Monday, October 10, 2011

Pelajar Asing - Tempatan Sering Bertukar Pandangan

UNIKNYA universiti di negara ini kerana gerbang kampusnya sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja yang bergelar warga akademik termasuklah mahasiswa dari luar negara.

Faktor multi-budaya dan kepelbagaian bangsa menyebabkan masyarakat dan mahasiswa tempatan secara khususnya tidak menghadapi masalah menyambut kehadiran pelajar asing dengan senyuman.

Apatah lagi sedari kecil kita diajar untuk bersikap peramah dan menghormati sesama insan, tidak hairanlah jika hubungan erat antara pelajar antarabangsa dan pelajar tempatan mampu dijalinkan dalam masa yang singkat.

Keakraban hubungan dan sikap saling bantu-membantu ini secara tidak langsung mencetuskan suasana harmoni dalam kampus seterusnya membantu dalam proses pembelajaran.

Sikap positif yang ditunjukkan mahasiswa tempatan terhadap pelajar asing menjadi salah satu faktor mengapa universiti-universiti di Malaysia terus menjadi pilihan.

Emily (kanan) dan rakannya Mymt Thu Zar dari Myanmar. Dia mengajak pelajar tempatan mencontohi semangat juang pelajar luar negara sambil peluang bertukar pandangan dengan mereka.

Zafran Khalis, 20, yang mengikuti kursus Kejuruteraan Elektrik di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengakui budaya masyarakat Malaysia yang suka bertegur-sapa amat disenangi pelajar asing yang mengikuti pengajian di negara ini.

“Saya kenal beberapa pelajar antarabangsa. Kalau ada sesuatu yang mereka musykil, mereka tidak malu bertanya. Kebetulan pula masyarakat kita memang terkenal dengan sifat peramah, jadi tak ada masalah komunikasi yang timbul,” katanya kepada Mingguan mStar.

Penuntut yang berasal dari Petaling Jaya ini menjelaskan, walaupun ada ketikanya pelajar asing nampak lebih selesa bersendirian tapi sebenarnya tanggapan itu adalah kurang benar.

“Ramai yang sangka mereka sombong tapi tidak sebenarnya. Kalau kita tegur mereka, mesti teguran itu disambut baik,” katanya.Pelajar jurusan Pengurusan dan Pembangunan Manusia UPM, Noor Aishah Noor Baharuddin, 20, pula berkata tidak wujud jurang di antara pelajar luar negara dan pelajar tempatan apabila mereka belajar di universiti yang sama.

“Di sini kami bagaikan sebuah keluarga besar. Jika ada yang memerlukan bantuan, mereka akan dibantu,” katanya.

Noor Aishah yang mempunyai ramai rakan dari luar negara berkata, dia sering membantu rakan-rakannya dari segi terjemahan bahasa Inggeris.

“Ada di antara mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Siapa lagi yang dapat membantu kalau bukan kami pelajar tempatan,” katanya.

Emily Pang Lai Teng, 20, juga dari UPM berpendapat mahasiswa tempatan seharusnya mencontohi sikap pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di universiti masing-masing.

Ini kerana, kebanyakan pelajar asing mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menuntut ilmu.

“Tidak salah kita mencontohi cara mereka belajar. Bergaul dengan mereka akan memberikan kita pengalaman baru dan dapat bertukar-tukar pandangan,” ujarnya.

Sementara itu, Peter Joseph a/l Mariampillay pula berkata dia tidak pernah bersikap prejudis terhadap pelajar asing sebagaimana mereka tidak pernah menyimpan tanggapan sama terhadap pelajar tempatan.

“Secara keseluruhannya hubungan kami baik. Jika kami sering bertelagah, tidak mungkin kami dapat belajar dengan selesa dalam satu kampus yang sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: