Monday, October 10, 2011

Garapan Kemas Hidupkan The Secret Life of Nora

Roger Foss (Ryan Silverman, kiri) dan Farouk (Tony Eusoff, kanan) cuba meyakinkan Nora untuk menerima tawaran sebagai ejen perisik.

PENANTIAN produksi segah pementasan Puteri Gunung Ledang ternyata berbaloi apabila teater The Secret Life of Nora (TSLN) diterajui Datin Seri Tiara Jacquelina berjaya mengangkat kehebatan seni teater di negara ini.

Bangga adalah kata paling sesuai menjelaskan TSLN apabila selesai menonton teater berdurasi hampir dua jam itu kerana sukar untuk mencari cacat cela teater muzikal terbitan Enfiniti Vision Media (EVM).

Bukan sahaja ia dibarisi oleh pelakon hebat, pihak produksi turut memastikan setiap aspek pementasan tampil kemas dan paling penting menghiburkan.

Saat Tiara muncul mendendangkan lagu Siapa Dia nyanyian asal Zainab Majib sudah cukup membuatkan penonton menggila melihat pesona dan kelincahannya di atas pentas bagi memulakan persembahan.

Kostum warna-warni memeriahkan lagi pementasan TSLN.

Dipentaskan bermula 29 September lalu di Istana Budaya, kekaguman terhadap TSLN tidak terhenti kerana produksi yang diterajui oleh pengarah Broadway berpengalaman, Steven Dexter tidak membiarkan penonton terkapai-kapai mencari kelemahan teater tersebut.

Dexter bijak menyusun babak dipaparkan selain membiarkan penonton terbuai dengan emosi melalui susunan lagu mengikut adegan.

Selain detik mencemaskan tetapi romantik ketika Nora dan Foss terbang dalam satu adegan membuatkan penonton terpegun menyaksikan fantasi ciptaannya.

Tidak ketinggalan kehebatan teknologi pentas dipersembahkan dengan penuh bergaya bersesuaian dengan setiap babak dipamerkan memberikan satu perasaan indah kepada penonton. Ia lebih mantap apabila ditambah dengan sistem pencahayaan bagi membantu melengkapkan produksi.

Tidak ketinggalan, pilihan kostum berwarna-warni sesuai dengan era yang dipaparkan melahirkan rasa kagum penonton.

Kemunculan Tiara ketika membawakan lagu Siapa Dia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Memperagakan hampir 100 pakaian hasil rekaan 12 pereka tempatan memberikan gambaran hebat kegemilangan era 60-an dengan muzik dan fesyen ketika itu.

Selain Tiara, TSLN dibarisi oleh lakonan hebat daripada Ryan Silverman (Roger Foss), Adibah Nor (Khatijah), Aznil Nawawi (MR J), Tony Eusoff (Farouk), Stephanie Van Driesen (Betty) dan Aaron Khaled (Sharif).

Ejen perisik

TSLN mengisahkan kisah seorang primadona yang telah diperdaya oleh dua ejen perisik lakonan Ryan dan Tony Eusoff dengan menawarkan Nora satu watak besar dalam sebuah filem.

Kehidupan glamornya di kelab malam bagaimanapun musnah apabila dia perlu menjadi seorang ejen perisik bagi menyelamatkan beribu-ribu wanita termasuk kawan baiknya, Betty yang menjadi mangsa kejahatan Mr J.

Antara babak dalam The Secret Life of Nora.

Nora akhirnya bersetuju menjadi ejen risikan dan memulakan tugasnya bagi menyelamatkan Betty dan wanita lain yang menjadi tahanan Mr J.

Daripada konflik tersebut, pelbagai peristiwa berlaku bagi memastikan Mr J tumpas daripada terus memperdayakan gadis-gadis.

Kesungguhan Tiara memegang watak Nora begitu menyerlah dan berkesan selain tarian mantap serta kemerduan suaranya ketika mengalunkan lagu jelas memberi gambaran Tiara tidak memandang enteng tanggungjawab digalasnya.

Masih dipentaskan sehingga 16 Oktober depan, selain Tiara turut menarik perhatian adalah lakonan Stephanie yang memegang watak Betty.

Walaupun tidak begitu dikenali di pentas utama seni hiburan negara, pelakon Broadway berpengalaman ini cukup hebat dan berjaya menyampaikan wataknya dengan baik.

Kemerduannya mengalunkan beberapa buah lagu seperti Pancaran Cahaya, Kau Yang Menulis dan Someday We’ll See Each other cukup membuatkan bulu roma meremang terutamanya nyanyian solo melalui lagu Kau Yang Menulis.

Tidak hairan jika selepas ini Stephanie menjadi buruan penerbit filem mahupun ada yang ingin menerbitkan album untuknya!

Pujian sesungguhnya perlu diberikan kepada Pengarah Muzik teater tersebut, Roslan Aziz yang cukup cemerlang dalam menyerlahkan kredibiliti vokal setiap pelakon melalui seleksi lagu bersesuaian dengan teater itu.

Kesemua pilihan lagu sama ada klasik atau pun dicipta khas untuk pementasan teater muzikal itu tiada cacat cela. Buktinya apabila ia diminati penonton manakala jualan album runut bunyi teater itu dijual bagaikan pisang goreng panas!

Tidak ketinggalan persembahan Aznil, Adibah dan Tony tidak mengecewakan. Aksi lucu bersahaja mereka nyata mengurangkan gusar penonton apabila ada di antara babak TSLN mendebarkan.

Teater paling mencabar - Tiara

Tiara ketika ditemui selepas berlangsungnya tayangan bersama media baru-baru ini berkata, bukan mudah untuk menghasilkan TSLN kerana banyak aspek perlu diberi perhatian bagi memastikan teater muzikal itu tidak menghampakan.

Menyifatkan TSLN sebagai produksi paling mencabar untuk dihasilkan, Tiara memberitahu ini kerana banyak aksi lasak dalam teater itu perlu dijayakan.

“Bukan mudah menjayakan watak Nora kerana ia melibatkan banyak aksi lasak seperti saya mempertaruhkan nyawa membuat aksi terbang bersama Foss semasa satu adegan di dalam hutan.

“Membawa watak ini juga mencabar kerana ia adalah satu peranan yang tidak pernah saya lakonkan sebelum ini tetapi pada masa sama ia menyeronokkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tiara memberitahu secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan seluruh tenaga produksi dan menaruh harapan tinggi teater muzikal tersebut diterima baik oleh segenap masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Adibah yang memegang watak Khatijah mendedahkan dirinya tidak terus menerima pelawaan rakan baiknya itu untuk bersama-sama menjayakan TSLN tetapi meneliti terlebih dahulu skrip dan jalan ceritanya.

“Ia adalah sebuah produksi besar dan sudah tentu saya perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum menerima tawaran Tiara kerana takut tidak dapat memberikan aksi terbaik.

Bagaimanapun atas dasar kepercayaan Tiara dan pihak produksi saya bersetuju untuk terlibat sama dalam TSLN,” katanya.

Adibah bagaimanapun memberitahu masih belum berpuas hati dengan lakonannya walaupun ternyata setiap kali dia muncul di pentas dengan dialog komedinya berjaya mengundang hilai-tawa ketawa penonton.

“Saya tidak mahu cepat berasa selesa dengan apa yang saya lakukan dan sentiasa mengingatkan diri supaya memperbaiki diri dari semasa ke semasa bagi memuaskan hati penonton,” ujarnya.

Secara keseluruhannya TSLN digarap kemas dengan mengambil kira kehendak penonton dan ia adalah salah contoh terbaik. Jadi tidak hairan jika pihak produksi akan mempersembahkan sekali lagi teater muzikal hebat ini untuk musim kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: