Monday, October 10, 2011

Tongkat Tanda Persahabatan Pekin

AGAK lama tidak mendengar kisah mengenai pelakon berbakat besar, Pekin Ibrahim. Wajahnya selama ini sering menghiasi televisyen melalui drama dengan membawa pelbagai watak berbeza mampu memberi kesan kepada penonton.

Bagi yang merindukan lakonan mantapnya, dia bakal muncul dengan dua buah filem iaitu Bunohan arahan Din Said selain berganding bahu di bawah filem arahan Mamat Khalid iaitu Rock 2 selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Pekin memberitahu dia amat gembira kerana selepas 16 tahun bergelar seorang pelakon, tahun ini rezekinya bertambah dengan berpeluang berlakon dalam dua filem hebat.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki dalam dunia lakonan mula menampakkan perkembangan positif dengan watak-watak lebih mencabar seperti dalam filem Bunohan yang memerlukan saya bermain dengan emosi,” ujarnya kepada OopStarz!.

Pernah bergelar sebagai seorang pembuat air di lokasi penerbitan drama dan filem, kesusahan itu telah membuatkan Pekin sentiasa berpijak di bumi nyata sebagai anak seni.

“Sepuluh barang yang saya bawa ini adalah simbolik kepada perjalanan kerjaya saya semasa mula-mula datang ke Kuala Lumpur bagi mengejar impian sebagai anak seni,” ujarnya.

Cermin mata jenama RayBan

Gemar mengumpul cermin mata sejak tahun 1999, Pekin memberitahu dia mendapatkan cermin mata itu daripada kedai barangan terpakai.

Tongkat

Sering membawa tongkat ini ke mana sahaja, Pekin memberitahu ia dihadiahkan oleh seorang sahabatnya beberapa tahun lalu sebagai tanda persahabatan mereka. Baginya, tongkat itu tampak unik selain dia berpendapat menggunakan tongkat juga adalah salah satu sunnah Rasullulah.

Skrip lakonan

Pelik bagi sesetengah individu tetapi bagi Pekin dia masih menyimpan setiap skrip lakonannya sebagai salah satu khazanah buat dirinya agar dapat dijadikan kenangan semasa hari tua.

Wangian Versace Blue Jeans

Sebagai seorang lelaki, haruman amat penting baginya. Telah menggunakan jenama ini sejak tahun 1997, Pekin mendedahkan dia akan membeli wangian tersebut yang telah menjadi ‘signature’ baunya setiap kali minyak wangi itu habis.

Kasut Dr. Martin

Kasut ini adalah antara barang pertama dibelinya hasil duit lakonan. Sehingga kini dia masih menggunakan kasut itu termasuk ketika berlakon dalam drama atau filem.

Seruling

Bermula sebagai suka-suka, Pekin sudah mahir bermain seruling setelah mendapat tunjuk ajar daripada seorang kenalan bernama Wan Hanafisu. Pekin sering membuat persembahan jika dijemput oleh rakan-rakan. Dia kini mempunyai lebih lima batang seruling dalam simpanannya.

Beg Galas

Pekin memberitahu dia membawa ke mana sahaja beg tersebut yang dihadiahkan oleh rakannya Baee semasa berhijrah ke Kuala Lumpur 16 tahun lalu. Ia dapat mengimbaskan semula kenangan mereka.

Koleksi baju T

Gemarkan muzik rock, Pekin turut menjadikan aktiviti mengumpul baju T artis kegemarannya sebagai hobi dan ada di antaranya sudah lagi tidak dicetak.

Aksesori

Bercerita mengenai aksesori, Pekin mempunyai loket istimewa yang digantung pada rantai dan sering digunakan apabila berlakon filem atau drama. Sementara cincin daripada batu firus menjadi kesayangannya kerana menurut Pekin ia sentiasa berzikir untuk manusia.

Telefon Pintar

Tidak pernah berminat untuk menggunakan telefon pintar, Pekin akhirnya mengalah kerana gajet seperti ini banyak membantu dalam menguruskan kerjaya seninya selain dapat berinteraksi dengan peminat dengan cepat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment