
ALIF Satar yang berjaya melakar namanya sebagai penyanyi menerusi lagu Jangan Nakal mempunyai kekuatan vokalnya yang tersendiri.
Bakat nyanyiannya dikenal pasti setelah dia menyertai pertandingan One In A Million pada tahun 2006.
Biarpun baru-baru ini, dia melahirkan album Lelaki Seperti Aku namun anak kelahiran Kuala Lumpur ini meneruskan langkah untuk meneroka bidang lakonan.
Drama pertama yang menyaksikan kredibiliti Alif, 21, sebagai pelakon ialah Dendam, Suria Di Cordoba dan Cuak.
Rezeki Alif terus mencurah apabila dia diberikan peranan sebagai hero dalam telemovie Lari Sayang Lari, arahan Yasu Tanaka, terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd.
Alif yang digandingkan dengan Erin Malek ketika ditemui selepas majlis pelancaran telemovie tersebut di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini berkata, tawaran yang diberikan kepadanya merupakan peluang keemasan untuk dia menimba pengalaman baru.
"Lari Sayang Lari adalah telemovie pertama saya. Saya teruja kerana inilah juga kali pertama saya berlakon di bawah pengarah asing.
“Tidak dinafikan, saya merasa agak penat sepanjang penggambaran kerana beberapa aksi dalam telemovie itu, saya lakukan sendiri,” katanya yang mengakui, mendapat satu kepuasan menerusi lakonannya dalam Lari Sayang Lari.
Kata Alif lagi, dia tidak menghadapi masalah apabila digandingkan dengan Erin Malek dalam telemovie tersebut yang telah disiarkan di saluran Astro Prima, semalam.
Jelasnya, sebelum ini, mereka pernah digandingkan dalam filem Tentang Bulan dan Congkak.
Justeru, akui Alif, antara dirinya dengan Erin, mereka ada keserasian untuk bekerjasama di set penggambaran.
"Terus terang saya katakan, rasa kekok itu tetap ada terutamanya menjadi pasangan kekasih.
“Tetapi perasaan kekok itu perlu dibuang jauh-jauh dan kita perlulah bersikap profesional.
"Bagi saya, Erin merupakan antara pelakon yang berkaliber. Itu adalah kelebihan yang dimilikinya. Lagipun, sejak Erin di bangku sekolah rendah lagi, dia sudah berlakon," katanya.
Sementara itu, pengarah dan penerbit Lari Sayang Lari merupakan pasangan suami isteri yang berasal dari negara matahari terbit.
Yasu Tanaka dan isteri, Bea sebenarnya bukanlah dua nama yang asing di kalangan penggiat seni perfileman di negara ini.
Mereka merupakan tenaga pengajar untuk kelas penulisan skrip di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak 2009.
Percaya akan kemampuan industri perfileman negara untuk pergi lebih jauh suatu hari nanti, Lari Sayang Lari merupakan percubaan pertama mereka untuk menembusi pasaran perfileman di Malaysia.
Menurut Yasu, sebagai permulaan, Lari Sayang Lari dihasilkan dalam bentuk telemovie sebelum pihak Astro memberi kata putus sama ada mereka bersetuju untuk menerbitkan cerita tersebut sebagai drama bersiri.
"Astro hanya akan bersetuju untuk menerbitkan Lari Sayang Lari secara bersiri jika telemovie ini berjaya mendapat sambutan penonton.
"Saya berharap telemovie ini akan diteruskan secara bersiri kerana itu merupakan impian untuk karya pertama saya ini," katanya.
Menurut Yasu lagi, Lari Sayang Lari hanya mengambil masa sembilan hari sahaja untuk penggambaran.
"Kita tidak memerlukan masa yang lama untuk penggambaran kerana pelakon kita berbakat dan itu memudahkan kerja-kerja kita semua.
"Lagi pun, penggambaran dibuat dengan menggunakan kamera berdefinisi tinggi dan sudah tentu, kualiti gambarnya lebih mengagumkan," katanya yang menaruh harapan tinggi agar Astro bersetuju untuk menerbitkan Lari Sayang Lari sebagai drama bersiri kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: