Gelagatnya menyapa para pengunjung yang singgah di gerai Turki di pameran Festival Islam Antarabangsa (KLIIF) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, mendorong penulis untuk mendekatinya.
"Singgah kak, marilah tengok hiasan blue eye ini dan kalau minat boleh beli untuk hiasan di rumah," katanya dalam bahasa Melayu yang fasih.
Bagi yang tidak mengenalinya pasti menyangka dia gadis tempatan kacukan Arab, tetapi hakikatnya Kubranur Gundogdu, 17, merupakan gadis Turki tulen cuma mempunyai kelebihan fasih berbahasa Melayu.
Gadis ini sudah dua tahun menetap di Malaysia kerana mengikuti bapanya yang berkhidmat di kedutaan Turki.
Dalam tempoh itu dia mengambil kesempatan untuk belajar bahasa Melayu dan kini mampu bertutur dengan fasih.
"Saya ada ramai kawan Melayu dan saya belajar dari mereka. Tinggal di Malaysia semuanya seronok, kawan yang baik, banyak tempat menarik dan selamat, cuma yang tak seronoknya agak panas," ujarnya yang turut berkerja sambilan di kedutaan.
Menurut Kubranur, setelah tamat sekolah, dia memenuhi masanya dengan mempromosi aktiviti kedutaan di mana-mana pameran yang mereka sertai.
Kerana kebolehannya berbahasa Melayu dengan fasih, Kubranur mudah meyakinkan pelanggan dan tidak dinafikan ramai yang tertarik dengan kebolehan itu.
Keramahannya juga membuatkan dia disenangi walau di kalangan mereka yang baru mengenalinya.
Sempat bercerita tentang produk blue eye yang begitu popular di negaranya, Kubranur berkata, masyarakat Turki percaya bahawa hiasan itu mampu menambah keyakinan mereka dalam menukar nasib buruk kepada baik.
"Itu sekadar tanggapan saja. Sudah tentu pertama sekali kita perlu percaya kepada Allah.
"Selain itu blue eye ini juga amat sesuai dijadikan perhiasan rumah atau dalam kereta kerana kombinasi batu biru dan hiasan di kelilingnya memang cantik," jelasnya.
Gerai Turki yang dikelolakan oleh Kubranur adalah salah satu tarikan sepanjang berlangsungnya KLIIF selama dua hari dari 22 hingga 23 Oktober lalu.
Platform promosi budaya Islam
Pameran yang julung kali diadakan itu anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Sekretariat Bela 1Malaysia.
Perasmian festival ini telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim
Sementara itu, Ketua Program KLIIF ini, Noralifah Ismal berkata, walaupun julung kali diadakan, festival tersebut telah berjaya menarik minat golongan sasaran iaitu anak-anak muda untuk hadir dan mendapat pelbagai manfaat yang ditawarkan.
"Program ini sememangnya meletakkan golongan muda sebagai sasaran utama iaitu pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar antarabangsa, remaja serta usahawan muda.
"Kami berhasrat untuk mendekatkan golongan ini dengan budaya Islam," katanya.
Paling menarik katanya, apabila penganjur memberikan 'hadiah' tidak ternilai iaitu penganjuran kursus perkahwinan perdana dengan harga RM15 sahaja.
"Hampir 2,000 golongan muda menyertai kursus perkahwinan perdana yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur.
"Lebih istimewa kursus perkahwinan yang biasanya mengambil masa selama dua hari, hanya diselesaikan dalam masa sehari saja. Sijil kursus disediakan untuk semua peserta dengan bayaran RM15 sahaja berbanding di luar iaitu RM80," ujarnya
Selain kursus perkahwinan perdana, terdapat juga pameran dan jualan produk berbentuk pakaian, cenderahati serta pelbagai lagi perkhidmatan yang berkonsepkan Islamik.
Sebanyak 120 penyertaan dari syarikat penyedia produk dan perkhidmatan halal antarabangsa telah mengambil bahagian.
Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut ialah Maybank Islamic, Domino's Pizza, Jawhar, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan banyak lagi.
Pejabat kedutaan dari beberapa negara Islam seperti Turki, Yaman, Uzbekistan dan Arab Saudi turut mengambil bahagian dalam pameran di samping menjual barangan kebudayaan dari negara asal masing-masing.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan artis seperti Mawi, Ramli Sarip, Ana Rafali dan lain-lain.
Acara kemuncak ialah penyampaian 10 pakej umrah percuma untuk 10 pengunjung bertuah dan jumlah hadiah melebihi RM100,000 untuk dimenangi peserta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: