Monday, October 24, 2011

Rozita sahut cabaran

Biar apa sahaja yang dikatakan mengenai dirinya, dramatis Rozita Che Wan tidak akan mengundur diri, malah nekad untuk terus mencuba bagi membuktikan kemampuannya sebagai pengacara.

Sejak namanya diumumkan sebagai pengacara untuk majlis Anugerah Skrin 2010 bersama Ally Iskandar, pelakon yang popular dengan drama Kiah Pekasam ini tidak henti-henti menerima kritikan.

Mengakui bukan calang-calang selebriti yang dapat memegang tampuk sebagai pengacara apatah lagi untuk majlis anugerah berprestij ini, Rozita menganggap pemilihannya itu sebagai peluang baru untuk mengukuhkan lagi penglibatannya dalam bidang seni.

Biarpun tidak ada pengalaman sebagai pengacara, Rozita berjanji akan memberikan sepenuh komitmen semasa mengendalikan majlis tersebut.

Ketika dihubungi Zass, Rozita tidak dapat menyembunyikan kegembiraan walaupun masih diselubungi perasaan gementar kerana pertama kali menjadi pengacara.

“Saya memang terkejut menerima berita ini. Ia adalah peluang besar yang diberikan kepada saya oleh pihak Media Prima Berhad. Pada mulanya, mereka menawarkan saya untuk menghadiri sesi uji bakat, saya enggan pergi dan memberi pelbagai alasan.

"Tapi setelah diberi keyakinan, saya pergi juga. Menerima sekali lagi panggilan mengatakan saya diterima, ia benar-benar di luar jangkaan. Tidak hanya itu, saya juga bimbang dikritik sekiranya saya tidak mampu mencapai matlamat majlis pada malam itu nanti. Bagaimanapun, atas nasihat pihak Media Prima dan Ally Iskandar sendiri, saya terima juga.

“Pada awalnya, saya rasa seperti tidak percaya, namun saya yakinkan diri supaya menerima pelantikan itu sebagai cabaran baru dalam bidang seni,” katanya.

Jauh di sudut hatinya, terpalit perasaan bimbang akan mencacatkan majlis itu nanti. Namun, apabila difikirkan, inilah peluang untuknya membuktikan bakat dirinya sebenar yang tidak hanya boleh berlakon.

Sudah bersedia berhadapan dengan pandangan umum tentang pemilihannya sebagai pengacara ASK 2011 kali ini.

“Terus terang saya katakan, apabila mengambil apa yang orang cakap, saya seakan mahu mengundur diri sahaja, tapi saya sedar. Kata-kata itu sebenarnya adalah penguat untuk saya. Walaupun ramai terkejut dengan pemilihan saya, tapi semua itu bukan alasan untuk saya menolak atau mengundur diri. Bagi saya, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

“Jadi apa yang berlaku pun saya perlu teruskan kehidupan. Mungkin penglibatan kali ini memberikan ruang bagi saya mengendalikan lebih banyak majlis yang sama selepas ini,” katanya.


Kerja keras demi ASK

Sejak menerima skrip seminggu lalu, Rozita tidak pernah berhenti memahami dan menghafalnya. Ternyata, dia cukup sedia untuk berdiri sebagai pengacara.

"Bukan sahaja memahami keseluruhan acara, malah boleh dikatakan saya berlatih setiap hari dan mencari maklumat tambahan untuk saya gunakan nanti.

"Saya juga menolak apa saja tawaran dalam masa terdekat ini, kerana ingin memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya baru saya ini. Selepas ASK 2011 nanti barulah saya menerima tawaran semula. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk majlis itu,” katanya yang meluangkan masa berlatih bersama Ally.

Berbicara mengenai gandingannya bersama Ally, Rozita gembira kerana berpeluang bekerja bersama pengacara popular itu.

“Kami sudah lama kenal. Lagipun tidak susah bekerja dengannya kerana dia begitu profesional, malah dengan dorongannya juga saya berani mencuba. Ally sentiasa memberi nasihat. Kami perlu sama-sama membuatkan majlis tersebut ‘menjadi’ di mata umum.

“Kalau dikira pengalaman, memang saya kalah pada Ally. Tapi saya tidak kekok bersamanya kerana dia banyak memberikan bantuan dan saya yakin kami serasi,” katanya yang sentiasa mengingati nasihat Ally supaya menjadi diri sendiri pada malam itu.

Dalam perkembangan lain, Rozita juga akan merasmikan butiknya yang diberi nama PADUSI pada November nanti. Butik tersebut akan memberi fokus kepada koleksi tudung yang diuruskan bersama empat adik-beradiknya yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: