![]() |
| MAMPUKAH gandingan Ally Iskandar dan Rozita Che Wan menghangatkan malam Anugerah Skrin 2011 pada 4 November ini? |
JIKA sebelum ini, kemampuan aktres jelita ini diuji dengan pelbagai watak yang dilakonkannya menerusi drama di televisyen, kali ini, Rozita Che Wan akan memikul tanggungjawab baru.
Sepanjang lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, belum pernah sekali pun wajah Rozita dapat ditonton sebagai seorang pengacara.
Lantaran itu, apabila stesen televisyen TV3 memilihnya sebagai pengacara bersama Ally Iskandar bagi mengemudikan Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) pada 4 November ini, ia sesungguhnya amat mengejutkan.
Manakan tidak. Kemampuan Rozita sebagai pengacara belum pernah diuji sebelum ini tetapi tiba-tiba sudah diberi mandat besar untuk mengacarakan sebuah acara anugerah gah yang bukan calang-calang prestijnya.
Ternyata TV3 begitu berani mengambil risiko yang cukup tinggi dengan mempertaruhkan Rozita sebagai hos anugerah tersebut.
Bagi empunya diri, Rozita menyifatkan peluang itu sebagai sesuatu yang cukup berharga dan sudah semestinya kata Rozita, dia akan melakukan yang terbaik.
Namun, sudah menjadi adat dalam dunia hiburan kata Rozita, bukan semua yang dilakukannya akan diterima dengan positif oleh masyarakat.
Atas alasan itu juga, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang tanggapan orang terhadapnya apabila terpilih sebagai pengacara ASK 2011.
Begitu juga kata Rozita, perspektif orang ramai yang mengatakan pemilihannya bukanlah berdasarkan bakat semata-mata tetapi kerana kecantikan dan kontroversi yang melanda dirinya selama ini.
“Saya harus mencabar diri saya untuk mencuba sesuatu yang baru. Dan saya juga percaya dengan kemampuan dan pengalaman Ally sebagai pengacara, dia dapat membantu saya selain memberi tunjuk ajar bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Kalau hendak difikirkan tentang apa yang orang mahu perkatakan tentang diri saya, memang saya tidak akan mampu untuk melakukan apa-apa.
“Lagipun, kalau bab kritikan ini, sudah banyak yang saya lalui dan saya pun tidak kisah sangat. Peluang seperti ini datang sekali. Jadi, mengapa tidak saya mencubanya,” kata Rozita yang cukup anggun dalam persalinan merah jambu penuh optimis.
Aktres popular itu ditemui pada sidang akhbar ASK 2011 yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sama seperti prosedur sebelum ini, Rozita juga perlu melalui proses uji bakat dengan beberapa artis wanita lain.
Siapa sangka, kebolehan dan karismanya di dalam video uji bakat itu telah menarik perhatian TV3 lalu memilihnya sebagai pasangan bersama Ally.
“Saya pun sudah mendapat draf skrip yang pertama sejak dua minggu lalu. Sepanjang bulan ini, saya memang mengambil cuti daripada lakonan dan mahu menumpukan perhatian kepada tugas baru saya ini.
“Insya-Allah, menerusi latihan bersama Ally, saya yakin mampu melakukannya dengan baik pada malam anugerah nanti,” kata Rozita yang akan memulakan perniagaan tudung, Padusi bersama-sama empat adik-beradiknya tidak lama lagi.
Ally teruja
Sementara itu, bagi Ally pula, dia juga tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja apabila diberi peluang mengacarakan ASK 2011 yang pertama kali untuknya.
Jika sebelum ini, pengacara berusia 35 tahun itu pernah menjadi hos untuk program hiburan seperti Mentor dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kali ini, dia perlu berdepan dengan cabaran yang yang bukan sembarangan.
Mengulas tentang gandingannya dengan Rozita kelak, ternyata Ally tidak mempunyai masalah kerana percaya pelakon wanita itu mampu menjalankan tugasnya dengan baik.
“Kami akan saling menyokong antara satu sama lain dan sama sekali saya tidak akan cuba hendak membayangi (overshadow) Rozita hanya kerana saya lebih berpengalaman daripadanya.
“Saya juga harus mencabar diri saya kerana sebelum ini saya lebih kepada program hiburan bercorak muzik. Tetapi, kali ini ia memerlukan saya perlu memperluaskan skop pengetahuan saya terhadap drama dan filem tempatan yang bertanding,” katanya yang juga pengacara Malaysia Hari Ini itu lagi.
Kualiti drama meningkat
Melihatkan kepada senarai calon yang layak bertanding dalam ASK 2011, tidak dinafikan lagi kualiti drama lebih menyerlah berbanding filem.
Walaupun pemilihan drama yang bertanding masih lagi dinilai menerusi rating, ternyata setiap syarikat produksi masih lagi mengekalkan nilai-nilai produksi yang sangat tinggi dalam drama terbitan mereka.
“Kami memang berbangga dan berpuas hati dengan semua drama yang layak dipertandingkan kerana kualiti yang diberikan memang cukup tinggi.
“Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, penyertaan untuk ASK juga melibatkan drama yang tidak mencatatkan rating membanggakan tetapi memiliki nilai estetika .
“Apa yang boleh saya katakan, ASK 2011 bakal memperlihatkan saingan hebat untuk kategori drama termasuk drama rantaian dan komedi,” jelas Nurul Aini dalam nada optimis.
Antara 17 buah drama yang bertanding adalah Airmata Nur Salina, Bangunlah Mama, Iqra, Janji Syurga, Sanggul Beracun, Yang Terpuji, Kum Kum, Rendang Madu, Midah Kuih Bangkit dan Jangan Hantar Aku Ke Neraka.
Sementara itu, 10 karya hebat seperti Juvana, Akinabalu, Nora Elena, Trilogi Cinta, Tanah kubur, Syurgamu Ramadan, Lagenda Budak Setan dan Dia Bukan Maryam bakal memberikan saingan dalam merebut kategori Drama Rantaian Terbaik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: