang lebih tiga dekad negara itu dilanda pergolakan - bermula daripada perang dengan Iran, diikuti perang Kuwait dan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) hinggalah kepada sekatan serta perbalahan puak selama 13 tahun yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Saddam Hussein dan kematian beratus ribu rakyatnya.

Sepanjang tempoh itu segala bentuk aktiviti untuk golongan wanitanya bersenang-lenang termasuk berkunjung ke salon-salon kecantikan hampir tidak ada langsung.

Kini, ironinya keadaan itu mungkin berubah dengan sentuhan seorang lelaki.

Berbekalkan pengalaman selama lebih 30 tahun berkerja sebagai jurusolek di rangkaian televisyen, Ali Bulbul berazam untuk mengubah keadaan itu.

Lelaki berusia 51 tahun ini meninggalkan tanah airnya pada 1990 iaitu selepas Saddam Hussein menceroboh Kuwait.

Pada 2005 dia kembali menjejakkan kaki di bumi Iraq dan berkerja semula sebagai jurusolek artis dengan badan penyiaran milik negara, Iraqiya TV.

Pada awal September lalu, bersama seorang rakannya, Ali membuka Specialised Beauty Centre di Jalan Abu Nawas berdekatan sungai Tigris di tengah-tengah kota Baghdad.

Di tempat itulah Ali berhasrat untuk membina satu-satunya tarikan bagi penduduk golongan kelas atasan di bandar itu.

Pusat kecantikan tersebut menawarkan rawatan penjagaan wajah dan badan, sauna dan jakuzi, serta kelas yoga dan aerobik - aktiviti tidak pernah wujud di Iraq selama ini.

Sebagai tambahan, dia juga membina gimnasium yang dilengkapi dengan peralatan senaman yang baru serta pusat menurunkan berat badan, kaunter melukis inai, salon kuku, rambut dan mekap.

Menurut Ali, kemudahan seumpama itu memang sesuatu yang luar biasa di Iraq apatah lagi jika ia dilengkapi dengan peralatan dan mesin-mesin berteknologi yang biasanya 'menakutkan' orang ramai.

Setakat ini untuk menarik pelanggan dia banyak bergantung pada promosi 'dari mulut ke mulut', tetapi pada masa sama turut mengedarkan risalah di kawasan perumahan sekitar pusat tersebut.

Kini sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada suri rumah, namun Ali turut memperuntukkan dua hari khas untuk pelanggan lelaki.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Farah Saad, 27, teruja dengan kehadiran pusat kecantikan tersebut.

"Kami amat seronok. Sekarang kami boleh keluar dan boleh pakai apa yang kami mahu. Kami ingin meneroka kehidupan ini dengan lebih jauh lagi," ujar ibu kepada dua anak itu.

Untuk dandanan rambut sebelum majlis perkahwinan, Ali biasanya mengenakan bayaran RM930 (AS$300), manakala yuran bulanan gimnasium dan jakuzi ialah RM310 ( AS$100).

Harga tersebut boleh dikatakan agak mahal bagi negara yang mempunyai kadar kemiskinan 23 peratus.

Perancangan Ali tidak terhenti di situ, dia bakal membina kolam renang di pusat kecantikan itu sekali gus menjadikan ia sebagai pusat kecantikan sehenti yang terkemuka di negaranya.

"Idea untuk menubuhkan pusat kecantikan di Baghdad ini memang sudah lama iaitu sebelum kenaikan dan kejatuhan rejim Saddam Hussein lagi.

"Namun semuanya ditangguh kerana faktor keselamatan yang tidak mengizinkan," jelasnya.

Semasa tempoh pemberontakan di Iraq dan diikuti dengan pencerobohan tentera AS pada tahun 2002, beribu-ribu nyawa rakyat Iraq telah terkorban.

Ketika itu, pelampau agama telah mengancam dan menyebabkan ramai pengusaha salon rambut menutup kedai mereka.

Wanita pula dipaksa menutup seluruh muka dan badan kecuali mata dan tidak dibenarkan keluar rumah.

Hikmahnya kes keganasan terhadap wanita di Iraq menurun, namun pada pandangan dunia, Baghdad tetap antara bandar yang berbahaya di dunia.

Salah seorang pekerja pusat kecantikan tersebut, Janna al-Baaj, yang merupakan pakar bahagian rambut dan solekan mempunyai kisah yang tersendiri.

Dulu dia meninggalkan negaranya setelah menerima ancaman bunuh.

Janna membawa diri ke Jordan hinggalah apabila Ali menceritakan tentang perancangannya sekali gus menawarkan pekerjaan buatnya.

"Nampaknya situasi keselamatan di negara saya sudah jauh berubah," ujar wanita berusia 40 tahun ini.

"Saya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dan mencurahkan bakti pada wanita Iraq yang berhak untuk merasai nikmat kecantikan yang mereka tidak rasai selama ini," ujarnya.

Ali pula tidak menafikan permintaan untuk perkhidmatan kecantikan ini memang meningkat dari hari ke hari, namun masalahnya dia kekurangan pekerja yang berkelayakan untuk kemahiran tersebut.

"Kini saya sedang giat mencari balik pakar kecantikan yang dulu meninggalkan negara ini kerana diancam. saya akan cuba membawa mereka balik untuk bekerja di negara mereka sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: