Monday, October 10, 2011

Tiada Kes Rasuah Tertunggak

Selain Bilik Rakaman Bervideo (VIR) di Pejabat SPRM, antara lain bagi memudahkan kesahihan keterangan tertuduh, pihak disiasat dan saksi adalah menerusi rakaman sewaktu perbicaraan di Mahkamah Khas Rasuah.

TERIMALAH wang rasuah daripada saya,” sesuatu yang mustahil untuk diperkatakan oleh pemberi rasuah apatah lagi diperdengarkan dalam sesi perbicaraan di mahkamah.

Siapa yang berani untuk berkata sedemikian melainkan mereka sengaja mahu terjerat dalam perangkap sendiri menghebahkan salah laku itu kepada khalayak.

Beberapa peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 memerlukan penelitian mendalam bagi memahaminya malah istilah ‘rasuah’ tidak terkandung dalam taksiran Akta tersebut.

Hakikatnya, kes-kes rasuah dan penyelewengan kuasa begitu kompleks dengan jelasnya membezakan ia dengan jenayah-jenayah am lain.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata, sebelum ini kes rasuah kurang diberikan keutamaan berbanding kes di mana tertuduh tidak dibenarkan dijamin.

Abu Kassim Mohamed (kanan) menunjukkan Laporan Tahunan 2010 SPRM yang turut mengandungi pertuduhan dan penyelesaian kes rasuah.

Menurut beliau, selain itu hanya peguam tertentu yang mengendalikan kes rasuah menyebabkan banyak kes tertunggak.“Sebanyak 212 pertuduhan kes-kes rasuah pada tahun 2008 namun hanya 104 kes yang berjaya diselesaikan.

“Saya pernah diajukan soalan pada pertengahan 2009 tentang bagaimana untuk menyelesaikan kes-kes rasuah yang begitu banyak tertunggak.

“Maka idea penubuhan Mahkamah Khas Rasuah (MKR) dicetuskan sebagai jawapan kepada persoalan itu,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Abdul Razak berkata, kes rasuah kebiasaannya tertuduh adalah kenalan atau mempunyai hubungan rasmi menyebabkan saksi enggan memberikan keterangan.

“Nak datang ke mahkamah pun susah dan kalau datang pun tidak bercakap benar. Jika bercakap pun kadang-kadang cuba untuk membantu tertuduh.

“Justeru, mahkamah perlu mempertimbangkan keterangan lain sebagai sokongan kerana Akta SPRM memperuntukkan bahawa orang yang diberikan rasuah itu apabila dipanggil untuk menjadi saksi bukan dianggap sebagai rakan sejenayah,” katanya.

Kualiti keterangan

Menurut Abdul Razak, belum ada dalam sejarah seseorang itu datang ke mahkamah dan mengaku telah menyerahkan wang atau ganjaran dan mengatakan “saya telah serahkan rasuah kepada tertuduh.”

“Sebaliknya mereka mengatakan ia adalah pinjaman, pendahuluan, derma atau komisyen malah pernah menggunakan perkataan sedekah maka kita perlu mentafsirkan adakah wang itu mempunyai cerita di sebaliknya.

“Ada wang rasuah diberi berbulan-bulan lamanya sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa. Transaksi pula dilakukan secara bersembunyi antara satu dengan satu,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan kes mengambil masa lama sehingga saksi hilang minat terhadap perbicaraan, enggan bekerjasama dan ada yang sukar dikesan.

Abdul Razak berkata, ia akan mempengaruhi kualiti keterangan saksi. Setiap kes sepatutnya berjalan pada hari pertama untuk perbicaraan tanpa penangguhan.

Kewujudan Mahkamah Khas Rasuah secara rasmi pada 16 Februari 2011 telah memberi kesan kepada kelancaran kes-kes rasuah.

“Sebanyak 435 kes rasuah diselesaikan pada 2010, jumlah itu lebih tinggi berbanding 382 pertuduhan. Begitu juga dari Januari sehingga Ogos tahun ini apabila 403 kes selesai berbanding 205 pertuduhan.

“Ini menyebabkan lebih 60 peratus kes-kes rasuah tertunggak dapat diselesaikan,” katanya.

Pada masa ini, 14 MKR beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Pahang dan Melaka.Menurut beliau, negara-negara lain tidak ada mahkamah khas untuk kes rasuah kecuali Indonesia namun hanya mengendalikan kes berprofil tinggi dan melibatkan jumlah suapan yang besar sahaja.

Berbeza dengan Malaysia, MKR mengendalikan semua kes rasuah sama ada berprofil tinggi atau kes-kes biasa dengan matlamat untuk menyegerakan penyelesaian.

“Sebelum ini apabila pergi ke mahkamah biasa, kita terpaksa menunggu bagi mendengar perbicaraan kes-kes lain sehingga proses pendakwaan berlarutan.

“Bagaimanapun di MKR, kes bermula seawal pukul 9 pagi dan saksi terus dipanggil,” katanya yang menyifatkan perbicaraan di mahkamah itu boleh menyelesaikan antara tiga dan empat saksi sehari.

Kaji terperinci

MKR merupakan pendekatan istimewa kerana tidak menjadikan negara lain sebagai penanda aras berikutan pencapaian ketara dalam kadar penyelesaian kes rasuah.Namun bagi kadar sabitan, Malaysia hanya mencapai 73 peratus berbanding Indonesia hampir 100 peratus, Singapura (85 peratus) dan Hong Kong (95 peratus).

Abdul Razak menjelaskan bahawa kajian terperinci dibuat sebelum pertuduhan sesuatu kes dikemukakan.

Sebanyak 176 pertuduhan pada 2009 tetapi sebenarnya jumlah itu daripada 931 kertas siasatan dibuka manakala 382 pertuduhan daripada kira-kira 1,200 kertas siasatan pada 2010.

“Ini menunjukkan Timbalan Pendakwa Raya mengkaji setiap kes dengan terperinci dan hanya mendakwa seseorang itu sekiranya mempunyai keterangan lengkap.

“Kita tidak menutup kes sewenang-wenangnya tetapi membentangkan kepada Panel Penilaian Operasi bagi kes-kes yang tidak dibuat pendakwaan tetapi tindakan lain dibuat seperti tujuan tatatertib, perundingan dan tatacara serta surat teguran atau amaran,” katanya.

Penubuhan MKR juga bukan memperlihatkan sentimen rasuah begitu kritikal di negara ini namun sebaliknya menyelesaikan kes rasuah dalam tempoh singkat.

MKR telah melantik hakim-hakim khusus untuk memutuskan kes rasuah yang dapat memastikan mereka lebih mahir dan cekap bagi memahami isu kompleks berkenaan.

“Keberkesanan MKR bukan hanya bergantung pada hakim semata-mata malah turut melibatkan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam serta saksi.

“Dari segi kefahaman mengenai undang-undang, ia seharusnya dititikberatkan oleh semua orang bagi memfokuskan sesuatu isu atau hujah dengan jelas,” katanya.

Hanya kes baru

Abdul Razak berkata, kebanyakan MKR merakamkan keterangan saksi secara langsung bagi membantu mempercepatkan proses perbicaraan.

Menurut Abdul Razak, MKR menjalankan kes-kes rasuah berterusan sepanjang enam bulan pertama ia beroperasi.

“MKR mensasarkan penyelesaian kes tidak melebihi setahun daripada tarikh pertuduhan untuk menyelesaikan sesuatu kes manakala enam bulan sekiranya melibatkan penjawat awam.

“Penyelesaian sesuatu kes bergantung pada fakta dan kerumitan isu. Pernah ada kes di mana pihak pendakwa terpaksa memanggil seramai 75 saksi manakala dalam satu kes lain pihak pembelaan memanggil 18 saksi.

“Bukan semua kes boleh diselesaikan dengan segera kerana bergantung pada keadaan namun saya yakin tiada kes tertunggak untuk setahun atau dua tahun lagi,” katanya.

Beliau menjangkakan jika tempoh penyelesaian semakin efektif dan trend seumpama itu dikekalkan, MKR hanya akan mengendalikan kes-kes baru.

“Diharapkan proses menyelesaikan segera kes-kes rasuah tidak terburu-buru dan mahkamah bukan hanya wajar mempertimbangkan keadilan terhadap tertuduh bahkan berlaku adil kepada saksi.

“MKR menunjukkan keberkesanannya seiring dengan matlamatnya mempercepatkan penyelesaian kes rasuah dalam menjamin sistem keadilan lebih cekap kepada masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: